Soalan:
Sudah banyak kali saya dengar, orang yang ada ilmu menyebutkan bahawa titian siraat mustaqim, yang pernah dikatakan ada di atas neraka jahanam untuk dilalui itu, kata mereka tidak ada atau tidak sabit ada. Sedangkan kebanyakan orang berpegang dengan adanya titian tersebut. Saya agak keliru dan bingung, mohon pandangan.
Jawapan:
SAYA nasihatkan agar perkara-perkara ghaibiyat sebegini, jangan dijadikan isu.
Ada atau tidak ada titian as-sirat bukan siraatal mustaqim, di atas neraka jahanam itu, serahkan kepada ahli-ahlinya untuk memutuskannya.
Yang penting, kita perlu yakin ada hari akhirat, hari pembalasan ada. Syurga neraka ada. Tengoklah nanti, setelah kita dibangunkan di akhirat, ada atau tidak ada.
Jika ada, kita akan lintasinya. Jika tidak ada pun pasti kita dimasukkan ke syurga atau ke neraka. Wal`iyazubillah.
Oleh kerana soalan sedemikian, saya pun pernah ditanya dalam ceramah-ceramah dan ada yang telefon dan SMS. Maka saya terpanggil untuk menjawabnya.
Pada pengetahuan saya, sirat atau titian di atas neraka jahanam, untuk dilalui adalah benar wujud, tanpa sebarang keraguan.
Bagi yang mengatakan tidak wujud, saya hormati pandangan mereka, mungkin mereka ada hujah yang tersendiri.
Adapun hujah saya, saya sandarkan kepada al-Quran, as-Sunah dan ijma` ulama`.
Kita berbeza hanya pada tafsiran dan kefahaman sahaja. Sumber ambilan hukum adalah sama.
Perkara ghaib atau ghaibiyat, mestilah pegangan berdasarkan kepada al-Quran dan as-Sunah.
Dalam al-Quranul Karim, Allah berfirman (mafhumnya): "Dan tiada seorang pun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya; (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu. Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa dan Kami akan biarkan orang-orang yang zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka itu." (Maryam: 71 - 72)
Dalam tafsir al-Qurtubi, juzuk 11 halaman 136, ketika membuat tafsiran ayat di atas ada disebutkan: "Perkataan 'wariduha' di dalam ayat di atas, menurut firqah ulama`, adalah melintasi laluan as-sirat di atas neraka."
Firman Allah (mafhumnya): "(Mata hati orang-orang yang menderhaka itu rosak) dan kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa menghapuskan bentuk dan biji mata kepala mereka menjadi rata, sehingga masing-masing menerpa mencari-cari jalan (yang biasa mereka lalui). (Kiranya dijadikan demikian) maka bagaimanakah mereka dapat melihatnya? (Kekuatan akal fikiran mereka juga tidak sihat) dan kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa mengubahkan keadaan jasmani mereka (menjadi kaku beku) di tempat yang mereka berada padanya; maka dengan itu, mereka tidak dapat mara ke hadapan dan juga tidak dapat undur ke belakang." (Yaasin: 66 - 67)
Di dalam tafsir al-Qurtubi juga, pada juzuk 15 halaman 50, ada disebut yang bermaksud: "Diriwayatkan bahawa Abdullah bin Salam, membuat tafsiran ayat di atas dengan katanya yang bermaksud: (Di hari kiamat, titian as-sirat, dibentangkan di atas neraka, lalu seruan dilaungkan agar Nabi Muhammad saw dan umatnya melintasi sirat itu terlebih dahulu. Apabila mereka berada di atas titian as-sirat itu, yang menderhaka Allah di kalangan umat Muhammad, akan dibutakan mata mereka, meraba-raba di dalam kegelapan dan terjatuh ke dalam neraka. Sedangkan yang beriman terselamat daripadanya."
Dalam hadis Sahih Muslim, Rasulullah saw bersabda dengan jelas (mafhumnya): "Kemudian, dijadikan Allah (al-Jisru), iaitu laluan atau jambatan di atas neraka jahanam. Lalu ditanya kepada Rasulullah saw, apakah itu al-Jisru? Jawab baginda, itu adalah laluan yang akan mudah tergelincir kaki dan jatuh ke bawah. Tetapi akan terselamat orang yang benar-benar imannya, dan akan tergelincir jatuh ke neraka orang yang menderhakai Allah SWT."
Di dalam Kitab al-Aqidah al-Islamiyah wa-Khususuha karangan Abdul Rahman Hassan al-Maidani, di halaman 659 (kitab yang amat tebal) ada tajuk besar 'as-Sirat' (Titian), diulas panjang lebar dan dengan jelas.
Pengarang mengatakan, "as-Sirat (Titian) wujud. Ia adalah laluan di atas neraka jahanam. Semua manusia pasti melaluinya.Orang mukmin yang benar imannya, merentasi sirat itu dengan laju dan mudah. Yang derhaka kepada Allah, yang kufur, akan jatuh ke dalam neraka."
Beliau berhujah dengan ayat 71 dan 72 surah Maryam yang saya sebut pada awal-awal tadi. Al-Imam an-Nawawi rahimahullah, dalam Kitab Syarah Muslim menyebut: "Sesungguhnya, telah berijma' ulama' salaf tentang wujudnya as-sirat iaitu suatu jisr (jambatan) atas neraka yang akan dilalui oleh kesemua manusia, al-mukminun terselamat, yang lainnya terjatuh ke dalam neraka."
Itulah pandangan dan pilihan saya dalam permasalahan ini. Wallahua`lam.
Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din
0 comments:
Post a Comment