Ramadhan sudah pun menghampiri penghujungnya. Syawal pula semakin menggamit. Meraikan pemenang kembali kepada fitrah. Memang layak untuk mereka bergembira kerana telah mengharungi keletihan di bulan Ramadhan.
Ramadhan memang meletihkan. Tidak makan dan minum di siang hari. Bukan itu sahaja, mengawal mata dan telinga, kaki dan tangan daripada perkara-perkara yang boleh menipiskan pahala puasa. Membaca al-Quran dan bersedekah, letih. Malamnya pula berterawih dengan banyak rakaat. Sedang enak tidur, kena bangun untuk bersahur serta berqiamullail. Bukankah ini meletihkan? Tetapi mengapa kita mampu melakukannya, tentu ada jawapannya.
Ramadhan bukan hanya meletihkan jasad, malahan sebenarnya ia berperanan untuk meletihkan nafsu. Benar, dengan letihnya nafsu maka jasad kita menjadi kuat. Nafsu senantiasa mengajak kepada yang tidak baik. Sebagaimana yang disebutkan di dalam surah Yusuf ayat 53: “Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan”.
Maka, dengan sebab nafsu letih kita boleh sembahyang 5 waktu di masjid, sedangkan di bulan lain mungkin ia suatu yang agak berat. Dengan sebab nafsu letih kita boleh sembahyang terawih yang banyak bilangan rakaatnya, kita boleh membaca al-Quran, kita boleh bersedekah dan qiamullail.
Dalam Ihya Ulumuddin Imam Al-Ghazali berkata: “Dia antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin. Oleh itu seseorang yang mencintai Allah sanggup memikul kerja-kerja yang sukar serta sanggup melawan hawa nafsunya kerana Allah.”
(sumber: FB)
Sesungguhnya syurga adalah tempat orang-orang yang letih di dunia. Jika kita berletih di dunia maka akan berehat di syurga. Tetapi, jika kita banyak rehat di dunia, maka di akhirat nanti akan letih. Letih adalah kerja para Nabi dan Rasul.
Para utusan Allah tidak pernah berehat. Mereka bekerja untuk membasmi nafsu yang liar serta membasmi kesyirikan, kezaliman dan kejahilan. Sehingga mereka diancam, diperangi dan sebagainya. Bahkan sekiranya jasad mereka berehat, maka rohani mereka pula yang bekerja.
Para Rasul juga berletih dalam beribadat. Tidakkah kita pernah membaca di dalam sirah bagaimana Rasulullah saw bersembahyang sehingga bengkak kakinya. Baginda tidak pernah menghampakan orang yang meminta. Disebutkan baginda sangat pemurah di dalam bulan Ramadhan.
Diceritakan, Ibnu Umar mengambil masa selama 3 tahun untuk menghafal surah al-Baqarah. Mengapa sampai 3 tahun? Jawab beliau: “aku menghafal dan melaksanakan isinya mengambil masa selama 3 tahun. Imam Bukhari pula berjalan sejauh 300 kilometer semata-mata untuk mendapatkan satu hadis. Tidakkah ini sesuatu yang meletihkan?
Kita bicara lagi cerita letih.
Letih adalah sifat-sifat orang yang cemerlang. Orang yang tidak pernah mencipta suatu rekod adalah orang yang tidak pernah letih. Sebaliknya orang yang berjaya mencipta sesuatu kejayaan ialah setelah mereka merasai keletihan. Kata Imam Syafie: “Bila kamu tidak tahan letihnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan.”
Mari kita berfikir sejenak. Berapa banyakkah masa yang telah kita kita infaqkan untuk letih. Yakni letih dalam berjihad, amar ma’ruf nahi mungkar, menegakkan syariat Allah dan sebagainya. Jika belum peruntukkanlah untuknya.
Allah SWT berfirman:
"Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta dengan orang-orang yang berbuat baik." (al-Ankabut: 69)
Manusia yang paling banyak berletih untuk kita ialah Rasulullah saw. Maka perbanyakkanlah selawat untuk baginda.
Allahumma solli `ala Muhammad...
0 comments:
Post a Comment