Sahabat Sejati

Saturday, 21 May 2011

Bicara santai: naik...naik...

Sekarang ini orang ramai bercerita tentang naik. Cerita orang naik ke bulan ke? Bukan! Itu cerita lama. Sekarang orang bercerita tentang kenaikan harga barang.

Petrol.

Gula.

Ikan dan sayur.

Susu.

Ayam.

Dan macam-macam lagi.

Saya pun terheret sama untuk bercerita tentang naik, tetapi bukan cerita harga barang naik. Biarlah orang lain yang bercerita perkara itu, walaupun saya juga turut terbeban.

Saya baru perasan

Saya baru perasan, badan saya semakin berisi. Buktinya kenaikan berat badan saya. Setiap kali kaki memijak penimbang, angka yang terpapar amat menggusarkan saya. Lantas terpacul dari mulut untuk mula berdiet dan bersenaman sekerap yang boleh.

Saya menelek-nelek wajah di cermin sakti, ahh...pipi saya sudah semakin tembam.

Kenapa ye? Ini tentu gara-gara emak saya.

Setiap kali pulang ke kampung, emak mesti memasak makanan yang sedap-sedap. Selepas itu emak akan memaksa saya makan. Tidak mungkin saya mahu mengingkarinya, bukankah anak yang soleh itu akan patuh dan taat kepada segala titah perintah ibubapanya selagi tidak bertentangan dengan syarak. Saya tidak mahu melukakan hati emak, bukankah redha Allah terletak pada redha ibu bapa? Justeru itu, saya makan dan makan, emak tersenyum gembira. Puas.

Tetapi, hasilnya berat badan saya semakin naik.


Kejutan

“Eh! Dah tak muat, rasanya baru lagi beli seluar ni,” kata saya kepada isteri pagi tadi.

“Itu tandanya badan abang dah naik berisi,” jawabnya sinis, sambil melemparkan senyuman mesra seorang isteri solehah.

“Bukan abang yang berisi, tapi seluar ni yang semakin kecil,” saya menjawab tanda protes padanya.

Saya nekad, saya mesti bersenam dan menjaga makan. Saya mesti mengamalkan diet. Saya tidak mahu kelihatan hodoh dengan perut yang buncit. Tak mahu!

Oh ya, minggu depan cuti sekolah bermula. Saya sudah pun merancang untuk pulang ke kampung. Dan emak pula pasti memasak makanan yang sedap-sedap, seperti biasa saya ditugaskan untuk menghabiskannya dan saya patuh serta taat pada ibu.

Nampak gayanya saya terpaksa menunda azam untuk berdiet.

Sekian dahulu kisah kenaikan . Tak boleh panjang-panjang.

0 comments:

Post a Comment