Sahabat Sejati

Monday, 4 October 2010

Bahagiakah aku...


Setiap manusia pasti mempunyai cita-cita. Kerana dengan cita-cita maka dikatakan dia mempunyai matlamat hidup. Jika ditanya, “apakah cita-cita anda?” Sudah tentu ada yang menjawab, “saya ingin menjadi doktor, saya ingin menjadi peguam, saya ingin menjadi pegawai bank.” Tidak kurang juga jawapan seperti: saya ingin menjadi orang kaya, jutawan atau hartawan dan berbagai-bagai jawapan lagi yang boleh didengari. Semuanya matlamat atau halatuju adalah untuk mendapatkan kebahagiaan.

Pernahkah kita mendengar jawapan, “saya ingin hidup susah, saya mahu habiskan kehidupan ini dalam penderitaan. Tidak sekali-kali. Jika ada pasti ada yang tidak kena dengan ‘mereka’ yang berkata begitu. Sebaliknya semuanya manusia yang waras mahukan kebahagiaan.

Jika ditanya kepada nelayan yang mengharungi lautan, petani yang membanting tulang di tengah bendang, pemandu-pemandu lori yang membelah kedinginan malam. Para pelajar yang bersengkang mata berjaga malam, ahli-ahli korporat yang bertungkus lumus menjayakan projek tanpa letih, pentadbir-pentadbir yang siang malam bermesyuarat demi mesyuarat untuk mencari kemajuan tanpa puas. Apakah tujuan mereka? Pasti untuk mencari bahagia.

Walaupun ada manusia yang tidak faham apakah itu bahagia tetapi mereka tetap mencarinya. Ada yang rasa bahagia sekiranya tercapai segala hasrat. Ada yang merasakan bahagia sekiranya mendapat rumah walaupun kecil, tetapi setelah mendapatnya adakah mereka merasa bahagia, belum tentu. Lalu dicari yang lebih besar, setelah mendapat rumah yang besar, adakah mereka bahagia. Belum pasti. Maka dicari pula istana. Adakah penghuni istana bahagia? Bahagiakah mereka? Tidur lenakah mereka setiap malam? Belum tentu. Bahkan mungkin semakin bertambah banyak masalah. Rupa-rupanya ada rumah kecil, ada rumah besar, ada istana, bahkan ada tiga, empat, lima istana belum tentu kebahagiaan itu dapat kita miliki. Demikianlah seterusnya kehidupan kita. Dimanakah letaknya kebahagiaan? Bagaimanakah mahu menggapai bahagia yang diidam-idamkan?

Firman Allah SWT:

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenteram hatinya dengan mengingati Allah. Ingatlah! Hanya dengan mengingati Allah sahajalah beroleh ketenteraman hati.” (ar-Ra`d: 28).

Ketenangan hati itulah sumber kebahagiaan. Inilah yang dicari-cari oleh setiap orang, walau dimana berada, detik dan ketika. Bukannya pada rumah besar, harta yang bertumpuk, pangkat dan gelaran yang dimiliki. Tetapi kebahagiaan yang hakiki ini bukanlah mudah ditemukan. Semakin dicari semakin jauh, semakin kita mendekat semakin ia menjarak. Jika kita bertemu dan memilikinya pun ia mudah hilang melainkan jika diurus supaya beroperasi dan sentiasa berhubungan dengan Allah SWT.

Ubat sakit jiwa

Sesungguhnya ubat untuk ketenangan hati ialah tauhid kepada Allah SWT. Kuatkan jiwa kepada Allah. Jika kita inginkan kekuatan fizikal kita boleh bersenam, berjoging setiap pagi dan petang. Kita boleh membeli alat-alat senaman yang berharga ratusan ringgit, makan makanan yang berzat dan berkhasiat. Semua ini boleh menyihatkan badan. Tetapi adakah apabila fizikal kuat maka spiritual turut kuat? Belum pasti, kerana ada orang yang kita lihat gagah tetapi apabila ditimpa sedikit ujian lalu tersepuk lemah hingga mengalirkan air mata. Sebaliknya ada orang yang lemah pada pandangan mata kita, tetapi apabila menerima musibah boleh tersenyum, seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Setiap manusia perlu kepada ujian kerana dengan ujian barulah kita sedar betapa lemahnya kita dan amat berharapnya kita kepada Allah SWT. Raja atau pemimpin, rakyat biasa, yang kaya atau miskin, tua dan muda, lelaki serta perempuan tidak akan terlepas dari ujian. Apa yang penting bagaimanakah keadaan kita apabila menerima ujian atau musibah daripada Allah SWT. Contohnya apa yang kita usahakan tidak menjadi, apa yang kita buat semua tidak kena berbagai-bagai masalah yang timbul. Adakah kita akan merasa sedih atau sebaliknya? Jika spiritual kita kuat maka kita akan berfikir bahawa setiap kesusahan itu adalah ujian daripada Allah, maka kita terasa kita adalah hamba dan sememangnya layak diuji.

Dalam satu hadis Qudsi yang panjang Allah SWT berfirman:

“....sesiapa yang tidak redha dengan ketentuan-Ku, tidak sabar atas cubaan-Ku, tidak bersyukur atas nikmat-Ku dan tidak merasa cukup terhadap pemberian-Ku, maka hendaklah ia menyembah Tuhan selain-Ku. Oleh itu, sesiapa berpagi-pagi berdukacita terhadap dunia, maka seolah-olah ia marah kepada-Ku; sesiapa yang merasa sakit atas sesuatu musibah, maka sesungguhnya ia telah menyakiti-Ku...”

Oleh itu, pentingnya kita semua menjaga hati dengan Allah. Sekiranya kita merasa tidak senang ujian-ujian yang menimpa, bukankah ini bermakna kita senang dengan Allah? Sesungguhnya jiwa tauhid tatkala diuji maka ia bersabar, tidak berdukacita dan kesal, tidak ada ucapan: “kalau begitu, kalau begini” tetapi yang ada ialah redha “segalanya adalah ketentuan Allah, apa yang dikehendaki tetap akan berlaku.”

“Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (at-Taghabun: 11).
Dengan ini jiwa akan merasa tenang, tiada dukacita, tidak ada kegelisahan dan kemurungan. Sentiasa berlapang dada serta yakin dengan ilmu dan hikmah Allah. Itulah jiwa hamba.

Peringatan buat aku...

0 comments:

Post a Comment