Sahabat Sejati

Monday, 2 May 2011

Tazkirah kematian

“Pak Teh Saman dah meninggal pagi tadi,” suara emak di hujung telefon perlahan.

“Innalillah...apa sakitnya,” tanya saya sambil cuba mengingat wajahnya.

“Sakit tua,” jawab emak pendek.

Terbayang wajah Pak Teh Saman, seorang tua yang cukup istimewa di kampung saya. Beliau seorang yang cacat penglihatan, bergerak ke mana-mana bertemankan sebatang tongkat di tangan. Seingat saya, hanya beliau dan isterinya sahaja yang cacat penglihatan di kampung saya.

Semasa kanak-kanak dulu saya amat rapat dengannya, selalu memimpinnya ke kedai atau masjid.

“Pak teh nak ke mana ni? Tiap kali bersua dengannya di jalanan.

“Pak teh nak ke kedai, beli sedikit barang.” Jawabnya, seperti biasa lembut.

“Oo..kedai,” segera saya menyambut tangannya dan memimpin menuju ke kedai.

Sambil berjalan banyak perkara yang dibualkan.

Walaupun cacat penglihatan, tetapi hatinya celik. Beliau sering bersembahyang di masjid walaupun jarak rumahnya yang agak jauh dari masjid. Kadang-kadang timbul rasa malu, apabila membandingkan saya dengan dirinya.

Sifat ramahnya juga amat disenangi oleh semua penduduk kampung.

Tazkirah kematian

Sesungguhnya kematian tiada pernah memilih, tua atau muda, kaya atau miskin, sihat atau sakit. Tidak pernah peduli terhadap raja atau rakyat biasa. Ia melenyapkan kemegahan, memutuskan manusia dari kehidupan yang dilalui. Mengeluarkan seseorang dari istana, dari pondok buruk kemudian membenamkan ke dalam liang lahad yang sempit dan gelap gelita.

“Katakanlah, kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya ia akan menemui kamu, kemudian akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diceritakan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (al-Juma`ah: 8)

Kematian itu pasti. Tiada yang mengetahui bilakah masanya. Ia datang secara tiba-tiba, oleh setiap orang perlu bersedia dengan persiapan. Semestinya kematian secara husnul khatimah adalah impian dan pilihan.

Diceritakan dalam kisah yang masyhur:

Suatu hari Harun ar-Rasyid pergi berburu. Di tengah perjalanan dia bertemu dengan seseorang yang bernama Buhlul. Harun berkata, "berilah aku nasihat, wahai Buhlul!" Lalu lelaki itu berkata, "Wahai Amirul Mukminin, dimanakah bapa, dan datuk-datukmu, dari sejak Rasulullah hingga bapamu?"

Harun menjawab, "semuanya telah mati."

"Dimana istana mereka?"Tanya Buhlul.

"Itu istana mereka,"jawab Harun.

"Lalu di mana kuburan mereka?"

"Ini. Di sini kuburan mereka."

"Bukankah istana itu sedikitpun tidak memberi manfaat bagi mereka, sekarang?"

"Kamu benar. Tambahlah nasihatmu, wahai Buhlul!"kata Harun.

"Wahai Amirul Mukminin, engkau diberi kekuasaan atas perbendaharaan kisra dan diberi umur panjang. Lalu apa yang dapat kau perbuat? Bukankah kuburan adalah perhentian akhir bagi setiap yang hidup, kemudian engkau akan ditanya tentang berbagai masalah?"

"Tentu,"kata Harun.

Setelah itu Harun pulang dan jatuh sakit. Setelah beberapa hari menderita sakit, sampailah ajal menjemputnya. Pada detik-detik terakhir kehidupannya, dia berteriak kepada menterinya, "kumpulkanlah semua tenteraku!"

Maka datanglah mereka ke hadapan Harun, lengkap dengan pedang dan perisai. Begitu ramai sehingga tiada yang tahu jumlahnya kecuali Allah. Seluruhnya berada di bawah perintah Harun. Melihat mereka, Harun menangis dan berkata, "wahai Zat yang tidak pernah kehilangan kekuasaan, kasihanilah hamba-Mu yang telah kehilangan kekuasaan ini."

Tangisan itu tidak berhenti sehingga ajal mencabut nyawanya. Setelah meninggal, khalifah yang memiliki kekuasaan yang sangat luas ini tinggal di lahad yang sempit. Tiada siapa yang menemaninya, baik keluarga, sahabat atau sesiapa sahaja.

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam (tunduk dan patuh kepada Allah)." (al-Baqarah: 132).

Mudah-mudahan...

"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu (Allah SWT) dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang taqwa (muttaqin)." (Ali-Imraan: 133)

8 comments:

mamawana said...

Assalam,

Perkongsian info yg bagus. Mengingatkan mamawana pd arwah bapa saudara. Seorg yg menjaga solat, peramah , baik hati dan mudah mesra. Seminggu sebelum arwah pergi sempat arwah bergurau senda dgn mamawana. Tahu2 seminggu kemudian beliau meninggal hanya ketika batuk2 kecil dan menahan sakit didada. Al Fatihah.

||aLeaSaRa|| said...

al-fatihah kepada arwah.terima kasih dengan tazkirah ini menungatkan kite dan smeua agar jgn lupa tgjwb sbg hamba-nya masih belum habis dan tak kan pernah tamat.byk kelalaian yg perlu dihindari.secara jujurnya kite teringin mengikuti kursus mandikan jenazah.

abuikhwan said...

Semoga semuanya memberikan kebaikan...

shamyheart said...

Entri yg bagus..
Suka.

Cuma kalau boleh, namakan sumber gambar dari mana.

TQ.

abuikhwan said...

I-ALLAH...

mari berbahasa said...

minta izin utk ambil tazkirah kematian ini

abuikhwan said...

silakan dengan rendah hati

Unknown said...

mati itu pasti . moga kita bersama pergi dlm keadaan beriman . moga berjirannya kita disyurga semua umat Muhammad :)

Post a Comment