Saya sering menunggu-nunggu kedatangan Ramadhan untuk mengambil peluang menambah-nambah amal ibadat. Ada beberapa kualiti penting dalam hidup ini yang saya harapkan dengan kedatangan Ramadhan. Bulan Ramadhan ada roh dan jiwa yang sangat istimewa dan tersendiri. Semangat dan keinginan untuk beribadat pada bulan ini sangat terasa dan luarbiasa. Benarlah jika dikatakan Ramadhan adalah masa yang terbaik untuk mencambahkan rasa cinta untuk beribadah. Semuanya terinspirasi di bulan ini.
Selain daripada solat terawih, membaca al-Quran adalah di antara yang saya impikan dengan kedatangan Ramadhan. Bukan saya maksudkan di bulan lain tidak dapat membaca al-Quran. Tetapi di bulan Ramadhan ini saya ingin menambah dengan membaca sebanyak dan sekerap yang mungkin. Ditambah lagi dengan adanya aktiviti tadarus selepas terawih serta tv dan radio yang menjadi ‘soleh’ dengan alunan dari para qurra’ yang mengasyikkan suaranya. Semua ini menjadi peransang untuk turut berbuat demikian.
Saya pernah membaca mengenai perilaku al-Imam al-Zuhri yang meninggalkan aktiviti pengajian Hadith beliau di bulan Ramadhan, untuk memfokuskan kepada pembacaan al-Quran. Begitu juga perihalnya dengan Sufyan al-Thauri yang meninggalkan semua aktiviti yang lain untuk membaca al-Quran.
Mengapakah istimewanya al-Quran di bulan Ramadhan?
Al-Quran diturunkan pada malam bulan Ramadhan. Ia berlaku pada satu malam yang penuh gemilang. Allah SWT menyatakan di dalam firman-Nya:
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah...” (al-Baqarah:185)
Firman-Nya lagi:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).” (ad-Dukhaan:3)
Allah menurunkan al-Quran untuk umat manusia sebagai petunjuk. Sesiapa yang menerima petunjuk al-Quran maka mereka itulah yang bertaqwa kepada-Nya. Sesungguhnya al-Quran akan menjemput kita segirangnya ke syurga kerana terbalutnya tubuh kita dengan cinta kepadanya. Bersyukurlah andai diri kita tergolong di kalangan yang mencintai al-Quran. Cinta yang bukan hanya dengan membacanya tetapi menerima pakai segala macam perintah yang terkandung di dalamnya.
“Ya Allah, tunjukilah kami ke jalan taqwa-Mu. Jadikanlah kami sentiasa mencintai agama-Mu. Janganlah diseret jauh kami daripada mensyukuri rahmat belas-Mu di dalam kitab-Mu. Ya Allah kami semua mendambakan taqwa-Mu.”
Ayuh, teman-teman!
2 comments:
artikel yg memangkin semangat utk rajin beribadah di bulan ramadan..
semoga kita semua dipermudahkan..
Post a Comment