Sahabat Sejati

Saturday 24 November 2012

Mengenang as-syahid Syeikh Dr Abdullah Yusuf Azzam (1941 - 24 November 1989)


Satu nama besar yang tidak asing lagi dalam dunia dakwah dan gerakan Islam di rantau Arab. Dikenali dengan nama Azzam, adalah figur utama dalam perkembangan pergerakan Islam.

Kecintaan kepada jihad dan mati syahid sangat memenuhi relung hatinya. Bukan sekadar kata-kata kosong tetapi beliau membuktikannya dengan mewakafkan seluruh hidupnya untuk perjuangan Islam. Bahkan beliau telah memahat tuntutan jihad di hati kaum muslimin.

Beliau menjadi inspirasi dan ikon para mujahid muda. Beliau sanggup mengorbankan cara hidup mewah untuk bergulat bersama anak-anak muda dan menginspirasikan mereka tentang tanggungjawab untuk membebaskan umat Islam daripada kezaliman.

Beliau pernah berkata: 

“Aku rasa seperti baru berusia 9 tahun, setengah tahun jihad di Afghanistan, 1 setengah tahun jihad di Palestin dan tahun-tahun yang selebihnya tidak bernilai apa-apa.” 

Sejarah hidup

 Syeikh Dr. Abdullah Yusuf Azzam dilahirkan pada tahun 1941 di desa As-ba`ah Al-Hartiyeh, wilayah Jenin di sebelah barat Sungai Jordan. Bapanya adalah salah seorang mujahidin penting di Palestin yang sentiasa mendidik beliau untuk mencintai Islam dan mengambil berat akan Palestin. Abdullah Azzam semenjak kecil ditanam untuk solat berjemaah di masjid kampungnya.

Setelah menamatkan pendidikan awal dan lanjutan di kampungnya, dia melanjutkan pelajaran di Kolej Khadorri dekat kota Tulkarem, Palestin untuk mengambil jurusan pertanian peringkat diploma. Setelah tamat, Syeikh Azzam bertugas sebagai guru di perkampungan Adder, Jordan. Kemudian beliau melanjutkan pengajian di Syariah College di Universiti Damsyik, Syria bagi memperolehi gelaran B.A pada tahun 1966.

Beliau telah berpindah ke Jordan untuk melibatkan diri dengan Ikhwanul Muslimin Palestin di sana. Beliau telah terlibat dalam beberapa pertempuran penting seperti pertempuran al-Massyru` yang membunuh 63 orang tentera yahudi. Beliau juga telah memimpin beberapa siri pertempuran dalam tahun 1970.

Syeikh Azzam kemudiannya berangkat ke Mesir untuk menyambung pengajian di Universiti al-Azhar, Kaherah dan mendapat gelaran Master di bidang syariah.

Beliau memulakan kerjaya sebagai guru di Universiti Jordan di Amman dan pada tahun 1971 beliau kembali ke Universiti al-Azhar dan memperolehi Ph.D dalam bidang Usul Fiqh. Pada tahun 1980 beliau telah dilantik sebagai pensyarah di Universiti King Abdul Aziz di Jeddah dan pernah memegang jawatan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Islamabad. Namun beliau meninggalkan jawatan tersebut untuk memberikan sepenuh masa kepada perjuangan Jihad di Afghanistan.

Beliau melangsungkan perkahwinan pada tahun 1965 dan dikurniakan cahaya mata seramai 8 orang, lima lelaki dan tiga perempuan. Mereka terdiri daripada Muhammad dan Ibrahim (keduanya gugur syahid bersama bapa mereka ketika berusia 20 dan 15 tahun), Hanifah, Hamzah dan Mus`ab, sementara anak-anak perempuannya terdiri daripada Fatimah, Wafa` dan Sumaiyah.

Pemergiannya 

Musuh Allah sentiasa merancang untuk menamatkan perjuangannya di bumi Afghanistan, pelbagai perancangan telah diatur. Beberapa kali Abdullah Azzam menerima ujian pembunuhan. Sampai akhirnya beliau dibunuh syahid pada hari Jumaat, 24 November 1989.

Tiga buah bom yang sengaja dipasang di kawasan yang biasa dilalui oleh Syeikh Abdullah Azzam meledak ketika sedang meletakkan keretanya untuk menunaikan solat Jumaat di Peshawar, Pakistan.

Kenderaan Syeikh Abdullah Azzam hancur lebur. Anaknya, Ibrahim tercampak keluar sejauh 100 meter. Letupan yang begitu kuat sehingga memutuskan bekalan elektrik dikawasan sekitarnya. Dianggarkan bahan letupan berkuasa tinggi telah digunakan iaitu TNT seberat 20 kilogram.

Beliau meninggal serta-merta bersama dua anaknya iaitu Muhammad dan Ibrahim di tempat kejadian. Tubuh mereka hancur. Namun keajaiban terjadi pada Syeikh Abdullah Azzam. Tubuhnya masih utuh bersandar pada sebuah tembok, hanya sedikit darah yang mengalir dari bibirnya. Turut terbunuh dalam peristiwa itu ialah anak lelaki al-Marhum Syeikh Tamim Adnani (seorang perwira di Afghanistan).

Sesungguhnya Islam dan jihad di Afghanistan benar-benar terasa akan kehilangan sebutir mutiara yang sangat berharga.

(Adaptasi dari buku Tokoh-Tokoh Gerakan Islam Abad Moden)

0 comments:

Post a Comment