Sahabat Sejati

Tuesday, 29 December 2009

Sibuknya di tahun baru...


“Apa azam tahun baru ni?” tanya si A yang prihatin.

“Azam aku nak bekerja lebih rajin, tekun dan terancang, tengok ni diari pun dah beli.” Jawab si B.

“Saya nak belajar bersungguh-sungguh, nak masuk ‘U’.” Kata seorang pelajar yang bersemangat tinggi.

“Aku nak berhenti merokok, membazir je.” Kata pemuda harapan bangsa. Azam yang amat biasa kita dengar setiap tahun, walaupun tidak pernah makbul. (bukan semua).

“ I nak menamatkan zaman bujang.” Kata si artis sambil tersenyum malu.

Di ambang tahun baru. Adegan dan dialog yang seumpama di atas akan kedengaran semula. Macam-macam. Kadang-kadang berulang azam yang sama.

Alhamdulillah, semuanya azam yang baik-baik. Tentulah tidak pernah kita dengar azam seperti, “aku nak gagal dalam ‘exam’... “aku nak jadi pengumpul saman terbanyak, nak masuk buku Malaysian Record.” Kalau ada, mesti ada yang tak kena dengan orang tu. Itu cerita azam, memang biasa.

Err.. azam tahun lepas tertunaikah atau tertangguh lagi?

Bagi ibu bapa pula mungkin sibuk memikirkan persiapan persekolahan anak-anak. Baju, seluar, beg, kasut, buku, yuran dan sebagainya. Yang mempunyai anak yang ramai, mungkin tambah pening. Lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang masih kurang stabil. Harga barangan ketika ini amat membebankan. Kenalah berjimat, walaupun dah lama dan sentiasa berjimat. Beli yang benar-benar perlu sahaja. Kadang-kadang timbul masalah, anak-anak pula mahu yang berjenama. Tambah pening. Kasihan ayah dan ibu.

Itu belum tengok adegan hari pertama persekolahan bagi tahun 1. Ada yang ‘cool’, ada yang sedih, tak kurang juga yang menangis, mengamuk pun ada takut kena tinggal. Terpaksalah ibu atau bapa tunggu. Kadang-kadang sampai sebulan. ‘Ape keroje’ kata orang Perak. Sekali lagi kasihan ibu dan ayah. Itu cerita sekolah, memang biasa.

Bagi pemuda dan pemudi yang mahu berkahwin di tahun baru ini, baguslah. Berkahwinlah, ikutlah syarak. Ikutlah panduan agama. Jangan membazir. Mudah-mudahan perkahwinan menjadi ibadat. Keberkatan itu yang kita cari. Itu kisah kahwin, memang biasa.

Yang bergelar pelajar, realisasikan azam mahu belajar bersungguh-sungguh. Jangan jadi budaya hanya berazam di tahun baru. Akhirnya azam tinggal azam. Banggakan ibu bapa, gembirakan mereka. Pohonlah restu dan doa mereka. Ingat redha Allah terletak pada keredhaan ibu bapa. Insya-Allah kita pasti berjaya. Itu kisah pelajar, memang biasa.

Yang bekerja, bekerjalah dengan penuh amanah. Ingatlah azam tahun lepas, mahu meningkatkan produktiviti, mahu mendapat anugerah pekerja cemerlang. Ayuh buktikan. Ikhlaskan diri bekerja kerana Allah. Mudah-mudahan walaupun sedikit yang dibawa balik tetapi dapat membangunkan kemanusiaan diri dan keluarga. Itu kisah pekerja, memang biasa.

Muhasabah dari kesibukan

Azam baru, persiapan persekolahan, tekun bekerja, mahu berkahwin dan 1001 macam kesibukan, itulah realiti yang sinonim di tahun baru. Yang pasti setiap orang mempunyai kesibukan yang berbeza. Walau apapun kesibukan kita, janganlah kita lupa merenung ke dalam diri kita adakah kesibukan kita ini mempunyai nilai di sisi Allah. Peruntukkanlah masa untuk beribadat. Sibukkan diri untuk menambah saham akhirat. Jangan sampai terlerai tali hubungan dengan Allah. Tiada ertinya kita sibuk siang dan malam tetapi kesibukan itu menjadi murka Allah.

Islam tidak melarang penganutnya mencari kesenangan di dunia ini, tetapi biarlah kesenangan itu membawa kepada senangnya beribadat. Apa yang kita bimbangkan semakin manusia disibukkan dengan mencari kesenangan dunia, semakin jauh dihimpit oleh nafsu yang melemaskan. Akhirnya merosakkan diri sendiri.

Firman Allah swt:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah disiapkannya untuk hari esok. Bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah akan menceritakan tentang apa yang telah kamu kerjakan. Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah melupakan mereka kepada dirinya sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasiq”. (59:18-19)
Justeru itu, tingkatkan amal dan istiqamah. Sentiasa muhasabah akan kelemahan diri serta kekurangan amal kita.

Eh, dah hampir 12.00 tengah malam.

4, 3, 2, 1....Bommm...tumm...bommm... tengok tu cantiknya bunga api, eh, ada konsert pula. Err.. sibuknya menyambut tahun baru. Ini lagi BIASA...

“Ya Allah adakah sibukku ini ada nilai di sisi-Mu.”

0 comments:

Post a Comment