Sahabat Sejati

Monday, 30 December 2013

Cetusan rasa: Cerita pada 26 Disember 2013 di Pulau Tawar, Jerantut


26 Disember yang lalu, saya ke Pulau Tawar Jerantut kerana mendaftar sekaligus membayar yuran anak sulung di sekolahnya. Entahlah sudah berapa kali saya ke sini sejak anak yang sulung belajar di SMA Pulau Tawar. Daripada sekadar tahu Pulau Tawar terletak di dalam daerah Jerantut, sehinggalah mampu menghafal nama-nama jalan dan tempat di sekitarnya.

Alhamdulillah urusan pendaftaran dan bayaran yuran sekolah berjalan dengan lancar, walaupun agak sibuk dengan ibu bapa lain yang turut datang dengan maksud yang sama. Dapatlah juga saya beramah mesra dengan ibu bapa rakan-rakan anak saya. Ada yang datang dari Kuala Tahan, Kota Gelanggi, Kuala Mai, Sungai Jan dan sebagainya.

Seronok dapat menghubungkan tali persahabatan dengan sahabat-sahabat lama, serta mengikat tali persahabatan dan perkenalan dengan sahabat-sahabat yang baru. Pertemuan mengeratkan lagi tali persahabatan. Sesungguhnya tali persahabatan itu adalah "rahmat" daripada Allah yang sewajarnya dijaga dan dihangatkan sentiasa. Teringat resepi bersahabat oleh Ustaz Hasrizal Jamil: “Tidak perlu mencari sahabat, tetapi jadikan diri kita mudah bersahabat maka sahabat akan datang kepada kita.”

Hmm..menggeletar juga tangan saya sewaktu membayar yuran persekolahannya. Itu baru seorang anak, selepas ini beberapa orang lagi pula sedang menunggu. Yang bersekolah di Kemaman, di Kuantan. Agak-agak berapa pula yang harus dikeluarkan RM-nya. Akan tetapi, memahami keadaan yang semuanya serba naik sekarang ini, serta ia adalah pilihan saya ketika mendaftarkan mereka mula-mula dahulu, saya yakin ini adalah keputusan yang terbaik. Insya-Allah.

Banyak mana pun bayarannya, sedikit atau banyak, seluk poket dan bayar, tak perlu nak komplen apa-apa. Bimbang juga nanti disuruh cari sekolah lain jika tidak bersetuju dengan yuran sekolah ini. Itu tidak apa lagi, jika disuruh berpindah ke negara lain, macamana? Tentu tambah haru-biru jadinya. Bukankah sekarang ini amat 'femes' ayat "kalau tak setuju..." Ada yang kata, "kalau tak setuju harga ayam naik, jangan makan ayam, makan ikan", "kalau tak setuju tol naik, lalu jalan biasa", "kalau tak setuju pilihanraya negara ini, sila berpindah ke negara lain".

Saya melihat di dalam FB ada yang menjawab, "Kalau tak mahu menjalankan hukum Tuhan, jangan duduk di bumi-Nya, pergi buat bumi sendiri." Ada pula yang nakal membalas, " Dia ingat Malaysia ni milik mak bapak diorang ke..." Tergelak saya membacanya. Macam-macam...

Ziarah sebelum pulang 

 'Tanah Perkuburan Besar Pulau Tawar, tempat jasad Pahlawan Mat Kilau disemadikan'

Sebelum bergerak pulang, saya mengajak anak sulung menziarahi pusara pahlawan Mat Kilau yang terletak di Tanah Perkuburan Besar Pulau Tawar. Sejurus tiba di sana, kami menghadiahkan al-Fatihah dan memanjatkan doa agar Allah SWT berkenan mencucuri rahmat ke atas rohnya. Terbayang bagaimana kisah perjuangannya menentang penjajahan di Negeri Pahang seperti yang pernah saya baca di dalam buku-buku sejarah.

Selepas itu kami bergerak pula ke Masjid Lama Pulau Tawar. Yalah, alang-alang sudah sampai ke sini, baik singgah dahulu mana yang patut. Bila pula mahu berkunjung ke sini, wallahua`lam jika panjang umur.

Masjid ini pernah digemparkan dengan pengisytiharan diri oleh Pahlawan Mat Kilau pada hari Jumaat, 26 Disember 1969 selepas sembahyang Jumaat. Satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menyiasat bagi melakukan siasatan terperinci bagi mengesahkan dakwaan ini. Selepas siasatan dan penyelidikan berbulan-bulan, kerajaan negeri Pahang akhirnya mengesahkan identiti itu. Pengisytiharan telah dibuat oleh YAB Menteri Besar Pahang, Tan Sri Yahya Mohd Seth pada 6 Ogos 1970.

Namun, 10 hari selepas pengesahan itu, Mat Kilau meninggal dunia pada 16 Ogos 1970 di kediamannya di Kampung Batu 5. Beliau dikatakan meninggal dunia pada usia hampir 122 tahun berdasarkan maklumat bahawa beliau dilahirkan pada 1847. Jenazahnya dikebumikan dengan penuh penghormatan seorang pahlawan di bumi kelahirannya di Kampung Masjid Pulau Tawar, Jerantut.

Saya pernah menulis mengenainya beberapa ketika dahulu sewaktu lawatan pertama ke sini (menyoroti sejarah pahlawan pahang). Saya juga telah menulis menyatakan sedikit kekesalan kerana tiada inisiatif daripada pihak yang berwajib untuk memuliharanya. (Pulau Tawar, harapanku melihatnya dengan suasana yang berbeza)

 'Masjid Lama Pulau Tawar yang menjadi tempat pengisytiharan Pahlawan Mat Kilau pada 26 Disember 1969, berwajah baru menyambut kedatangan kami pada 26 Disember 2013'

Hari ini saya melihat semuanya telah berubah. Masjid lama yang dahulunya kelihatan uzur tanpa penjagaan telah diubahsuai dengan cantik. Saya sendiri merasa terkejut sewaktu melihatnya. Jalan masuk telah ditar cantik, manakala kawasan sekeliling yang dahulunya dilingkungi semak samun, sudah menjadi lapang dan bersih.

Alhamdulillah, sejuk mata dan tenang hati melihatnya. Saya yakin dan percaya ia bukanlah kerana tulisan saya yang tidak seberapa itu. Tidak sekali-kali. Sebenarnya di situ telah didirikan sebuah pusat pengajian yang diberi nama Madrasatul Mu`allim Yunus al-`Arabiyyah, manakala Masjid Lama Pulau Tawar telah menjadi sebahagian madrasah tersebut. Saya adalah di antara orang yang merasa teruja dan gembira dengan perubahan ini.

 'Papan tanda madrasah '

Meneruskan perjalanan sebelum pulang, kami singgah sebentar di lokasi rumah kelahiran Pahlawan Mat Kilau. Hajat di hati ingin melihat ia turut menerima perubahan sepertimana masjid lama tadi. Saya teringat ketika pertama kali mengunjunginya pada tahun 2010. Melalui panduan seorang penduduk kampung saya berhasil menemui rumah tersebut yang telah pun di kelilingi semak-samun. Susah-payah saya meranduknya untuk merakam foto. Saya tidak berani menghampiri lebih dekat kerana keadaan rumah tersebut yang agak uzur serta bimbang jika terdapat haiwan berbisa yang turut menumpang berteduh.
 
Sewaktu sampai, kelihatan telah ada papan tanda lokasi rumah tersebut, tetapi saya merasa hampa apabila melihat rumah itu telah rebah menyembah bumi. Hendak mendekati sebagaimana yang saya lakukan 3 tahun yang lalu pun sudah tidak boleh. Semuanya telah terhalang oleh semak-samun yang merimbun. Saya kecewa dengan apa yang berlaku.

 'Papan tanda lokasi rumah Pahlawan Mat Kilau, tetapi rumahnya telah pun rebah menyembah bumi'

Saya sering tertanya-tanya mengapa pihak yang berwajib tidak mengambil inisiatif untuk memulihara khazanah ini. Bagi saya ia satu nilai sejarah yang tidak ternilai harganya. Malah generasi baru tentu dapat mempelajari dan membuat kajian sejarah mengenainya. Jika rumah kelahiran Hang Tuah dan P. Ramlee mendapat pembelaan dan pemuliharaan yang sewajarnya oleh pihak kerajaan negeri Melaka dan Pulau Pinang. Mengapa tidak dengan rumah kelahiran Pahlawan Mat Kilau. Ya, mengapa tidak?

Saya merintih tanpa suara dalam perjalanan pulang ke Kuantan...

0 comments:

Post a Comment