Sahabat Sejati

Sunday, 14 April 2013

Sertai pilihanraya jihad fisabilillah?

Soalan:

Adakah memasuki pilihanraya dalam sistem politik yang diamalkan di Malaysia, demi untuk menegakkan hukum-hukum Allah menerusi perjuangan kepartian, apakah ia suatu jihad fisabilillah, seperti yang disebut-sebut sebagai suatu jalan untuk memartabatkan agama Allah? Terimakasih.

Jawapan:

Termasuk atau tidak jihad pilihanraya sebagai suatu jihad fisabilillah tergantung sepenuh kepada niat dan matlamat seseorang yang memasuki pilihanraya itu.

Jika niatnya jelas ketara, hanya untuk mendapat pulangan keduniaan atau mempertahankan status quo politik perkauman yang sempit, demi kuasa dan kepentingan duniawi semata-mata, tanpa ukhrawi dan Islam tersisih, tercorot dan tertekan tanpa penghayatan, maka jadilah perjuangan seperti yang Allah SWT sebutkan (mafhumnya): "Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikit pun padanya. Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan." (Hud: 15-16)

Seandainya perjuangan yang dimasuki dalam pilihanraya itu semata-mata kerana dunia dan kemajuannya, di waktu yang sama menentang perjuangan keIslaman  dan tidak berhasrat memartabatkan Islam dan melaksanakan perintah-perintah Allah di dalamnya, maka perjuangan sedemikian, bukan sahaja tidak tersenarai dalam fisabilillah, malah tergolong dalam golongan penentang-penentang agama Allah.

Firman Allah (mafhumnya): "Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat dan menghalang manusia daripada jalan Allah (Islam), serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya." (Ibrahim: 3)

 Adapun yang berniat dan berazam untuk bersungguh-sungguh memasuki pilihanraya itu untuk menegakkan agama Allah demi memartabatkannya, dan bermatlamat untuk melaksanakan tuntutan bernegara atas prinsip-prinsip Islam yang luhur, dengan matlamat untuk mencapai keredhaan Allah, maka itulah yang boleh disebut perjuangan fisabilillah.

Seperti firman Allah SWT (mafhumnya): "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepada-Nya (dengan mematuhi perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan berjuanglah (berjihad) pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan (dunia dan akhirat)." (al-Maidah: 35)

Perintah Allah agar orang yang beriman dengan-Nya, berjihad demi memartabatkan agama Allah, amat banyak dalam al-Quran. Antara firman-Nya (mafhumnya): "Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta-benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya - as-sadiquun)." al-Hujurat: 15)

Pentingnya niat dan matlamat mencari keredhaan Allah. Redha Allah asas yang menentukan nilai sesuatu perjuangan.

Inilah yang disebutkan oleh Rasulullah saw dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Umar al-Khattab (mafhumnya): "Sesungguhnya semua pekerjaan kamu, tergantunglah dengan niat pelakunya. Dan bagi seseorang insan itu akan memperolehi menurut apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah (berjihad) kerana Allah dan Rasul-Nya, maka akan dibalas apa yang diniatkan. Dan sesiapa yang berhijrah (berjihad) dengan niat untuk mengahwini seorang perempuan, atau dengan niat sesuatu matlamat keduniaan yang diingininya, maka hijrahnya (jihad) tersebut akan dibalas mengikut apa yang dikehendakinya."

Oleh itu maka, renungilah semula kerja-kerja besar untuk menghadapi pilihanraya, yang melibatkan tenaga, wang ringgit dan masa serta tekanan-tekanan yang dihadapi.

Akan beruntunglah kita, jika semuanya dilakukan semata-mata hendak memartabatkan agama Allah, dan rugilah akhirnya jika orang yang mengkehendaki semuanya itu kerana keduniaan, kerana akhirnya dunia akan meninggalkan kita. Wallahua`lam.  

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din 

0 comments:

Post a Comment