Sahabat Sejati

Sunday, 27 December 2009

Umar Abd Aziz: satu pengajaran


Saya memperkemaskan sila, menunggu butir-butir mutiara ilmu yang akan disampaikan oleh ustaz Ramli.

Saya melihat kiri dan kanan. Tidak ramai yang menunggu. Ada yang sudah mengangkat punggung seusai solat maghrib tadi. Ada yang duduk di luar berborak sambil menghisap rokok.

"Dah pandai belaka barangkali," bisik hati kecil saya yang nakal. Saya tersenyum sendirian.

"Hah, apa yang kamu senyum sorang-sorang ni," tegur pakcik Hasan disebelah.

"Tak ada apa-apa."

Alhamdulillah, amat menarik kuliah pada malam itu. Saya cukup teruja mendengarnya. Laju tangan saya mencatat butir-butir pengajaran sebagai nota ilmu. Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang boleh saya bawa balik. Teringat kata-kata murabbi di waktu belajar dahulu agar sentiasa membawa pen dan kertas.

“Kemana sahaja kamu pergi pastikan ada pen dan kertas untuk mencatat, itu syarat dalam menuntut ilmu. Jika kamu menuntut ilmu tanpa membuat sebarang catatan, itu seumpama kamu menulis di atas takungan air. Tidak akan memberi bekas apa yang disampaikan.” Saya memegang erat azimat sang murabbi.

Apa yang ingin saya kongsikan adalah kisah yang diceritakan oleh ustaz Ramli, kisah Khalifah Umar Abd Aziz yang amat masyhur dengan sifat tawadhuknya.

Kisah Umar Abd Aziz

Diceritakan bahawa pada suatu malam datanglah seorang tetamu kepada Khalifah Umar bin Abd Aziz. Waktu itu beliau sedang menulis. Lampunya hampir padam.

Tetamu itu kemudian berkata: “Biarlah saya yang membaiki lampu itu, ya Amirul Mukminin.” Beliau menjawab: “Ah, jangan, tidak baik seseorang menganggap tetamunya itu sebagai pelayannya. Itu bukan termasuk suatu sifat yang mulia.” Tetamu itu berkata lagi: “Kalau begitu, biarlah saya bangunkan pelayan sahaja.” Beliau menjawab pula: “Ah, jangan, ia baru sahaja tidur, agaknya sejak tadi ia belum merasakan nikmat bantalnya.”

Selanjutnya tetamu itu menceritakan bahawa beliau sendiri mengisikan minyak kedalam lampunya itu. Ia berkata: “Wahai, apakah tuan sendiri yang membetulkan lampu itu ya Amirul Mukminin.

Beliau lalu menjawab: “Mengapa tidak, kalau saya pergi, saya pun tetap Umar. Kalau saya kembali, saya pun tetap Umar juga. Tidak akan berkurang sesuatu pun dari diriku dengan apa yang saya lakukan tadi bukan? Selamanya pun saya tetap Umar. Memang sebaik-baik manusia ialah orang yang tawadhuk disisi Allah Taala.”

Harapan saya

Amat berkesan cerita yang disampaikan oleh ustaz Ramli itu kepada saya. Saya merenung jauh ke dalam diri, betapa sukarnya kita untuk tawadhuk merendah diri, menadah telinga untuk mendengar butir-butir ilmu dari para ustaz. Sepatutnya kita bersesak-sesak sehingga bercantum lutut untuk mengambil seberapa banyak pelajaran dan pengajaran yang disampaikan.

Bagi yang mendengar pula catatlah isi kuliah buat bekalan kita dan juga untuk disampaikan kepada orang lain pula. Mudah-mudahan kita saling lengkap melengkapi diantara satu sama lain.

Apa yang ditakuti saat hadirnya zaman seperti yang disebut oleh Rasulullah saw dalam hadisnya:

“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan merentapnya dari dada manusia. Tetapi Allah mencabut ilmu dengan mematikan Ulama. Apabila tiada lagi ilmuan, maka nantinya manusia akan mengambil pemimpin-pemimpin yang jahil, pemimpin itu ditanya lalu mereka berfatwa tanpa ilmu, maka sesatlah golongan yang bertanya, sebagaimana sesatnya juga golongan yang ditanya” [Hadith riwayat al-Tirmidhi]

Tidak melibatkan yang hidup dan yang mati...

0 comments:

Post a Comment