"Janganlah kita semua menyimpan sifat sombong di dalam diri. Berjalan di bumi milik ALlah SWT ini dalam keadaan sombong dan takbur."
"Buanglah sifat sombong itu kerana sifat itu adalah sifat iblis. Kerana sifat itulah ia menjadi hina."
Di antara butir-butir nasihat yang di sampaikan oleh Ustaz Yusof di dalam kuliahnya malam itu. Kelihatan beberapa orang hadirin mengangguk-anggukkan kepala. Sebilangannya pula tunduk, memikirkan sesuatu barangkali.
Takbur atau sombong merupakan satu sifat manusia yang tercela (mazmumah). Ia boleh membinasakan diri serta merosakkan amal-amal yang telah dilakukan. Takabbur yakni merasa diri lebih tinggi dan hebat daripada orang lain, dari segi kedudukan, harta benda, kecantikan paras dan sebagainya. Kadangkala sehingga menghina dan memperlekeh orang lain.
Kisah iblis
Menurut satu riwayat, iblis telah beribadat kepada ALlah selama 80 ribu tahun, dan telah diberi kebebasan beribadat kepada ALlah dimana-mana yang dikehendaki di langit atau di bumi. Dan dalam satu riwayat yang lain, menyatakan bahawa iblis yang digelar azazil ini telah dilantik oleh ALlah sebagai ketua ibadat di kalangan malaikat.
Tetapi apabila ia ingkar, enggan mematuhi perintah ALlah supaya sujud kepada Adam, menyebabkan ia dimurkai oleh ALlah. Keengganan iblis ini disebabkan merasa dirinya lebih mulia daripada Adam.
Ia berkata, "aku dijadikan daripada api dan Adam daripada tanah." Maka terusirlah ia kerana kesombongannya itu.
Firman ALlah SWT:
"Dan ingatlah ketika Kami berfirman kepada malaikat, sujudlah kamu (memberi hormat) kepada Adam, lalu mereka tunduk kecuali iblis. Ia enggan dan takbur dan ia termasuk golongan yang kafir." (2:34)
Kisah Qarun
Firman ALlah di dalam :
"Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Nabi Musa (sepupu Nabi Musa), ia berlaku aniaya terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang anak-anak kuncinya (sahaja) begitu berat dipikul oleh beberapa orang yang kuat. Kaumnya berkata, "janganlah engkau bongkak! Sesungguhnya ALlah tidak mengasihi orang-orang yang bongkak."
"Dan carilah dengan rezeki yang diberikan ALlah kepadamu kebahagiaan di kampung akhirat. Dan janganlah kamu lupakan kebahagiaanmu (kemakmuran) di dunia. Berbuat baiklah sebagaimana ALlah telah berbuat baik kepadamu. Sesungguhnya ALlah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan."
"Qarun berkata, "kekayaan yang diberikan kepadaku (aku peroleh) kerana ilmu pengetahuanku (kerana usaha dan perjuanganku). Apakah ia tidak mengetahui bahawa ALlah telah menghancurkan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat dan lebih banyak harta benda daripadanya. Dan tidak ditanya lagi dosa orang-orang yang berdosa."
"Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya dengan segala kemegahannya. Orang-orang yang cita-citanya hanya kebahagiaan dunia berkata, "semoga kita kaya seperti Qarun ini. Sesungguhnya Qarun mempunyai keuntungan (kekayaan) yang besar."
"Dan berkata orang-orang yang berpengetahuan, "celaka kamu! (ketahuilah bahawa) pahala yang disediakan ALlah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh. Orang-orang yang bersabarlah yang dapat mencapainya."
"Maka Kami benamkan Qarun dan rumahnya ke dalam bumi. Tidak ada golongan yang membantunya selain ALlah. Dan dia sendiri tidak dapat menolong dirinya."
"Maka orang-orang yang bercita-cita seperti Qarun masa dahulu mulailah mengejek, aduhai! Sesungguhnya ALlah melimpahkan dan membatasi rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dari para hamba-Nya. Sekiranya tidak kerana ALlah memberi kurnia kepada kita, tentulah ditimbus-Nya kita ke dalam tanah, aduhai! Orang-orang yang kafir tidak akan berjaya." (28:76-82)
Dari firman ALlah ini kita dapat melihat kesombongan Qarun. Ia merasa paling kaya, kuat dan melakukan perbuatan yang dimurkai ALlah. Dengan angkuh ia mengatakan bahawa segala kekayaan yang dimilikinya adalah dari usaha dan kepandaiannya. Akibatnya ia dihukum oleh ALlah. Demikianlah kisah yang ALlah nukilkan dalam al-Quran untuk kita ambil pengajaran dan peringatan.
Marilah kita semua bermuhasabah diri, membersihkan hati kita ini dan merenung sedalamnya ke dalam diri kita sebagai insan yang tidak mempunyai apa-apa melainkan apa yang dikurniakan oleh ALlah.
"Yang baik itu datangnya dari ALlah, dan yang tidak baik itu datangnya dari kelemahan diri saya. Sekadar itu sahaja untuk kali ini. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.."ustaz Yusof mengakhiri kuliahnya.
"ALlahu akbar...ALlahu akbar..Muazzin mengalunkan iqamah...
0 comments:
Post a Comment