Ketika sedang belajar dahulu saya pernah mengikuti satu kem motivasi yang dianjurkan oleh satu badan dakwah yang bernama Ar-Rayyan Leadership. Dalam kem itu berbagai-bagai aktiviti diadakan, termasuk permainan, kuliah, pertandingan. Kesemua aktiviti itu mempunyai mesej disebaliknya, yang kemudiannya dikupas oleh para fasilitator.
Dalam kem itu juga Allah SWT telah mengizinkan saya mendengar satu kuliah yang amat menarik. Kuliahnya menceritakan tentang pertolongan Allah SWT kepada hamba-Nya. Semuanya membuatkan saya banyak berfikir mengenai kasih sayang Allah SWT.
Begini kisahnya.
Di dalam sebuah kampung tinggallah seorang tua yang bernama Pak Majid. Dia sangat rajin beribadat dan suka membantu penduduk kampung. Sikapnya yang ringan tulang menyebabkan dia disenangi oleh penduduk kampung.
Pada suatu hari hujan turun dengan lebatnya. Keadaan kampung itu yang agak rendah menyebabkan air mula naik. Melihat keadaan itu, Pak Majid pun berdoa kepada Tuhan, "Ya Allah, hamba memohon pertolongan-Mu. Selamatkanlah hamba dari banjir ini." Hujan masih lagi turun dengan lebatnya.
Tidak lama kemudian, beberapa orang jirannya datang mengajak berpindah kerana khuatir air akan naik lagi. Namun, Pak Majid menolak ajakan tersebut lalu berkata, "pergilah kamu semua. Sesungguhnya saya sedang menunggu pertolongan dari Allah." Jiran-jirannya segera meninggalkannya.
Hujan masih lagi turun dan bertambah lebat, air mula naik separas pinggang. Pak Majid tetap dengan pendiriannya bahawa Allah akan datang menolongnya. Tidak lama kemudian datang pula ketua kampung bersama beberapa orang penduduk menyuruh meninggalkan rumahnya. Tetapi Pak Majid menjawab, "saya yakin Allah akan menolong saya." Mereka pun meninggalkan rumah Pak Majid setelah gagal memujuknya untuk meninggalkan rumah.
Tidak lama berselang, datang pula bot penyelamat untuk membantunya berpindah dari tempat tersebut, kerana air telah pun mencecah paras leher. Pak Majid masih teguh dengan pendiriannya bahawa Allah pasti membantu. Dia berdoa, "Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini. Hanya Engkaulah yang dapat menolong kerana Engkau adalah sebaik-baik penolong." Bot peyelamat pun meninggalkan Pak Majid setelah gagal memujuknya untuk berpindah.
Air semakin tinggi, memaksa Pak Majid naik ke atas bumbung. Tidak lama kemudian sebuah helikopter datang untuk menyelamatkannya. Apa yang berlaku? Pak Majid tetap berkeras menyatakan mahu menunggu pertolongan Allah dan Allah tidak akan mempersia-siakan hamba-Nya. "Aku seorang yang taat beribadat, takkanlah Allah akan membiarkan aku," kata hati kecilnya.
Tiba-tiba bumbung tempatnya berpijak runtuh, lalu Pak Majid jatuh dan mati lemas di dalam banjir itu.
Ceritanya belum tamat.
Setelah itu Pak Majid pun bertemu dengan Allah di hari pengadilan. Beliau segera membantah, "Wahai Tuhan, Kamu tidak adil, saya seorang yang kuat beribadat dan saya telah berdoa kepada-Mu ketika banjir datang melanda tetapi Kamu tidak mempedulikan permohonan doa dari saya!"
Lantas Tuhan pun menjawab, "Wahai hamba-Ku! Ketika air masih di paras kaki Aku telah menghantar jiran-jiranmu mengajak berpindah, tetapi engkau menolaknya. Aku juga menghantar penduduk kampung mengajak kamu berpindah, kamu juga menolak. Ketika air di paras leher Aku datang kepada kamu melalui pasukan penyelamat, namun kau masih berdegil menolak bantuan itu. Saat kamu berdoa lagi, Aku hantar pula helikopter untuk menyelamatkan kamu di atas bumbung, tetapi kamu masih lagi menghindari bantuan-Ku. Maka salahkan dirimu sendiri dengan apa yang berlaku ke atasmu."
Pengajaran
Allah tidak pernah memalingkan wajah-Nya daripada kita, bahkan Allah sentiasa bersama dengan hamba yang bergantung harap kepada-Nya. Sememangnya kita disuruh berdoa dan meminta pertolongan kepada-Nya. Sebagaimana firman Allah SWT:
"Sekiranya hamba-Ku bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai Aku, sesungguhnya Aku amat dekat." (al-Baqarah: 186)
"Berdoalah kepada-Ku maka Aku akan perkenankan." (al-Mukmin: 60)
Tetapi harus kita ingat, jangan diertikan bahawa pertolongan Allah itu selalu datang dalam bentuk yang sesuai dengan keinginan kita. Mungkin juga Allah memberi pertolongan tidak dalam bentuk yang kita ingini, bahkan sebaliknya. Tapi pastikan, itu adalah awal daripada sesuatu yang baik. Kesimpulannya, Allah menjadikan pertolongan-Nya kepada orang beriman hanya bila ada usaha daripada diri mereka sendiri. Allah tidak memberi pertolongan-Nya sebagai sesuatu yang dijatuhkan begitu saja dari langit.
Tidak begitu...
2 comments:
betul tu, pertolongan Allah datang dalam pelbagai bentuk..
=)
sentiasa mengharap pertolongan Allah untuk melewati zaman yang penuh dgn fitnah ini...
Post a Comment