Soalan:
Mandi wajib sekiranya suami bersetubuh bersama isteri. Tetapi suami hanya mengeluarkan air maninya di luar tubuh isteri semasa bersama sedangkan dia tidak memasukkan zakarnya ke dalam ke dalam kemaluan isteri. Perlukah juga isteri mandi wajib atau hanya suami sahaja kena mandi wajib.
Jawapan:
PERSOALAN yang anda ajukan adalah permasalahan asas yang wajib diketahui oleh umat Islam secara dharurah (mesti mengetahuinya).
Mandi wajib atau disebut mandi junub diwajibkan ke atas umat Islam sekiranya berlaku perkara-perkara berikut:
i. Keluar air mani dengan pilihannya secara sedar atau tidak. Seperti berlaku dalam mimpi (sebagai contoh).
ii. Mati biasa. Wajib dimandi, dikapankan, disembahyangkan dan dikebumikan.
iii. Selesai darah haid.
iv. Selesai darah wiladah (darah selepas melahirkan anak).
v. Nifas (darah yang keluar setelah melahirkan anak)
vi. Bersama dengan isteri.
Perkara yang keenam ini, seperti yang anda ajukan persoalannya, adalah perkara yang teknikal, kerana berpandukan kepada hadis Rasulullah saw (mafhumnya): "Apabila bertemulah dua alat kelamin (lelaki dan perempuan) maka wajiblah mereka mandi junub."
Soalannya adakah dengan bertemu sahaja dua alat kelamin itu sudah wajib mandi atau ada syarat-syaratnya?
Apa maksud yang dalam hadis Rasulullah saw yang disebutkan `il-paqa` (dalam bahasa Arab). Ia bermaksud bertemu.
Ulama feqah telah memperhalusinya dan membuat hukum seperti berikut: "Jika terdapat pertemuan dua khitan (dua alat kelamin) dengan syarat masuk dan hilang sekurang-kurangnya hasyafah (takuk zakar) ke dalam faraj isterinya. Berlaku seperti ini, meskipun tidak mengeluarkan air mani, wajiblah mereka mandi junub."
Diperhalusi hukumnya dengan menyebut: "Sekiranya seorang lelaki atau suami, tidak mempunyai hasyafah, kerana kejadian asalnya begitu, atau telah terpotong (tersilap) ketika bersunat atau seumpamanya, maka wajib dilakukan mandi jika zakarnya masuk ke dalam faraj sekadar ianya mempunyai takuk. (Rujuk Kitab Mala`ul Badrain)
Erti dari penafsiran ulama ialah, mandi diwajibkan jika pun zakar suami tidak masuk semuanya ke dalam faraj isteri.
Jika berlaku sedemikian, walaupun tidak sesiapa pun yang mengeluarkan air mani, maka wajib kedua-duanya mandi.
Berbalik kepada persoalan anda, jika benar-benar tidak berlaku kemasukan alat kelamin, pada sekadar yang disebuatkan di atas, akan tetapi anda mendapat kepuasan dengan terkeluar mani, maka anda seorang sahaja yang wajib mandi junub, manakala isteri anda tidak wajib mandi.
Adapun jika isteri anda turut mendapat kepuasan, sehingga dirasakan kepuasan dengan keluar air maninya, maka wajiblah isteri tersebut mandi junub.Wallahua`lam.
Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din
0 comments:
Post a Comment