Persembahan pelajar ibtidae. Yang kiri sekali baju pink bukan pelajar, anak-salah seorang hadirin yang tiba-tiba naik ke pentas, nak tonjolkan bakat juga agaknya.
Hari ini saya mengambil cuti untuk menghadiri Majlis Ihtifal Pusat Pengajian Taman Islam (PPTI), tempat anak saya yang kedua belajar. Ihtifal ini adalah yang ke-36, bermakna anak saya adalah generasi yang ke-36 belajar di sini. Hampir seusia dengan saya rupanya.
Jika mahu diikutkan penat badan memang terasa malas untuk menghadirinya. Semalam hampir jam dua pagi saya pulang ke rumah kerana terlibat dalam program kebajikan penduduk setempat. Tetapi, kerana mengetahui betapa besarnya makna majlis-majlis sebegini kepada anak-anak, saya berazam untuk tidak sekali-kali terlepas menghadirinya.
Walaupun ibu bapa saya tidak pernah menghadiri majlis-majlis sekolah saya dahulu, saya tidak kesal atau terkilan. Sememangnya saya amat mengerti dan memahami akan kepayahan dan kesukaran mereka ketika itu. Sedangkan keazaman mereka menyediakan pengajian kepada saya bermula dengan mengenal ABC dan 123, sehinggalah menanggung biaya kepada pengajian ke peringkat seterusnya, merupakan jasa kebaktian yang terlalu besar. Mana mungkin saya mampu membalasnya, biarpun ditukar dengan seisi dunia.
Sepanjang perjalanan saya terhibur dengan pemandangan aneka bendera yang merintangi jalan serta yang dipacak di kiri kanan jalan. Oh, ya! Rakyat Malaysia sedang berada di ambang PRU ke-13. Bahangnya amat terasa. Tidak cukup dengan itu, ditambah dengan kreativiti mereka membina pelbagai replika. Ada meriam, wau bulan, kapal selam, jet pejuang, kereta perisai, malah lembu pun ada. Memang kreatif rakyat negara ini. Bakat yang tertonjol 5 tahun sekali.
Kumpulan nasyid Lambaian Kasih. Daripada pelajar Sanawi, amat berbakat
Manakala penyempurnaan perasmian telah dilakukan oleh al-fadhil Ustaz Mazlan Ibrahim, mudir Madrasah Darul Iman yang juga merupakan bekas pelajar PPTI di tahun 80-an dulu. Manakala pada malamnya, kuliah maghrib pula akan disampaikan oleh big boh, al-fadhil Ustaz Azhar Idrus. Tidak sempat saya untuk menunggu kuliah maghrib kerana malam ini ada satu lagi program yang perlu untuk saya menghadirkan diri.
Dalam perjalanan pulang sempat saya singgah membeli keropok lekor di gerai yang sentiasa saya singgah setiap kali melalui jalan itu terutamanya apabila ke Terengganu. Keropok buatannya benar-benar kena dengan selera saya. Keropoknya banyak ikan dan tanpa tulang, masih lembut selepas digoreng walaupun setelah 4 hari diletakkan di dalam peti ais. Isteri dan anak-anak turut menyukainya. Hari ini RM10 keropok lekor untuk dibawa pulang.
Keropok lekor yang kena dengan selera...
Saya sentiasa berazam untuk meraikan hari `mereka` biarpun tubuh penat serta jiwa lelah dengan kesibukan yang entah bila akhirnya. Hari itu adalah hari mereka, anak-anakku...
0 comments:
Post a Comment