Saat saya memainkan lenggok anak-anak jari di atas papan kekunci untuk memulakan cetusan rasa ini, saya merasa sedikit tidak selesa. Saya tahu ia mungkin akan ditatapi oleh sebilangan orang. Tentu ada yang suka, dan ada pula yang sebaliknya. Ia adalah fitrah kehidupan, kita tidak akan mampu memuaskan hati semua orang.
Saya bukanlah mahu mengarang sesuatu yang besar. Saya tidak memiliki kemampuan itu . Apalah mahu dibandingkan dengan tulisan ini, hakikatnya tidak sampai separuh debu ilmu di dalam dada.Sebagaimana gahnya tinta para alim ulama, mereka dikurniakan keluasan samudera ilmu. Manakala, saya pula seumpama nelayan perahu kecil yang teroleng-oleng dipermukaannya.
Saya tidak mahu menulis sesuatu yang bukan di dalam pengetahuan saya. Menulis adalah memberitahu tetapi memberitahu semestinya dalam kadar batas yang termampu bersandarkan kepada kebenaran.
Saya mengerti, natijahnya amat besar. Kita akan dipertanggungjawabkan setiap apa yang ditulis.Ya, apa yang ditulis akan menjadi satu di antara dua, dosa ataupun pahala. Tidak mungkin ia berlalu begitu sahaja menjadi debu yang berterbangan ditiup angin.
Realitinya saya hanya mahu mencoret sedikit cetusan yang hadir daripada hati nurani. Namun, saya cuba pastikan di dalamnya tertuang sedikit teladan hidup sebagai nasihat dan panduan. Sesuai dengan prinsip ‘pondok kecil’ ini, “Teladan hidup dalam cetusan rasa”.
Kata sang murabbi, al-Ustaz Pahrol Mohd Juoi: “Tulislah yang baik-baik walau diri belum baik, sekurang-kurang itu dapat menyelamatkan kita daripada menulis yang buruk-buruk”.
Benar, tulislah sesuatu yang baik. Siap tahu, mungkin hasil daripada penulisan kita yang tidak seberapa itu menjadi penyebab hidayah atau perubahan seseorang yang tidak kita kenali dan ketahui siapakah orang itu. dan kita mengetahuinya ketika ia dibuka di hadapan kita pada hari perhitungan amal nanti. Tatkala itu tidakkah kita merasa beruntung dan bertuah?
Ayuh teman, tulislah yang baik-baik...
0 comments:
Post a Comment