Sahabat Sejati

Tuesday, 20 November 2012

UPSR, langkah permulaan


Hari ini keputusan UPSR diumumkan. Pastinya ia menjadi sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh para pelajar yang menjadi calonnya serta ibu bapa mereka dengan debaran yang kencang. Maka bermacam-macam ragam dan situasi yang dapat disaksikan. Ada yang bersedih kerana mendapat keputusan yang tidak memuaskan atau gagal, dan ada pula yang gembira kerana memperolehi keputusan yang baik sehingga menitiskan airmata. Keduanya menitiskan air mata tetapi sudah tentu gaya tangisannya berbeza.

Kepada yang berjaya sekalung tahniah diucapkan, sesungguhnya anda berhak meraikannya sebagaimana kesungguhan anda belajar dan berusaha. Namun jangan terlalu gembira hingga terlupa kepada hakikat yang memberikan kejayaan ini. Memang, memperolehi kejayaan adalah pengalaman hidup yang manis, tetapi jangan terlupa manisnya gula menyebabkan ramai yang kehilangan kaki dan mata. Bukankah matinya semut juga kerana gula yang manis?

Jika begitu salahkah kita meraikan kejayaan? Tidak, sekali-kali tidak! Tetapi biarlah dalam batasan yang sewajarnya dan penuh kesederhanaan, kerana kejayaan hari ini bukan jaminan kejayaan hari esok.

Manakala kepada yang gagal, tidak perlu terlalu bersedih kerana ia bukanlah akhir kepada segala-galanya. Tidak semestinya kegagalan ini akan menjadi penyebab untuk anda gagal selama-lamanya, maka jangan lemah jika ditimpa kegagalan. Kegagalan dalam hidup adakalanya di luar kawalan kita. Mungkin kita telah berusaha dengan sehabis daya, namun kejayaan bukanlah sesuatu yang pasti. Seperti kita melihat nelayan yang turun ke laut, tentu ia mengharapkan mendapat hasil tangkapan yang lumayan, tetapi tidak ada siapa yang mampu menjangka apa yang akan terjadi di tengah lautan. Laut bergelora, pukat koyak, enjin bot mengalami kerosakan dan berbagai kemungkinan lagi. Walau demikian, berusaha dengan gigih adalah prasyarat untuk berjaya. Namun tidaklah saya katakan bahawa orang yang gagal itu kerana mereka tidak berusaha, mungkin usahanya tidak mencukupi.

Maka, kuatkan semangat dan harapan kepada Allah SWT agar kegagalan di masa hadapan mudah diurus dan ditangani. Belajarlah dari setiap episod kegagalan yang lalu untuk menjadi insan yang cekal dan berani dalam mengharungi segenap kemungkinan.

Oleh itu, walau di mana posisi anda, orang yang berjaya atau di tempat orang yang gagal, maka anggaplah UPSR ini adalah langkah permulaan untuk meneruskan perjuangan hidup yang mendatang.

0 comments:

Post a Comment