Sahabat Sejati

Monday, 11 October 2010

Aku teruja



Usai kuliah ilmu di dataran terbuka UIAM. Bersesakan dengan para jemaah yang bersimpang-siur bergerak untuk pulang. Pemandangan biasa di kuliah ustaz Azhar Idrus.

Ikon baru dari pantai timur, kata seorang sahabat.

“Jangan balik lagi, kita makan dulu.” celah sahabat di sebelah ketika saya berkira-kira mahu mengangkat punggung. Haji Hashim namanya. Beliau merupakan salah seorang ‘crew’ ustaz Azhar Idrus yang bertanggungjawab mengatur jadual kuliah ustaz Azhar di sekitar negeri Pahang.

“Nak makan di mana?” soal saya. Sebenarnya saya agak keletihan kerana di sebelah siangnya terlibat dengan urusetia Jamuan Rakyat Kawasan IM, dari pagi sampai ke petang.

“Kat sini, ana dah minta pihak urusetia sediakan makan untuk kita semua,” seperti biasa wajahnya sentiasa bersulam senyuman.
Kami sekitar lima belas orang menuju ke tempat makan, di iringi beberapa orang urusetia.

Terkejut

“Ustaz...ustaz, Bob datang!” Abang Mat bersuara di sebelah saya memaklum kepada ustaz Azhar dengan loghat Terengganunya, tatkala kami sedang duduk di meja bulat menunggu hidangan.

“Bob datang? Eh, masuk..masuk,” ustaz Azhar mempersilakan tetamu yang di panggil Bob, dari nada suaranya seperti beliau telah biasa dengan tetamu itu.

“Bob?’

“Bob mana pula ni?”

Kelihatan sesusuk tubuh berjubah hitam, semutarnya terlilit kemas yang ikatannya ala-ala semutar Tok Kenali. Ditangannya sebatang tongkat semambu, hati-hati dia melangkah. Senyuman tidak lekang dari bibirnya.

“Bob?” Saya terkasima.

“Ye ke ni?”
Wajah yang saya kenali, biasa melihatnya di kaca televisyen. Lawaknya masih saya ingati, sentiasa menghiburkan. Memang dia.
Bob Lokman!

Saya kehilangan perencah kata, kelu tanpa suara. Kerana ketika ini....

Saya teruja.....

“Sesiapa yang beramal soleh, baik lelaki maupun wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya Kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik (bahagia) dan kami akan memberi ganjaran yang lebih baik dari yang telah mereka kerjakan.” (an-Nahl: 97).

0 comments:

Post a Comment