Sesungguhnya lapar dan kepayahan hidup memiliki hikmah yang besar bagi pembentukan jiwa manusia. Benarkah begitu? Apakah manfaatnya? Bukankah lapar adalah perbuatan yang menyakitkan badan, melemahkan jasad. Mengundang perasaan malas.
Sebenarnya lapar tidak pernah membuat hancur luluh dan terseksa badan. Bahkan memiliki hikmah yang mendalam. Dengan menahan nafsu makan yang berlebih-lebihan, hati akan menjadi jernih, fikiran akan menjadi terang dan lancar. Jiwa tenang dan mantap serta khusyuk mengadap Tuhan.
Sesungguhnya buah dari ibadah diantaranya ialah kejernihan fikiran yang akan membuka jalan ma`rifat dan kebenaran. Manakala penghalangnya adalah lambung yang penuh terisi dengan kekenyangan. Demikianlah menyebabkan hati beku dan buta.
Nabi saw ketika ditawar dengan kekayaan dunia, baginda menyatakan: “Tidak...saya memilih lapar sehari dan kenyang sehari. Jika saat lapar tiba, saya akan bersabar dan khusyuk berdoa; dan jika saat kenyang datang, saya dapat bersyukur.”
Cerita lapar
Berbicara mengenai lapar ini saya teringat kepada satu kisah yang diceritakan ketika bersekolah agama dulu. Sememangnya kisah-kisah yang sebegini atau pun yang kita kenali dengan sirah nabi amat menyentuh dan mudah membuatkan kita terasa. Lebih-lebih lagi jika kita menghayati sehingga kita masuk ke dalam sirah itu. Ya, seolah-olah kita adalah sebahagian dari sirah itu.
Begini kisahnya...
Seorang tabib dihantar oleh penguasa Mesir ke Madinah sebagai menunjukkan tanda persahabatan. Sepanjang dua tahun tabib itu berada di sana, tidak ada seorang pun yang datang untuk mendapatkan rawatan perubatan. Tabib menjadi hairan dan bosan kerana tidak dapat memberikan perkhidmatan apa-apa kepada penduduk Madinah.
Tabib itu berjumpa Nabi Muhammad saw untuk mendapatkan kepastian. Dia bertanya Nabi, “Adakah penduduk sini takut untuk berjumpa tabib ?” Nabi menjawab “Tidak! Dengan musuh mereka tidak takut, apatah lagi dengan tabib. “Tabib bertanya lagi, “tapi mengapa sepanjang dua tahun saya di sini, seorang pun tidak berubat dengan saya?” Nabi menjelaskan “ Sebab peduduk Madinah tidak ada yang sakit.” Tabib itu kurang mempercayai Nabi dan berkata, “ Masakan tidak ada satu orang pun yang sakit.” Melihat keraguan tabib itu, Nabi mempersilakan tabib itu menjelajah ke merata pelusuk Madinah untuk membuktikan kebenaran kata-katanya.
Tabib itu beredar dan menjelajah ke pelusuk Madinah. Puas dia mencari pesakit tetapi tidak menjumpai walau seorang pun. Terbuktilah kepadanya kebenaran kata-kata Nabi itu.
Didorong oleh perasaan ingintahu dan kekagumannya, tabib itu sekali lagi berjumpa Nabi saw lalu berkata, “ benar seperti kata-kata baginda. Apakah petua sehingga semua penduduk Madinah sihat-sihat belaka?” Nabi menerangkan, “kami adalah satu kaum yang tidak akan makan jika tidak lapar. Dan jika kami makan, kami tidak makan sehingga terlalu kenyang. Itulah petua untuk kesihatan. Yakinilah makanan yang halal dan baik. Makanlah untuk bertaqwa kepada Allah bukan sekadar memuaskan hawa nafsu.”
Penutup
Makan ketika lapar, serta berhenti sebelum kenyang itulah rahsianya. Benarlah perut yang penuh dengan makanan membuat badan menjadi berat dan malas untuk beribadat, enggan berzikir dan berfikir. Badan yang gemuk pula mudah terserang oleh pelbagai penyakit yang serius. Jika tubuh sudah terserang oleh pelbagai penyakit, ia akan memerlukan rawatan doktor, ini bermakna harus mengeluarkan belanja yang mungkin agak besar. Oleh itu fikir-fikirkan.
“Barang siapa yang menghendaki kehidupan sekarang (duniawi), maka Kami segerakan baginya di dunia itu apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki dan kami tentukan baginya neraka Jahannam; ia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir. Dan barang siapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh sedang ia adalah mukmin, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalas dengan baik.” (al-Israa` :18 – 19)
Resepi hidup sihat: Makan ketika lapar. Berhenti sebelum kenyang. Anda mampu mengubahnya!
0 comments:
Post a Comment