Sahabat Sejati

Saturday, 21 May 2011

Tunai haji guna wang pinjaman peribadi

Soalan:

Saya ada kemusykilan mengenai ibadat haji untuk ibu saya. Saya ingin membiayai ibu buat menunaikan haji ke Tanah Suci. Duit itu adalah daripada pinjaman peribadi di sebuah bank dan dihadiahkan kepada ibu buat menunaikan haji. Bolehkah ibu menggunakan wang tersebut untuk ibadah haji. Terima kasih.

Jawapan:

SEKIRANYA ibu anda dan anda tergolong dalam golongan yang tidak mempunyai harta benda (wang ringgit) yang cukup untuk menunaikan haji, maka ibu anda dan anda belum lagi sampai ke tahap wajib menunaikan haji.

Ertinya masih boleh bertangguh, tanpa perlu berhutang, mengumpul wang sendiri, barulah wajib menunaikan haji.

Namun demikian, seandainya anda merasakan suatu tanggungjawab sebagai anak, untuk menghantar ibu menunaikan haji, maka anda harus berbuat demikian dengan berhutang daripada bank yang berlandaskan kepada Islam.

Jangan sesekali berhutang dari bank konvensional atau bank yang mengasaskan kepada riba.

Anda perlu merahsiakan kepada ibu bahawa anda berhutang daripada bank, kerana mungkin ibu akan keberatan menerimanya.

Anda berhutanglah kerana Allah. Dengan syarat anda mampu membayar kembali hutang dari bank secara Islam itu, dengan mudah dan tidak memudaratkan anda.

Antara syarat wajib haji adalah kemampuan, sebagaimana firman Allah SWT (mafhumnya): "Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekelian makhluk." (Ali-Imran: 97)

Ibu yang menerima pemberian atau hadiah dari anaknya untuk ke Makkah, maka menjadikan wajib bagi ibu menunaikan haji kerana beliau sudah termasuk ke dalam golongan yang berkemampuan ataupun berkuasa sampai ke Makkah.

Ada dua perkara yang berkait dengan kemampuan atau berkuasa menunaikan haji:

i : Kemampuannya sendiri dari harta sendiri.

ii: Kemampuan daripada bantuan yang diperolehi daripada pihak lain, termasuk anak.

Ketika ibu anda menerima wang pemberian anda, maka ia sudah menjadikan ibu anda wajib menunaikan haji, maka haruslah dia menunaikan haji dengan selamat.

Pengorbanan anda amat besar dan Allah akan membalasnya dengan sebaik-baik balasan.

Ibu yang memperolehi pahala kerana menunaikan ibadah haji, maka anda juga akan mendapat pahala yang lebih daripada itu, kerana sanggup berkorban dan berhutang demi untuk menyempurnakan hasrat ibu bagi menunaikan ibadah haji. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

0 comments:

Post a Comment