Sahabat Sejati

Tuesday, 24 January 2012

Pandangan Islam mengenai 'fringe science'

Soalan:

Kebelakangan ini terdapat lambakan program televisyen Barat yang mengenengahkan tema 'fringe science' atau bidang sains yang belum disahkan seperti 'time travel'. Apakah pandangan Dato mengenai subjek ini dan apakah tidak mustahil untuk melakukannya di dalam Islam.

Jawapan:

ILMU Allah amat-amat luas. Yang baru diteroka atau telah diterokai manusia, sebenarnya terlalu sedikit.

Ilmu apa pun yang ada pada manusia, seolah-olah ibarat seperti setitik air di lautan yang amat luas. Inilah yang dianalogi Allah di dalam firmannya berkaitan bandingan ilmu-Nya dengan hamba-Nya (mafhumnya): "Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan." (al-Kahfi: 109)

Allah berfirman lagi yang sebanding dengannya (mafhumnya): "Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (Luqman: 27)

Ini semua menggambarkan betapa hebatnya, luasnya ilmu Allah. Sekaligus ia menggambarkan kehebatan penciptaan-Nya. Allah mahu kita memanfaatkan kejadiannya dengan melihat, merenung, meneliti dan mengkaji untuk menyakini penciptaan alam dan segala milik-Nya.

Firman Allah (mafhumnya): "Katakanlah (wahai Muhammad): "Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya). Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah), dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepadanya." (Yunus: 101)

Lebih jelas Allah berfirman (mafhumnya): "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; "(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambi berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka." (Ali-`Imran: 190-191)

Umat Islam adalah umat ilmu. Mereka diberi Allah ilmu yang paling hebat iaitu ilmu wahyu. Umat Islam terdahulu, mereka meneroka ilmu dan menjadi ilmuan ulung dalam segala lapangan termasuk dalam bidang sains moden, tetapi tertinggal seketika dan disambung Barat.

Barat meneroka ilmu sains yang diasaskan oleh umat Islam,mereka menghasilkan ilmu-ilmu yang anda ajukan dalam soalan di atas, termasuk pada bidang-bidang yang anda sebutkan sebagai 'fringe science' dan berbagai-bagai lagi ilmu yang berteraskan kajian.

Sesiapa yang rajin mengkaji, mereka akan menemui hasil penerokaannya dan menguasai ilmu itu. Oleh kerana itu tidak mustahil boleh mencapai ilmu-ilmu yang anda sebutkan.

Ingatlah bahawa Rasulullah saw pernah bersabda (mafhumnya): "Al-hikmah (ilmu yang berguna) adalah barangan umat Islam yang hilang daripada mereka. Maka di mana sahaja anda temuinya, maka ambillah meskipun dari seorang kanak-kanak."

Banyak penemuan-penemuan sains yang didahului oleh al-Quranul karim. Sebagai contoh, teori sains mengenai kejadian alam semesta yang diterima oleh ramai saintis dengan teori 'the big bang' atau letusan raksasa, pada mulanya hanya teori, tetapi akhir-akhir ini teori itu ada kebenarannya.

Sebenarnya al-Quranul karim yang diturunkan dalam kurun ke-7 Masihi, Allah SWT berfirman (mafhumnya) "Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan (ledakkan) antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?" (al-Anbiya: 30)

Cuba anda bandingkan antara air itu dengan teori 'the big bang', sedangkan al-Quran itu lebih jauh mendahului, sebelum teori itu dijumpai oleh saintis (manusia). Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

2 comments:

Mardhiyyah Ridzuan said...

Sebab tu sape2 yang mendalami ilmu2 dalam alquran, berjaya dunia akhirat. Allahuakbar.

abuikhwan said...

betul tu...dalam al-Quran terkandung semua ilmu. hanya kita yang mahu mengkaji atau tidak...

Post a Comment