Sahabat Sejati

Wednesday, 17 April 2013

Ilmu pengetahuan, belajar dan mengajar

Aisyah r.ha berkata, turunnya wahyu pertama kepada Rasulullah saw ialah berupa mimpi, berlakunya pada waktu pagi, lalu baginda terus ke gua Hiraa` untuk melakukan ibadah dengan membawa sedikit bekalan. Apabila saat datangnya wahyu, Malaikat Jibril datang menyuruh Nabi saw Iqra` (bacalah). Nabi saw menjawab: Maa ana biqaari` (Aku tidak tahu membaca). Lalu Malaikat Jibril memeluk Nabi saw dengan erat. Sehinggalah tiga kali Malaikat Jibril bertanya dan memeluk Nabi saw. Lalu diajarkan surah al-Ala` ayat 1 – 5.

Nabi saw turun dari bukit sambil gementar seluruh tubuhnya. Apabila sampai di rumah, baginda berjumpa isterinya Khadijah dan berkata : Zammiluni, zammiluni (Selimutilah aku, selimutilah aku). Maka Khadijah menyelimuti Nabi saw. Setelah merasai ketenangan, Nabi saw menceritakan peristiwa yang berlaku di gua Hiraa`.

Inilah ayat pertama yang diturunkan oleh Allah SWT dan ia merupakan rahmat Allah kepada para hamba-Nya. Dalam ayat-ayat permulaan ini, Allah SWT memerintahkan Nabi saw supaya membaca dan memerhatikan bukti kebesaran-Nya.


Islam agama yang amat menitikberatkan ilmu pengetahuan sebagaimana ayat pertama yang diturunkan kepada Rasulullah saw. Ayat pertama “BACALAH” adalah saranan dan suruhan menuntut ilmu kerana ia dapat menjauhkan seseorang itu daripada kejahilan. Jahil dalam perkara keduniaan tidaklah terlalu memberi kesan, tetapi apabila jahil dalam perkara agama amat membahayakan. Kejahilan dalam perkara agama mudah mengheret manusia ke arah kemurkaan Allah. Kadang-kadang tanpa sedar seseorang itu mudah melakukan perkara dosa sedangkan dalam masa yang sama dia terkeliru kerana merasakan apa yang dilakukan adalah betul.

Ilmu pengetahuan yang dimiliki hendaklah diamalkan dan disebarkan pula kepada orang lain. Inilah yang dituntut oleh Islam agar menyampaikan menurut kemampuan yang ada. Tanpa kita sedari dengan menyebarkannya seolah-olah kita membina rantaian MLM yang akan mengundang pahala.

Imam Muslim, Imam Nasaie dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Jarir Bin Abdullah : "Sesiapa yang membuat sesuatu yang baik lalu diamalkan amalan tersebut, maka baginya pahala dan juga pahala seumpama orang yang melakukannya tanpa dikurangi pahalanya sedikitpun, dan sesiapa yang membuat sesuatu yang tidak baik lalu diamalkan amalan tersebut, maka baginya dosa dan juga dosa seumpama orang yang melakukannya selepasnya tanpa dikurangi dosanya sedikitpun."

Daripada hadis ini dapatlah kita fahami bahawa sesiapa yang membuat satu kebaikan lalu mengajarkannya kepada orang lain, maka baginya pahala dan apabila ia diamalkan pula oleh orang yang diajarnya maka dia juga mendapat pahala itu tanpa dikurangi pahala orang yang diajarinya. Sesungguhnya pintu perbendaharaan pahala tidak akan tertutup, bahkan sentiasa akan terbuka. Betapa pemurahnya Allah SWT kepada kita.

Setiap pahala yang diperolehi oleh setiap Muslim sehingga hari Kiamat juga akan disalurkan kepada Rasulullah saw yang mulia dan para sahabat baginda yang memikul serta menyampaikan ke serata pelosok dunia.

Tidakkah kita menginginkannya juga?

Sampaikanlah walaupun sepotong ayat.

Teman-teman...

0 comments:

Post a Comment