Sahabat Sejati

Tuesday, 2 April 2013

Damai desa, damai jiwa...

Cuti sekolah sudah pun berakhir kelmarin. Bagaikan tidak terasa seminggu berlalu, terlalu cepat. Anak-anak pun sudah balik ke asrama masing-masing.

Cuti sekolah ini saya tidak dapat bergerak ke mana-mana, dek kerana kesibukan yang mengekang. Sebenarnya saya sudah berjanji dengan anak-anak untuk balik ke kampung pada cuti sekolah tersebut, namun atas alasan tersebut saya terpaksa membatalkannya. Mujurlah anak-anak memahami dan dapat menerimanya. Terasa juga terkilan di hati kerana tidak dapat mengotakan janji kepada anak-anak.

Saya tahu, sebut sahaja balik kampung, tentunya yang paling gembira adalah anak-anak. Saya juga turut menumpang kegembiraan ahli fitrah. Di kampung, macam-macam aktiviti yang boleh dilakukan. Tambahan pula saya suka bercerita kepada anak-anak pengalaman sewaktu zaman budak-budak dahulu. Mandi sungai, meranduk paya dan belukar, menjerat burung, bermain permainan yang telah pun pupus di zaman ini dan seribu macam lagi aktiviti budak kampung. Cukup nostalgia,

Jika pulang ke kampung isteri, nenek setia menanti kepulangan cucunya-cucunya. Seronok berhimpun bersama ipar-duai, anak-anak pula berkejar ke sana sini bagai mahu meruntuhkan rumah, sekejap pula mereka berkejaran di laman hijau yang luas. Rumah mertua saya berhampiran dengan pantai. Singkap sahaja jendela belakang, terbentang saujana kebiruan laut dengan deruan angin pantai yang bertiup. Kebiasaannya, setiap kali balik, adik-adik ipar saya akan mengajak memancing di laut menaiki bot fiber miliknya.

Saya memang minat memancing di laut tetapi tidaklah sampai tahap ‘kemaruk’ memancing. Teringat semasa di awal perkahwinan dahulu, saya mengikuti adik-adik ipar memancing di laut. Apa yang terjadi, saya hanya sempat sekali menurunkan tali kail selepas itu saya terbaring lesu kepeningan ‘mabuk laut’. Lucu pula mengenangnya. Itulah pengalaman pertama kali memancing di laut. Tetapi selepas daripada peristiwa itu, saya sudah tidak mabuk lagi setiap kali turun ke laut.

 Pemandangan dari jendela. Kelihatan Pulau Ular di tengah kebiruan air laut.

Di situ juga terdapat sebuah pulau yang dikenali oleh penduduk tempatan dengan Pulau Ular. Entahlah, saya pun tidak pasti bagaimana asal-usul pulau itu mendapat nama. Mungkin dulu di pulau itu banyak ular agaknya, sekarang dah tiada sebabnya setiap kali saya singgah di pulau itu setelah penat memancing tak pernah pula terserampak dengan ular. Sekali pun tidak pernah. Yang ada hanya burung-burung yang memang banyak bersarang di atas batu.

Petang, jika tiada apa yang mahu dibuat, dengan membawa bekal makanan dan minuman kami turun ke pantai untuk mandi-manda. Alangkah seronoknya menjamu selera ditemani deburan ombak setelah penat berkejaran bermain air serta mencari kepah dan udang kara yang banyak bersarang di pasir pantai.

Ahh..andai mahu diceritakan keseronokkan di kampung tidak akan habis dan tidak menjemukan. Kerana disitulah terletaknya kedamaian dan ketenangan. Mengapa begitu mudah penyakit orang kota begitu mudah terubat sekembalinya ke kampung?

Saya memetik tulisan Ustaz Hasrizal, yang saya benar-benar berkongsi rasa dengannya.

Kerana kami pulang ke asal. Itulah formulanya. 

Untuk mencari damai di hati dan jiwa, pulanglah ke asal.

Mungkin kerana itu, zikrullah, solat dan majlis ilmu, sering mengundang damai. Sedangkan dosa, lagha dan tenggelam oleh urusan dunia, acapkali menimbulkan resah dan gelisah. Kerana asal jiwa ini “dekat” dengan Allah. Masakan tidak “dekat”. 

Kita pernah bersoal jawab dengan Allah secara langsung, di alam roh yang misteri, namun boleh difahami bahawa asal maujudnya kita adalah “dekat” kepada-Nya. Allah bertanya secara langsung kepada kita: 

“Bukankah Aku Tuhan kamu?” 

Dan kita semua telah menjawabnya secara langsung kepada Dia:

“Benar (Engkaulah Tuhan kami), Kami menjadi saksi” (Al-A`raaf : 172) 

Di alam itu kita “dekat” dengan-Nya. Dan hakikat itu memainkan peranannya pada kembara kita di sebuah dunia. 

ANALOGI PERANTAU 

Apa rasanya seorang perantau yang terbuang sendirian di bumi asing? 

Sunyi, rindu, dan resah tidak tentu masa. 

Bagaimanakah perasaan perantau itu tatkala bertemu dengan seorang insan yang dikenal pastinya sekampung, sedaerah dan berkongsi persamaan, ketika dirinya sedang remuk rindu di perantauan? 

Pastinya gembira, hilang sunyi, terhibur malah rasa “selamat”. 

Bagaimana perasaan itu menjelma? Dari mana kepuasaan itu muncul di dalam jiwa? 

Tentu sahaja, kerana insan yang ditemuinya itu berkongsi asal yang sama. Bila diri dibawa pulang ke asalnya, jiwa tenteram beroleh damai. 

Itulah rahsia zikrullah menenangkan jiwa, ketika roh kita dibawa kembali ke sifat asalnya. “Dekat” dengan Allah. 

Bagaimana mungkin titis hujan, liku alur dan hijau pohonan tidak mendamaikan? Sedangkan saya lahir di alam begitu, membawa diri pulang ke asal, itulah kunci kebahagiaan yang sejati.

Kuala sungai, tempat nelayan mendaratkan hasil tangkapan

0 comments:

Post a Comment