Mendengar namanya memang tidak menyenangkan. Apatah lagi jika ia tumpang berkampung sama. Tentu amat merisaukan. Itulah kisahnya.
Gatal. Kulit kepala terasa meremut-remut. Ada sesuatu yang merayap-rayap di atas kepala. Sesekali jika tidak tertahan, saya akan menggaru-garu kepala semahu-mahunya. Nah, kadang-kadang terselit ibu kutu di celah kuku. Adakalanya sampai dua ekor. Geram! Ibu kutu dengan perut hitam memboyah, saya penyek dengan menggunakan kuku ibu jari. Berkeretak bunyi perutnya pecah, padan muka. Puas.
Entah dari mana datangnya. Hendak kata ia terbang lalu hinggap di kepala, mustahil! Kutu mana ada sayap, tidak pernah saya melihat kutu bersayap. Walaupun semasa kecil dahulu biasa terdengar, entah orang tua mana yang berkata: “Kalau banyak sangat kutu, nanti ia akan bawa kamu terbang ke atas pokok.”
Ada pula yang menambah lebih perisa: “Nanti kutu bawa terbang ke tengah laut, kemudian dilepaskan kamu.”
Wah, memang menambah perisa! Semakin takut dan benci dengan sang parasit kecil ini.
Pastinya ia lebih kepada gurauan untuk menakut-nakutkan budak-budak yang berkutu. Hakikatnya memang ia tidak benar. Namun, pada masa itu mati-mati kami mempercayainya. Akal budak-budak, tak sempat nak ‘mikir’.
Segan juga rasanya mahu menyatakan saya adalah di antara yang berkutu ketika budak-budak dahulu. Tetapi tidak segan juga kerana boleh dikatakan ramai budak-budak kampung dahulu menternak kutu di kepala. Tidak kira lelaki atau perempuan, sama sahaja. Mungkin pada waktu itu kesedaran menjaga kebersihan kepala tidak ditikberatkan sangat berbanding hari ini. Saya cuba mengingati berapa kali agaknya saya bersyampu kepala semasa budak-budak dahulu. Rasanya tidak pernah. Kalau ada pun sekadar menggunakan sabun mandi sebagai ganti syampu, tetapi jika ‘mandi kerbau’ selalu sangat. Sekarang ini bermacam-macam jenama syampu berada di pasaran. Pilih sahaja yang mana satu idaman kalbu. Itulah untungnya budak-budak zaman sekarang, ‘macam-macam ada’.
Saya tidak tahu apakah ubat yang digunakan pada waktu itu untuk menghilangkan kutu. Ingat-ingat lupa, rasanya saya pernah terdengar ada di antara jiran-jiran menggunakan air rebusan mayang pinang. Katanya air mayang pinang boleh menyebabkan pening-pening. Selepas dibasahkan rambut dengan air rebusan tersebut, lalu kepala dibungkus dengan kain beberapa ketika. Kemudian rambut disikat dengan sikat bergigi rapat. Orang kampung saya menggelarnya sikat kapit. Kutu-kutu yang mabuk kepeningan akan berjatuhan di atas kain yang dihampar apabila disikat. Benar atau tidak, saya tidak dapat memastikan tetapi memang saya mendengarnya begitu.
Seingat saya sehinggalah saya naik darjah lima barulah kutu pupus di kepala. Saya tidak ingat apa yang saya gunakan untuk membasminya. Pastinya saya tidak menggunakan kaedah air rebusan mayang pinang. Mungkin ketika itu itu saya sudah pandai membersihkan rambut (baca: bergaya), curi-curi guna syampu kepunyaan kakak, serta minyak rambut berjenama ‘Gel’ milik abang.
Apakah hikmahnya
Dulu saya tidak pernah terfikir apakah hikmah disebalik kejadian si kecil penghisap darah ini. Tidak mungkin fungsinya hanya untuk memastikan kita menjaga kebersihan kepala. Walaupun itu mungkin boleh menjadi antara sebab-sebabnya. Tetapi saya mulai perasan sesuatu. Setelah dewasa, setelah emak telah tiada.
Entah berapa kali emak menupangkan kepala saya di atas ribanya. Dalam kedinginan angin petang, emak mengurai-ngurai rambut saya menarik satu persatu telur kutu yang berwarna putih itu. Ya, beranda usang rumah pusaka yang hampir roboh itu menjadi saksi, tanpa jemu tangan emak mengusap-usap kepala saya sambil bercerita kisah-kisah lampau. Saya pula seringkali terlena di ribaan emak sehinggalah emak mengejutkan saya.
Jika tidak ada kutu, apakah dapat saya merasai sentuhan lembut tangan emak? Mungkin jarang-jarang sekali. Lihatlah, sesuatu yang pada pandangan mata tidak baik, sebenarnya ada hikmah yang tersirat.
"(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka." (Ali-Imran: 191)
Mudah-mudahan Allah SWT berkenan melimpahkan rahmat dan kasih sayang kepada ibu dan bapaku, sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayangnya yang tidak pernah bertepi itu...
0 comments:
Post a Comment