Sahabat Sejati
Sunday, 10 October 2010
Wacana Perdana di UIAM, Kuantan
Kenyang. Puas rasanya. Memang saya benar-benar maksudkannya. Saya kenyang dan puas bukan kerana habuan tekak, tetapi minda saya kenyang, jiwa saya terasa puas.
Bersempena dengan hari terbuka UIAM, pihak universiti telah menganjurkan satu WACANA PERDANA yang bertajuk ‘ORANG MUDA BELUM MERDEKA’. Ianya telah diadakan di Kuliyyah Perubatan UIAM Kuantan.
Ahli-ahli panel yang membarisi wacana ini ialah Profesor Aziz Baari, yang merupakan seorang pakar dalam perlembagaan, Tuan Guru Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS Pusat, pakar motivasi yang seorang anak muda, Amin Idris serta Lokman Nor Adam yang merupakan Exco Pemuda Umno Malaysia. Manakala moderator ialah Dr Wan Azizi yang juga pensyarah perubatan UIAM.
“Hebat-hebat belaka,” monolog saya sendirian tatkala membaca SMS yang dihantar oleh seorang sahabat.
Bersama Sheikh Azlan, saya membelah malam menuju ke UIAM untuk bersama dalam satu program ilmu. Walaupun badan agak letih dan lesu dengan kerja-kerja yang tidak pernah habis di pejabat, namun apabila mengingatkan ganjaran buat penuntut ilmu, perjalanannya diibaratkan menuju medan syahid, lalu saya gagahkan jua untuk memberi persetujuan tatkala ditanya oleh Sheikh Azlan pada petangnya.
“Anta tunggu di rumah, jam 8.30 ana datang,” ujarnya.
Di UIAM Kuantan
Suasana di UIAM cukup meriah. Ratusan hadirin membanjiri dataran terbuka, ahli-ahli panel telah pun mengambil tempat. Moderator memulakan majlis.
Golongan muda adalah aset ummah dan penyambung atau pewaris kepada kepimpinan negara. Kekuatan tenaga, kecerdasan minda dan fikiran, ketinggian semangat meletakkan golongan muda di satu sudut yang penting.
Mereka seharusnya menjadi generasi yang sentiasa peka terhadap persekitaran dan juga setiap isu yang timbul. Di bahu merekalah letaknya masa depan ummah dan negara. Generasi muda mesti mempunyai daya sensitiviti yang tinggi dan bijak menangani cabaran yang mendatang.
Mereka tidak boleh lalai dan di buai mimpi dan impian yang palsu.
Generasi muda perlu sedar di zaman yang amat mencabar ini, mereka perlu memastikan aqidah dan fikrah mereka tidak tercemar dan terpengaruh dengan apa yang dibawa oleh musuh-musuh Islam. Matlamat licik para musuh Islam ialah mengeluarkan umat Islam dari agama dan mencampakkan keraguan serta merosakkan kejernihan akhlaq Islam.
Sabda Rasulullah saw: Sesungguhnya Allah mengkagumi pemuda-pemuda yang tiada baginya kerosakan moral.” (Riwayat Ahmad & Abu Ya`la).
Saya terhibur
Saya cukup terhibur dengan penyampaian oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dengan suara yang tenang, gaya bersahaja tetapi hujahnya cukup padat dan berisi, dilapik kemas dengan dalil al-Quran dan hadis Nabi SAW, sesekali di selangi dengan cerita yang mencuit hati. Beliau turut menegur kebejatan yang berlaku dalam di negara termasuk rasuah, moral pemimpin negara dan sebagainya. Beliau turut mengulas isu duit sumbangan kerajaan Pulau Pinang kepada fakir miskin yang di katakan dari sumber judi.
“Saya kasihan melihat orang tua yang memulangkan duit tersebut, menangis-nangis sampai bengkak mata. Dahlah kena pulang duit, duit tu pula dipulang pada pada UMNO, dua kali kena tipu. Sedangkan keempat-empat mazhab menyatakan harus menerima duit dari hasil judi berdasarkan kepada hujah dan pendapat yang boleh diterima.”
Begitu juga dengan Amin Idris, motivator muda yang bersemangat, dengan penyampaian yang berkobar-kobar mampu membakar semangat audien. Beliau menegur orang muda yang merujuk kepada mahasiswa yang akhir-akhir ini sudah hilang peka, sudah tumpul ‘taringnya’ tidak seperti mahasiswa di tahun 70-an dan 80-an. Sebaliknya, di zaman ini mahasiswa pula yang dilihat bermasalah. Berita-berita mahasiswa terlibat dalam masalah moral, rempit dan sebagainya kian menghiasi dada-dada akhbar kini.
“Mahasiswa mesti peka, mesti kreatif, mesti mampu berdaya saing serta menjuarai isu-isu rakyat,” cukup bersemangat.
Seseorang yang cukup dikenali, pakar perlembagaan negara, Prof Aziz Bari mengulas mengenai isu mahasiswa dibenarkan berpolitik, yang mendapat reaksi berbeza dari pemimpin negara. Beliau turut menghuraikan maksud artikel yang berkaitan perlembagaan termasuk AUKU.
“AUKU dah tak relevan masa kini,” katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh dari audien. Saya kira dari para mahasiswa.
Manakala Lokman Nor Adam tidak habis lagi dengan idea penggabungan PAS dan Umno untuk menyelamatkan politik orang melayu.
“Mari semua PAS, PKR dan UMNO kita bergabung demi bangsa melayu,”
Belum habis lagi rupanya.
Sesi soal jawab pula sedikit tercemar dengan gelagat seorang audien yang sepatutnya bertanyakan soalan tetapi cuba menjawab soalan yang ditanya oleh seorang pendengar yang lain. Bagaimanapun beliau telah ditempelak oleh Prof Aziz Baari kerana jawapannya yang tidak tepat.
Alhamdulillah, moderator juga pandai menghidupkan suasana dengan celoteh yang mencuit hati serta dapat mengawal keadaan daripada menjadi panas.
Apa yang amat saya teruja ialah setelah tamat wacana ini, tatkala Datuk Tuan Ibrahim turun dari pentas, beliau telah diserbu oleh orang ramai termasuk para pelajar yang ingin bersalam dan bergambar dengannya. Kedengaran laungan, “Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar!
Macam ceramah PAS pula lagaknya.
Tiba-tiba...
“Anta kat mana tu? Ana tunggu kat kereta,” saya membaca SMS daripada Sheikh Azlan.
“Ok, ana datang,” saya melangkah menuju ke kereta dengan minda yang kenyang dan seribu kepuasan.
Apa pun tahniah di ucapkan kepada pihak UIAM, kerana berjaya menganjurkan satu wacana yang cukup ilmiah.
Labels:
kuliah ilmu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment