Sahabat Sejati

Tuesday, 22 December 2009

Konvensyen Blogger Pas 2009: Harapan buat blogger


Saya belum boleh dipanggil blogger. Jangan panggil saya blogger. Saya masih baru dalam arena penulisan blog. Amat baru. Diibaratkan si kecil yang baru belajar bertatih, banyak jatuh dari bangun. Biarpun jatuh berkali-kali, namun saya percaya jatuh itu adalah satu proses pembelajaran. Seingat saya demikian.

Oleh itu, apabila seorang sahabat mempelawa saya untuk mengikuti Konvensyen Blogger Pas 2009, saya tidak memerlukan masa yang lama untuk memberikan persetujuan.

"Peluang yang baik, jangan lepaskan." bisik hati kecil saya.

Konvensyen ini diadakan di Taman Melewar yang amat dekat dengan jiwa saya.

"Ya Allah, permudahkan perjalanan kami pergi dan balik," harapan yang tulus dipagi hari. Kami memulakan perjalanan menyusuri kesejukan pagi yang menggigit di musim tengkujuh.

Taman Melewar

Kami tiba pada pukul 9.00 pagi. Orang tidak berapa ramai, mungkin masih awal barangkali. Setelah mendaftar, kami melangkah masuk dengan harapan yang tinggi menggunung. Mahu mengambil sebanyak mana ilmu yang disampaikan oleh pembentang. Setiap peserta dibekalkan dengan bahan kursus.


Acara dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ketua Penerangan pas Pusat, Ustaz Idris Ahmad. Beliau menyentuh tentang perana blog sebagai medium penerangan dan penyampai maklumat kepada masyarakat. Ini secara tidak langsung dapat membetulkan persepsi masyarakat terhadap Pas.

Manakala majlis perasmian pula disempurnakan oleh Presiden Pas Tuan Guru Hadi Awang yang memulakan ucapan dengan membacakan firman Allah SWT:


"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri. Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antara dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia." (QS fushilat : 33-34).

Tegasnya, kewartawanan adalah mesej, risalah dan penyampai maklumat. Oleh itu kita mesti amanah dalam menyampaikan maklumat. Kerana ini semua akan dihitung oleh Allah bergantung dengan apa yang kita sampaikan. Penulisan yang baik seumpama mata pedang yang boleh mempertahankan Islam, menaikkan Islam dan mempertahankan Islam.

Jihad yang besar adalah berkata benar, menasihati pemimpin. Suara atau tulisan yang benar adalah jihad yang besar. Ulama-ulama silam ramai yang dibunuh kerana menulis perkara yang benar yakni menegur pemimpin, seperti Sayyid Qutb rah. walaupun beliau telah lama mati namun tulisannya masih dibaca hingga sekarang.

Tuan Guru juga menceritakan satu kisah, berdasarkan hadis Imam Nawawi, Rasulullah saw dibawa Jibril as melawat neraka. Rasulullah melihat ada penghuninya yang dicangkuk dengan penyangkuk besi didagunya hingga menembusi pipi dan mata. Rasulullah bertanya kepada Jibril as mengenai orang itu. Jawab Jibril, "Itulah orang yang suka menyebarkan berita bohong iaitu fitnah.

Oleh itu kita mesti cermat dalam menyebarkan maklumat. Jangan sampai menjadi fitnah dan melukakan orang lain.

"Barangsiapa yg membuat satu sunnah yg baik, maka ia memperolehi pahala dan pahala orang yg beramal dengannya, tidak berkurangan sedikitpun pahala mereka. Barangsiapa yg membuat satu sunnah yg buruk, maka ia memperolehi dosa dan dosa orang yg beramal dengannya dan tidak berkurang sedikitpun." (sahih Muslim)

Seterusnya beliau melancarkan Kelab Blogger Pas Pusat bagi menyatukan blogger di bawah satu bumbung.

Kertas Kerja 1


Kertas kerja 1 telah dibentangkan oleh Prof. Dr Abu Hasan Hasbullah atau lebih dikenali dengan 'Dr Google'. Beliau merupakan seorang pensyarah di Jabatan Multimedia Universiti Malaya.

Beliau membentangkan kertas kerja yang bertajuk: Mengurus Potensi Media Dalam Merekayasa Pengaruh Politik: Pemikiran Informasi Sebagai Strategi Menurut Perspektif Future Studies. Mendengar tajuknya sahaja boleh membuatkan kita menggaru kepala.

Tajuk ini amat bersesuaian dengan senario politik masa kini. Lebih-lebih lagi ketika populariti Pas dan PR agak merudum kebelakangan ini. Di mata rakyat khususnya penyokong, Pas dan PR sedang menghadapi perbezaan pendapat yang agak membimbangkan.

Kata Prof. Abu Hasan, "Politik kurun ke 21 ini adalah politik yang di kuasai dan menguasai informasi. Media baru khususnya blog merupakan alat paling berpengaruh dalam menyampaikan maklumat di ketika media tradisi seperti akhbar dan televisyen di kawal dan dimiliki oleh kapitalis politik. Blog misalnya telah meluaskan satu-satunya pengetahuan yang cukup besar dalam proses tamadun baru iaitu informasi. Ia juga menyediakan interaksi dinamik secara langsung dengan masyarakat, segala diskusi secara cerdas dapat terciptakan termasuk pada batas-batas terbuka yang mengundang subverisme dan segala macam aliran terkedepan." (Prof Madya Dr Abu Hasan Hasbullah (UM): Kertas Kerja 1)

Sambungnya lagi, kita mesti bersedia untuk menghadapi gelombang ketiga internet (wave 3) yang lebih besar cabarannya. Akan datang manusia semakin malas membaca kerana sesetengah tulisan sukar difahami dan bersifat super script. Cara yang paling senang adalah menonton video, sama ada video blog atau video online.

Saya agak terpukau dengan penyampaian Prof Abu Hasan yang mantap dan penampilannya yang berkarisma.

Beliau yang juga pengasas Zentrum Future Studies Malaysia (ZENTRUM), iaitu satu badan penyelidikan bebas (RNGO) yang mengendalikan penyelidikan-penyelidikan transdisiplin berkenaan dengan prediksi masa depan.

"Menguasai media baru iaitu internet adalah menguasai pengaruh di masa hadapan, yang menolaknya adalah primitif." Beliau mengakhiri pembentangannya.


Kertas kerja 2

"Blog Sebagai Arena Dakwah Dan Bukan Medan memfitnah" sepatutnya dibentangkan oleh Ustaz Abd Ghani Shamsudin selaku Pengerusi Lujnah IT Pas Pusat. Tetapi beliau memohon keuzuran kerana ada komitmen lain dan akan datang jika sempat. Tempat beliau digantikan dengan Pengarah ICT Pas Pusat.

Beliau menerangkan mengenai adab-adab serta etika seorang blogger. Di antaranya mengelakkan berita-berita bohong atau fitnah. Disaat-saat akhir barulah Ustaz Abd Ghani tiba dan beliau diberi ruang untuk menjawab soalan-soalan daripada peserta.

Kesimpulannya, konvensyen ini amat memberi manfaat dan perlu diadakan di peringkat bawahan. Selain dapat mengumpulkan para blogger ia juga sebagai satu perbincangan strategi perang saraf dalam politik.

3.30 petang, kami melangkah pulang setelah dijamu dengan nasi ayam. Walaupun agak keletihan tetapi tergambar kepuasan di wajah peserta. Akan saya manfaat apa yang saya terima di sini. Cuma apa yang saya mahu katakan "jangan panggil saya blogger."

0 comments:

Post a Comment