Soalan:
Akhir-akhir ini banyak sangat pihak menyebut Umar bin Abdul Aziz, hinggakan orang bukan Islam pun menyebut-nyebut hendak mengikut jejak langkah pemerintahan Umar Abdul Aziz. Bolehkah dihuraikan siapakah beliau, apakah keistimewaan beliau sehingga banyak orang hendak menjadikannya role-model pemerintahan? Sedangkan sebelum beliau, ramai lagi khalifah Islam yang hebat.
Jawapan
UMAR bin Abdul Aziz bin Marwan dilahirkan pada tahun 60H dan wafat pada tahun 101H, bersamaan 681M hingga 720M.
Ibunya bernama Ummul `Aasim binti `Aasim bin Umar al-Khattab. Ertinya beliau adalah cicit kepada Umar al-Khattab. Beliau adalah khalifah kelapan dalam pemerintahan kerajaan Umawiyyah.
Sejak dari kecil, beliau amat berbakat untuk memimpin, kecerdikan dan ketajaman pemikirannya diakui oleh semua orang. Istiqamah dan kewarakannya jelas, sejak zaman remajanya.
Beliau menaiki takhta dan menjawat jawatan khalifah secara yang unik. Ini kerana sepatutnya bukan beliau yang menjadi khalifah. Khalifah sebelum Umar Abdul Aziz adalah bapa saudaranya, Sulaiman bin Abdul Malik (khalifah yang ketujuh).
Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik mempunyai ramai anak lelaki, antaranya Daud bin Sulaiman, Yazid, Hisham dan Saad. Semua ini anak beliau.
Bagaimanapun Sulaiman bin Abdul Malik sebelum kewafatannya menulis wasiat yang jelas. Wasiat beliau seperti berikut: "Ini adalah wasiat bertulis Abdullah Sulaiman bin Abdul Malik Amirul Mukminin kepada Umar bin Abdul Aziz. Aku melantik kamu menjadi khalifah selepas aku. Selepas kamu nanti, Yazid bin Sulaiman, maka dengarlah rakyat semua dan taatilah mereka, takutlah kepada Allah dan jangan berbantah-bantah."
Setelah kewafatan Sulaiman bin Abdul Malik, maka Umar bin Abdul Aziz pun dibaiah sebagai khalifah.
Beliau amat masyhur dengan ketaatannya kepada Allah. Kuat berpegang kepada syariat Allah SWT. Menyintai para ulama` dan tidak takut bertindak mendaulatkan hukum Allah walaupun menanggung risiko yang amat tinggi.
Beliau mengarahkan segala harta kekayaan yang dimiliki oleh keluarga khalifah dan keluarganya sendiri sebelumnya, hendaklah dikembalikan kepada Baitulmal.
Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitab Fathul Baari, juzuk 6, halaman 743, menulis (yang bermaksud): "Pada zaman pemerintahan Umar bin Abdul Aziz, dalam masa 2 tahun setengah, keadaan umat Islam di negara-negara yang diperintah oleh beliau telah berubah corak kepada kegemilangan Islam. Rakyat hidup dalam aman dan mewah. Baitulmal penuh dengan harta negara yang melimpah-ruah. Kemiskinan sifar benar-benar berlaku hingga harta zakat tidak ada yang datang menuntutnya. "
"Umar bin Abdul Aziz memerintahkan agar dicanangkan keseluruh negara, agar sesiapa yang menanggung hutang, hutang-hutangnya akan dibayar oleh Baitulmal. Sesiapa yang memerlukan sara hidup, maka Baitumal akan menanggungnya. Sesiapa yang hendak menunaikan haji tetapi tidak mempunyai perbelanjaan, Baitulmal akan menyumbang kepadanya. Sesiapa yang hendak berkahwin tanpa perbelanjaan, Baitulmal akan membantunya."
Salah satu dari aspek ketelusan dan keikhlasan pemerintahan Umar bin Abdul Aziz, adalah berdasar kisah ini. Pada satu malam menjelang ke dinihari, beliau sedang bekerja di pejabatnya, menyelesaikan masalah pemerintahan, seorang daripada rakan karibnya mengunjungi beliau atas dasar persahabatan dengan urusan peribadi.
Umar menerima kunjungan sahabatnya dengan memadam lampu yag terang, lalu memasang lampu yag malap pada malam yang gelap.
Lalu ditanya sahabatnya, mengapa beliau berbuat demikian. Lalu dijawab Umar bin Abdul Aziz, "Lampu yang dipadam tadi adalah lampu kerajaan, harta kerajaan, daripada wang Baitulmal. Saya berhak menggunakannya selama mana menjalankan tugas-tugas negara. Saudara adalah sahabat saya yang tidak berhak menikmati cahaya lampu yang dinyalakan menggunakan wang negara. Lampu kecil ini adalah harta saya, saya boleh gunakan untuk diri saya sendiri dan untuk sahabat seperti saudara."
Renung-renunglah perkara ini dalam penghidupan kita. Sekian, wallahua`lam.
Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din
0 comments:
Post a Comment