Sahabat Sejati

Tuesday, 16 April 2013

Bicara santai: Semoga Tuhan memberikan kesembuhan...

 

Kelmarin salah seorang sahabat setaman dengan saya telah dimasukkan ke hospital kerana disyaki terkena jangkitan kuman dari kencing tikus atau nama saintifiknya Leptospirosis. Saya beristighfar panjang tatkala menerima berita itu. Kalau dulu kes-kes yang sebegini saya dengar jauh di tempat lain, tetapi tidak sangka ia terjadi pula di taman perumahan saya. Bimbang juga rasanya.

Penyakit kencing tikus atau Leptospirosis disebarkan melalui kencing haiwan yang dijangkiti dan berjangkit selagi ia masih lembab. Tikus dan mondok merupakan agen utama. Manusia boleh dijangkiti melalui hubungan dengan air, makanan, atau tanah yang mengandungi kencing haiwan yang dijangkiti ini. Ini mungkin berlaku dengan menelan makanan atau air yang dicemari, atau melalui sentuhan luka pada kulit.

Seingat saya, dulu pun ada juga tikus tetapi tidak pernah terdengar mengenai penyakit ini. Teringat saya masa budak-budak dulu, jika emak dan kakak mengemas atau mengalihkan almari-almari lama, saya pun menyibuk sama. Bukan nak menolong, tapi mahu mengintai-ngintai sarang tikus di belakang almari atau di dalam laci. Sedang mengalihkan almari, bertempiaran ibu tikus meninggalkan anaknya yang masih kecil di dalam sarang. Anak-anak tikus yang masih kecil menjadi mainan saya sebelum dicampakkan kepada kucing peliharaan. Masa itu tidak pernah bimbang dan takut dengan penyakit kencing tikus. Tetapi tidak untuk zaman ini, selisih...

Sekarang ini bukan sahaja penyakit kencing tikus atau Leptospirosis, malah bermacam-macam penyakit pelik yang timbul, hendak menyebut namanya pun susah. Kalau dulu ada Rubella, HIV Aids, Autoimmune Disorders, Ebola, Japanese Encephalitis, Avian Influenza dan sebagainya.

Berfikir sejenak. Benar, menjaga kebersihan adalah pokok utama. Saya yakin semua bersetuju dengan kenyataan ini. Sekiranya kita tidak menjaga atau mengabaikan aspek-aspek kebersihan tentulah akan mengundang agen bawaan penyakit. Lalat, nyamuk, tikus, lipas dan sebagainya. Itu memang sunnatullah, saya bersetuju. Bahkan Islam sendiri meletakkan kebersihan adalah sebahagian daripada iman.

Namun, tiba-tiba benak saya terfikir sesuatu. Teringat satu hadis Rasulullah saw:

Abdullah ibn Umar berkata, Rasulullah saw telah menghampiri kami lalu bersabda: "Wahai Muhajirin, kamu akan ditimpa 5 bencana; semoga Allah tidak mengizinkan kamu hidup untuk menyaksikannya: (1) Apabila zina berleluasa, ketahuilah bahawa ia tidak berlaku tanpa ditimpa penyakit-penyakit baru yang tidak pernah diketahui/dialami oleh manusia sebelumnya. (2) Apabila manusia menipu dalam timbangan, ia tidak berlaku tanpa ditimpa kemarau dan kebuluran ke atas orang ramai serta ditindas oleh pemerintah mereka. (3) Apabila manusia tidak memberi zakat, ketahuilah bahawa hujan akan tertahan ke atas mereka. (4) Apabila manusia memutuskan perjanjian mereka dengan Allah dan Rasul-Nya, ketahuilah bahawa Allah akan menghantar musuh kepada mereka untuk merampas kepunyaan mereka. (5) Apabila pemerintah mereka tidak memerintah mengikut Kitabullah, ketahuilah bahawa Allah SWT akan pecah-belahkan mereka dan menjadikan mereka berbalahan sesama mereka.” (Riwayat Ibn Majah, Kitab al-Fitan (Hadith 4019), 2/ 1332).

Hadis ini adalah hadis yang menceritakan perihal bencana yang menimpa umat manusia di akhir zaman. Saya tidak bermaksud untuk menghuraikan semuanya. Cukuplah dengan mengambil bencana yang pertama iaitu berkaitan dengan dosa zina. Hari ini, perzinaan berleluasa tanpa mampu disekat. Saban hari ada sahaja yang diberitakan dalam akhbar dan televisyen. Di internet lebih-lebih lagi.

Pengalaman saya dalam misi-misi dakwah membenarkan apa yang berlaku. Malam tahun baru, malam merdeka, malam valentine dan seribu satu malam yang entah apa-apa. Sahabat sekalian boleh membaca entry lama saya berkaitan misi dakwah yang saya sertai. Bermacam-macam ragam dan karenah manusia yang dijumpai.

Tetapi saya tidaklah memaksudkan bahawa setiap pengunjung yang datang pada malam-malam tersebut, semuanya memang hendak berzina. Tidak! Ada yang datang untuk bersiar-siar bersama keluarga. Saya fokuskan pada pasangan-pasangan yang kami temui di lokasi-lokasi yang tidak sepatutnya dan dengan perlakuan yang mencurigakan. Apa yang boleh kami lakukan, sekadar menyampaikan nasihat kebaikan dan meminta beredar. Selebihnya diserahkan kepada pihak jabatan agama. Cuma apabila melihat jumlah tangkapan yang dilakukan oleh pihak Jabatan Agama melalui serbuan di hotel-hotel bajet, kita boleh merumuskan sesuatu. Ditambah dengan statistik kelahiran anak-anak tidak sah taraf. Amat meresahkan!

Semoga Allah SWT melindungi kita semua...

Buat sahabatku, mudah-mudahan semoga Allah SWT memberikan kesembuhan dan segenap kesabaran dalam menghadapi ujian yang menimpa ini.

0 comments:

Post a Comment