Sahabat Sejati

Saturday, 26 March 2011

Hukum makan gaji kerja di bank konvensional


Soalan:

Kami bekerja dengan bank-bank konvensional (bank riba). Wang gaji kami, jelas daripada hasil riba itu. Ada orang kata boleh makan, ada yang kata haram mutlak. Hendak mencari kerja lain bukan senang. Apakah hukum memakan gaji daripada bank-bank konvensional tersebut? Tolong jelaskan yang sebenarnya.

Jawapan:

SELURUH umat Islam wajib mengetahui secara dharurah (mesti mengetahui), bahawa riba dan seluruh sistem yang berteraskan kepada riba adalah haram.

Allah dan Rasul-Nya mengharamkan riba dengan jelas menerusi al-Quran dan as-Sunnah. Firman Allah (mafhumnya): "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa." (al-Baqarah 278-279)

Jabir bin Abdullah ra. meriwayatkan hadis daripada Rasulullah saw (mafhumnya): "Rasulullah saw melaknati pengambil riba, pembeli riba, saksi kedua-duanya, semua mereka adalah sama." (Riwayat Imam Muslim)

Banyak lagi hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas`ud, an-Nasa`i dan sebagainya, semuanya membawa makna yang hampir sama, iaitu pengharaman riba.

Oleh itu seboleh-bolehnya, dengan kudrat yang ada pada kita umat Islam, amalan riba hendaklah kita jauhi, kita perangi riba dengan sedaya upaya yang ada pada kita.

Kerana, amalan ini bukan sahaja diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya malah Allah dan Rasul-Nya melaknati amalan riba hingga ke hari kiamat.

Akan tetapi, kita hidup dalam dunia yang realiti, bukan khayali. Kita lahir dan membesar dalam satu zaman di mana sistem bukan Islam telah menguasai seluruh peghidupan kita.

Umat Islam telah terjajah sistem ekonomi mereka. Sistem ekonomi Islam dimatikan. Sistem ekonomi kapitalis Barat, diagung-agungkan. Sistem konvensional atau lebih senang difaham, sistem riba, telah mencengkam penghidupan umat dan ekonomi mereka.

Sebut bank sahaja, mestinya bank riba, bank Islam tidak ada. Hanya sejak akhir-akhir ini baru mula bernafas dan berkembang sistem perbankan Islam.

Namun demikian, ia masih jauh ketinggalan jika hendak dibandingkan dengan perbankan konvensional. Perbankan konvensional, masih menyeluruh dan menguasai sistem yang ada.

Ramai daripada kalangan kita terlibat dengan sistem itu. Lebih-lebih lagi yang terlibat dalam perniagaan perdagangan dalam dan luar negara, perbankan konvensional merupakan perbankan utama.

Dalam satu hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah, Rasulullah saw bersabda (mafhumnya): "Akan berlaku ke atas umat aku suatu ketika nanti, tidak ada yang terselamat daripada amalan riba, semuanya terlibat memakannya. Dan sesiapa yang tidak memakannya, akan juga terkena debunya."

Ertinya hadis ini memberi suatu gambaran, bahawa riba sudah menjadi seperti suatu kemestian, atau ia menjadi suatu penyakit yang menyeluruh. Mahu tidak mahu, umat Islam mesti terlibat dengannya.

Perbankan Islam masih baru jika dibandingkan dengan perbankan konvensional.

Cuba renungkan semula sebelum tahun 1983, sebelum Akta Perbankan Islam diluluskan oleh kerajaan untuk Bank Islam beroperasi di Malaysia. Sebelumnya, 100 peratus bank-bank di Malaysia adalah riba.

Seandainya hendak dikatakan haram secara mutlak bekerja di bank-bank konvensional sebelum ada perbankan Islam, maka dimanakah kita akan dapat orang-orang Islam yang berpengalaman dalam industri perbankan, bagi membolehkan mereka mengendalikan Bank Islam apabila dibuka nanti.

Mestilah ada dan harus ada orang Islam yang terpaksa bekerja dalam bank-bank konvensional untuk benar-benar mahir dalam urusan perbankan. Merekalah nanti akan bertugas untuk mengubah perbankan yang tidak Islam kepada Islam.

Ertinya ada keharusan sementara. Bukan selama-lamanya. Ia bertujuan bagi memantapkan sistem perbankan Islam.

Oleh kerana itu ada keharusan dan telah terbukti keperluan. Bagi mereka yang ada pengalaman di perbankan konvensional, mereka ini kini menerajui perbankan Islam pada zaman awalnya, hingga dapat beroperasi dan berkembang.

Kini perbankan Islam di Malaysia telah mencapai umur lebih suku abad. Hukum keharusan yang saya nyatakan di atas, sepatutnya mula beransur-ansur berubah kepada haram, apabila sistem perbankan Islam, benar-benar boleh mengambil tempat sistem perbankan konvensional.

Apa yang berlaku boleh disifatkan sebagai amat perlu, yang boleh dianggap dharurah. Apabila dharurah, maka yang haram menjadi rukhsah (keharusan sementara).

Yang dharurah pula, hendaklah dibuat sekadar dharurah sahaja. Apabila tiada dharurah, hendaklah kembali kepada asal.

Seperti memakan bangkai sebagai contoh, ia haram. Tetapi jika terpaksa dimakan untuk menyambung hidup, ia diharuskan, tetapi jika ada makanan lain, maka habis dharurah dan hukum bangkai itu kembali kepada haram.

Demikianlah juga dengan perbankan ini. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

0 comments:

Post a Comment