Sahabat Sejati

Wednesday, 11 June 2014

Cetusan rasa: Sampaikan kami kepadanya...


Siang berganti malam, hari ini sudah pun masuk 12 Sya`ban. Maknanya tidak sampai tiga minggu lagi kita akan menyambut kedatangan bulan yang penuh keberkatan, Ramadhan al-Mubarak. Cepatnya masa berlalu. Ramadhan yang lalu rasanya baru sahaja melambai pergi. Tiba-tiba dalam leka pejam dan celik, Ramadhan berkunjung semula.

Tidakkah masih terlalu awal untuk bercerita mengenai Ramadhan. Tidakkah kemaruk namanya? Tidak, mari kita berbicara untuk menyambut Ramadhan. Sesungguhnya dalam ertikata sebenar mari kita siapkan seawalnya dengan mengisi ilmu pengetahuan bagi menghadapi Ramadhan. Seumpama ingin bermain bolasepak yang memerlukan kemahiran dan pengetahuan berkaitan undang-undang permainannya. Ya, tanpanya bagaimana kita mahu menikmati permainan itu.

Demikianlah juga dengan Ramadhan, bagaimana kita mahu menghayati dan mendapatkan manfaat semaksimum mungkin apa yang ada di dalamnya jika tiada pengetahuan tentangnya. Menerobos pintu Ramadhan bermakna melangkah ke alam yang penuh dengan amal kebajikan. Tentu rugi jika kita tidak mampu merangkul apa yang telah dijanjikan dalam bulan tersebut.

Ramadhan adalah rahmat kepada manusia. Secara umum, rahmat memberi erti segala rupa pemberian Allah SWT kepada hamba-Nya. Pemberian itu sebagai tanda kasih sayang-Nya. Dari segi bahasa pula ia memberi maksud sesuatu yang bertentangan dengan bala, musibah dan keburukan. Maka, dapat disimpulkan bahawa rahmat adalah sesuatu yang disukai, menggembirakan serta di dalamnya ada kemanisan dan kebaikan.

Allah SWT berfirman: “Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya...” (ar-Rum : 36) 

Ramadhan sentiasa akan hadir saban tahun sehinggalah akhir usia dunia ini. Cuma adakah kita yang mempunyai kesempatan menyambutnya atau tidak. Berapa ramai yang telah pergi dalam kembara yang tidak kembali, tanpa mereka mengetahui bahawa Ramadhan yang lalu adalah yang terakhir bagi mereka. Diri kita sendiri juga, apakah ada berkesempatan memasuki Ramadhan tahun 1435H ini atau pun tidak. Kita tidak mampu menjawabnya. Kematian itu senantiasa mengintai di antara kerdipan pejam dan celik. Apabila kita memejamkan mata, dapatkah kita mencelikkannya kembali. Begitu juga setelah kita mencelikkan mata, mampukah kita memejamkannya semula. 

Allahu rabbi, kita hanya mampu berdoa: “Ya Allah, berkatilah kepada kami bulan Sya’ban dan sampaikanlah kami kepada Ramadhan. Ameen.” 

Mudah-mudahan...

0 comments:

Post a Comment