Diceritakan dalam satu riwayat, Hatim al-`Assam adalah merupakan seorang rakan kepada Syaqiq al-Balkhiy ra. Satu hari Syaqiq bertanya kepada sahabatnya: "Kamu telah bersahabat denganku semenjak 30 tahun. Apakah yang telah kamu perolehi hasil dari persahabatan kita ini?
Lalu Hatim menjawab: "Aku telah memperolehi lapan perkara, cukup sebagai bekalan bagi keselamatan di akhirat.....aku lihat manusia memusuhi antara satu sama lain dengan seribu satu sebab, lantas aku merenungi firman Allah SWT:
"Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuhmu (yang mesti dijauhi tipu dayanya" (al-Fathir:6)
"Tahulah aku bahawa kita tidak harus bermusuhan dengan sesiapa pun melainkan syaitan."
Fiman Allah SWT:
"Iblis berkata, Kerana Engkau telah menghukum aku tersesat, maka aku (akan berusaha sekuat tenaga) menghalangi mereka dari jalan Engkau yang lurus. Kemudian aku akan datang (memperdayakan) mereka dari hadapan, dari belakang, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur." (al-A`raf: 16-17)
Demikianlah bentuk-bentuk kepungan yang dilakukan oleh syaitan kepada menusia. Inilah janji dan ikrar syaitan, akan terus mengganggu, merosak dan menghasut anak Adam walau dengan apa cara sekalipun.
Para mufassirin menyatakan bahawa yang dimaksudkan dari 'depan' ialah manusia tidak mengambil kira apa yang berlaku pada masa yang akan datang. Mereka lupa akan tanggungjawab dan peranan mereka selaku hamba Allah. Mereka juga tidak menilai masa dan usia yang semakin berkurang, mereka mensia-siakannya dengan perkara-perkara yang tidak memberi faedah. Dan mereka tidak melihat masa depan yakni adanya pertemuan dengan Allah SWT.
Yang dimaksudkan dari 'belakang' ialah syaitan menggoda manusia dalam urusan keduniaan. Manusia disibukkan dengan perkara-perkara yang bersifat keduniaan, dan dalam masa yang sama melupakan akhirat. Mereka berlumba-lumba untuk menyelesaikan urusan dan masalah dunia sedang masalah yang berkaitan akhirat tertinggal jauh. Sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah saw di dalam hadisnya bahawa pada akhir zaman umat Islam akan ditimpa 'wahan' (cinta dunia dan takut mati).
'Kanan' pula bermaksud kebaikan. Iaitu syaitan berusaha sedaya-upaya menghasut manusia supaya meninggalkan kebaikan. Mereka memperlihatkan bahawa kebaikan itu sesuatu yang merugikan, seumpama sedekah, ataupun infaq. Lalu dibisikkan bahawa ianya adalah merugikan dan mengurangkan harta. Akhirnya tersemailah benih-benih bakhil dan kedekut di dalam hati manusia.
Manakala dari 'kiri' pula merujuk kepada keburukan, iaitu mengajak manusia kepada keburukan dan kejahatan. Lalu dihiaskan pada mata manusia kecantikan pada maksiat. Cuba lihat sekarang ini budaya couple-couple bagaikan sesuatu yang biasa, begitu juga zina yang semakin menjadi-jadi. Untuk menampakkan kelembutan maka perkataan zina ditukar kepada istilah 'terlanjur'. Maka terasa kuranglah sedikit rasa berdosa.
Lalu timbul pertanyaan di benak kita, mengapa iblis tidak mendatangi kita dari atas dan dari bawah?
Menurut al-Fakhrur-Razy dalam tafsirnya: "Diriwayatkan bahawa ketika iblis mengatakan ucapannya tersebut, maka hati para malaikat menjadi kasihan terhadap manusia lalu mereka berkata: "Wahai Tuhan kami, bagaimana mungkin manusia dapat melepaskan diri dari gangguan syaitan?" Maka Allah SWT berfirman kepada mereka bahawa bagi manusia masih tersisa dua jalan iaitu atas dan bawah, jika manusia mengangkat kedua tangannnya dalam doa dengan penuh kerendahan hati atau bersujud dengan dahinya di atas tanah dengan penuh khusyu’ dan berhina dina, Aku akan mengampuni dosa-dosa mereka" (At-Tafsir Al-Kabir V/215)
Dalam tafsir yang lain juga dikatakan bahwa Iblis tidak mendatangi kita dari atas, kerana rahmat Allah turun kepada manusia dari atas (Tafsir Ibnu katsir III/394-395)
Justeru itu, berhati-hatilah agar kita semua tidak terjebak ke dalam perangkapnya yang licik itu. Perbanyakkan berzikir dan bermunajat kepada Allah agar kita diberikan kekuatan untuk menghadapinya.
Anda mampu mengubahnya!
0 comments:
Post a Comment