Hakikat perjalanan sebuah kehidupan, tiada siapa yang mampu menduga apa yang akan berlaku dalam kehidupan pada masa hadapan. Apa jua perancangan kita hanyalah satu perancangan, sedangkan ketentuan pasti kembali kepada Allah SWT. Kadang-kadang kita mahukan sesuatu, tetapi Dia kurniakan sebaliknya. Kerana Dialah Yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Alhamdulillah, betapa luasnya rahmat Allah. Tidak dapat dihitung-hitung. Air dan udara yang diberi percuma, tidak pernah dipinta dalam doa. Sama ada hamba itu taat ataupun engkar, semuanya mengalir tanpa henti.
"Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menghitungnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan lagi Maha Penyayang." (an-Nahl: 18)
Hidup ini benar-benar satu ujian. Pejam dan celik yang mengiringi malam dan siang lantas memendekkan usia tanpa disedari. Di saat tempoh hidup yang semakin singkat, sesekali kesihatan terjejas, jiwa terasa lemah. Letih, jemu dan segala kebosanan yang melanda.
Ada masanya kita merasa gembira, adakala kita berduka. Terkadang kita tersenyum, banyak kali juga kita menangis. Adakalanya perjalanan ini terasa terlalu lapang, namun sesekali rasa terlalu sempit. Kadang-kadang semakin menghimpit. Mengapa? Begitu sulit untuk memahaminya.
Itulah hakikat ujian kehidupan, dari Tuhan buat hamba-Nya. Semua itu merupakan ujian yang sepatutnya di lalui dengan penuh kesedaran. Sedar bahawa ianya ketentuan dari Tuhan, sama ada baik atau buruk.
“…dan Kami datangkan kepadamu kesusahan dan kesenangan sebagai fitnah (ujian). Dan kepada Kami-lah kamu akan dikembalikan.” (al-Anbia’: 35)
Sesungguhnya hati nurani kita sentiasa mahu menghubungi Allah dengan cinta, beribadat dan taat, kerana ia mengetahui bahawa Dialah yang mentadbir urusan-Nya dan urusan tiap-tiap sesuatu di sekeliling-Nya menurut hikmah dan tadbir-Nya. Itu adalah fitrah. Tiada siapa yang dapat membantah. Namun sampaikah kita kepada-Nya?
Oleh itu segera perkukuh rasa berhubung dengan Allah (Ma'iyatulLah), mudah-mudahan ia menjadi penawar, sebelum hati semakin jauh, semakin terasa sempit. Sibukkanlah diri dengan amal dan dakwah. Semoga tubuh kembali terasa segar, hati menjadi hidup menghirup nafas panjang perjuangan dengan kelapangan dada dan kebesaran jiwa.
“Maka tetaplah kamu di atas jalan yang benar sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan (juga) kepada orang yang telah bertaubat bersamamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Hud: 112).
Mari menghitung diri...
5 comments:
alhamdulillah..hari ini berlaku lagi keajaiban.di saat2 kite keresahan dan mula lemah mengatur langkah dalam kehidupan sebagai seorang pekerja,bos kite baik hati berunding soal kerja dan gaji.hurm...kadang2 manusia mudah gelojoh untuk menikmati apa yg diinginkan hingga seakan-akan mendesak Allah untuk menunaikan.jika bersabar dan sentiasa niatkan keluar bekerja untuk mendapatkan rezeki yg berkat,niat membantu suami demi anak2..rezeki sentiasa hadir dalam pelbagai cara.suka baca entri di sini di saat2 memerlukan 'tulisan' yg dpt mententeramkan jiwa..terima kasih sahabat.
entry yang menenangkan jiwa saat diri kesedihan....
tq... :)
tatkala kita harapkan sinaran mentari, tiba-tiba Dia datangkan hujan dan ribut petir...kita mengeluh kerananya, sedangkan kita lupa Dia ingin menghadirkan warna-warni pelangi.
jika tidak diuji dengan kepayahan, manakan tahu nikmatnya senang...
alhamdulillah cantiknya header baru ni..suka tau!sesuai dgn karakter sahabat dan isi entri yg ada di blog ni..tahniah ye!
alhamdulillah...terima kasih
Post a Comment