Bagaikan sudah menjadi trend kebelakangan ini. Minta maaf kosong-kosong.. selamat hari raya kosong-kosong. Kerap ia kedengaran begitu, tidak hanya budak muda tetapi budak tua pun ada yang menggunakan ayat demikian. Saya tidak kata salah atau tidak boleh, jika anda mahu menggunakannya pun silakan, tetapi saya beranggapan ia tidak berapa tepat dan sesuai. Mengapa? Sepatutnya permohonan maaf mestilah disertakan dengan keinsafan dan bersungguh. Namun, apabila diucapkan dengan demikian seakan menjadi gurauan dan sendaloka.
Saya pernah menulis berkenaan perkara ini beberapa ketika dahulu. Sengaja saya terbitkan semula sebagai ingatan bersama. Biarpun aidilfitri masuk hari ke tujuh, tetapi ia masih relevan sebagai ingatan bersama.
“Selamat hari raya,...kosong, kosong ye…”
Entahlah, semacam ada yang tidak kena tatkala mendengar ucapan-ucapan yang sedemikian.
Gersang.
Tawar dan hambar.
Apakah ucapan hari raya dan permohonan maaf itu sekadar adat atau seloka yang terlafaz tanpa sebarang makna?
Pernahkah kita memikirkan betapa besarnya permohonan maaf itu?
Bolehkah ucapan yang seperti itu mampu meraih keampunan dan menjernihkan perhubungan?
“Ketahuilah sesungguhnya Allah SWT tidak memakbulkan doa yang datang dari hati yang lalai.” (al-Hakim dan at-Tirmidzi yang mensahihkannya)
Kemaafan bukan sekadar perhiasan atau kosmetik yang memeriahkan Aidilfitri, tetapi permohonan yang menjadi punca kepada tautan ukhuwah dan kejernihan hati.
Maka bersungguhlah dalam memohon kemaafan, lahirkan dari hati yang tunduk dan ikhlas.
Semoga ia menjadi bekal untuk meraih keredhaan-Nya dan punca kejenihan fitrah di pagi lebaran nanti.
Maafkan seadanya.
0 comments:
Post a Comment