Sinar matahari petang menyimbah cahaya kuning kemerahannya. Kawanan burung berterbangan pulang ke sarang. Daun-daun kering berguguran, melayang-layang tanpa kemudi ditiup angin petang. Saya puas menikmati keindahan suasana petang dari sudut anjung rumah.
Entah mengapa tiba-tiba perasaan menjadi sayu dan hening. Benak memikirkan sesuatu. Lantas hati kecil terdetik.
Tiada malam yang diseliputi kegelapan kecuali pada akhirnya adalah fajar yang menyinsing cahaya. Tiada pula hilang terik sang matahari kecuali ia terbenam ke hujung barat menyambut datangnya malam. Begitulah Allah SWT menjalankan pergantian keduanya sebagai bahasa untuk umat manusia memahami ketetapan dan kekuasaan-Nya. Namun, ia juga adalah tanda perkiraan masa di dunia ini. Setelah terbenam sang mentari, maka berlalulah satu hari dalam kehidupan.
Berlalu sehari masa di dunia adalah isyarat telah hilang sehari daripada usia kita. Bayangkan seutas tali yang panjang, setiap hari dipotong sedikit demi sedikit, akhirnya akan habislah tali tersebut. Begitulah ibarat usia kehidupan kita. Mungkin kita sedar atau mungkin kita lalai. Akan tetapi, masa akan terus berlalu sehingga akhir dunia ini.
Demikianlah gambaran kehidupan. Setiap detik dan ketika kita akan mengalami perubahan demi perubahan, berpindah dari satu babak ke babak yang lain sehinggalah detik yang telah ditetapkan-Nya. Mampukah sesiapa menolak atau menafikannya. Tentu tidak, sesungguhnya seluruh episod kehidupan kita berada di dalam genggaman-Nya.
Kita sering meminta agar dipanjangkan umur. Seandainya diberi peluang, berapakah jumlah umur yang kita mahukan. 100 tahun? 200 tahun? Kita sendiri pun tidak mampu menjawabnya. Sekiranya kita meminta 100 tahun, kemudian apabila hampir tiba saat itu, pasti kita meminta agar ditambahkan sedikit lagi. Begitulah seterusnya, kita sentiasa mahu agar ditambah umur. Sebenarnya kita mahu hidup selamanya. Mana mungkin berlaku begitu!
'Masa adalah usia'
Kita sering menyangka bahawa panjangnya umur itu ialah pada bertambahnya angka. Dengan bertambahnya hari, bulan atau pun tahun. Tetapi Allah punya cara yang tersendiri. Dia memanjang dan memendekkan umur kita jauh lebih unik dan tersirat. Allah memanjangkan umur kita dengan meningkatkan kualiti hidup dan usia pada perkara yang bernilai lagi berfaedah. Umur manusia dipendekkan-Nya apabila manusia hidup tanpa makna, tanpa jasa, tanpa nama dan matinya terus dilupa. Oleh itu, isilah kehidupan ini dengan bekas dan kesan bernilai sebagaimana generasi ilmuan terdahulu. Walaupun mereka telah pergi jasad bergalang tanah, namun nama mereka masih disebut sehingga ke hari ini.
Seandainya kita melihat usia yang bertambah dengan makna yang tersirat, sesungguhnya menanti hari esok bukan sekadar berlalu dengan pejam dan celik, ia bukan hanya kerdipan mata, tetapi lebih daripada itu. Masa adalah usia, ia adalah nikmat yang tidak terperi. Hargailah...
0 comments:
Post a Comment