Sahabat Sejati

Friday, 2 November 2012

Tazkirah Jumaat: Ujian, bicara dan sapaan Allah


Adakalanya seperti mahu rebah dengan ujian-ujian hidup yang datang. Bahkan seolah-olah tidak mampu untuk bangkit kembali. Demikianlah, kadang-kadang ujian gelora hidup yang datang dengan wajah yang amat menakutkan. Menerjah kita dari sudut yang tidak terduga.

Kadang-kadang saya merasa takjub dan kehairanan melihat orang yang biasa-biasa, tetapi punyai kekuatan yang luar biasa ketika menghadapi ujian. Seumpama mereka tidak terobek dengan ujian dan dugaan tersebut. Mungkin bagi saya ujian itu sudah terlalu besar dan berat lagaknya, tetapi mereka masih memiliki ketenangan dan mampu mencorak tersenyum di kelopak bibir. Apakah rahsianya, terasa ingin benar memiliki kekuatan seperti itu.

Ujian yang datang selalunya sesuai dengan kemampuan diri. Sebab itu kita melihat ada orang yang dapat bertahan, manakala ada yang tersungkur tewas biarpun masalah yang menimpa sama sahaja.

Kita tidak meminta ujian, kita juga tidak dipinta untuk meminta ujian. Tetapi kita diminta supaya berdoa agar ujian yang menimpa sesuai dengan kesanggupan dan kekuatan kita. Siapakah yang mengetahui kadar daya kekuatan kita? Dialah, Allah SWT. Namun untuk mengatakan tidak mahu diuji dalam kehidupan, mana mungkin begitu kerana ujian itu adalah rukun hidup. Dunia ini adalah pentas ujian. Bahkan hidup dan mati juga adalah ujian.

Bagaimanakah kita melihat ujian itu? Mungkin ada sesetengah orang memandang ujian itu dengan persepsi yang amat negatif. Jiwa yang rapuh pasti akan merasakan betapa zalim dan tidak patutnya Allah, nau`dzubillah. Jangan sekali-kali berfikir demikian. Marilah kita mengubah pandangan itu, menafsir dari sisi hikmah dan mata hati.

Sesungguhnya dugaan dan ujian umpama bicara atau sapaan Allah kepada kita agar kembali menginsafi diri. Membetulkan apa yang silap, memperbanyakkan pahala dan memadamkan dosa. Lebih utama, kita menafsirkan ujian yang menimpa itu adalah tanda kasih sayang Allah yang bersangatan kepada para hamba-Nya. Lihatlah berapa ramai orang yang mencari Allah dan menemui jalan kebaikan dek kerana ada ujian dan dugaan yang menimpanya. Begitu juga berapa ramai orang yang sombong dan bongkak jiwanya, tetapi berubah menjadi insan merendah diri dan menghargai orang lain setelah melalui ujian gelora hidup yang getir. Berapa ramai pula insan yang disayangi dan ditinggikan darjatnya oleh Allah SWT, disebabkan kesabaran atas ujian yang menimpanya.

Rasulullah saw bersabda: “Tiada apa pun yang menimpa seorang mukmin, sehingga duri yang mengenainya, melainkan Allah tuliskan untuknya kebaikan (pahala) dan padam dari kejahatan (dosa).” (Riwayat Muslim)

Sesungguhnya semua ini amat menginsafkan dan mengubah persepsi serta pandangan, kerana mengingatkan diri bahawa ujian dan dugaan yang menerjah adalah rahmat dan kasih sayang-Nya.
Melihat kesusahan dan penderitaan seseorang lalu hati kecil berkata: “Sesungguhnya dia sedang tenggelam dalam rahmat Allah, mungkin darjatnya lebih tinggi daripada diriku…”

Setiap dari kita pasti akan melalui ujian. Maka bersabarlah.

Disitu ada rahmat dan kasih sayang-Nya…

0 comments:

Post a Comment