Sahabat Sejati

Monday, 23 January 2012

Kenangan yang dirindui...


Cuti panjang sempena Tahun Baru Cina memberi kesempatan kepada saya untuk pulang ke kampung. Sebelum itu saya telah pun berpakat dengan adik-beradik yang lain untuk berkumpul bersama. Mungkin kepulangan kali ini kurang sedikit meriahnya, tanpa kedua orang tua tersayang. Namun demikian, masih ramai lagi saudara-mara yang tinggal berhampiran rumah pusaka ayah. Kami tidak mahu ketiadaan ayah dan ibu merenggangkan perhubungan adik-beradik dengan saudara-mara yang lain.

Seusai makan malam, kami adik beradik duduk berhimpun di beranda, berbual sambil menikmati hening malam yang indah. Bermacam-macam perkara dan topik yang dibualkan. Sesekali berderai tawa tatkala ada perkara-perkara lucu yang mencuit hati. Dan senyap sunyi seketika apabila ada sesuatu yang menyentuh jiwa.

Tidak tahu bagaimana mahu saya gambarkan perasaan ketika itu.

Suasana malam yang sepi memudahkan anak telinga saya menangkap bunyi desiran angin malam yang menyentuh dedaun pokok di luar rumah. Saya dongakkan kepala ke langit, mata saya mencakup awan dan bintang yang bertaburan.

“Indah sekali malam ini...”

Sambil berbual saya mengambil kesempatan merenung wajah abang dan kakak-kakak saya. Abang Ngah, Kak De serta Kak Cik dan saya kekal berpangkat Pak Su di kalangan anak buah. Saya menyedari mereka kelihatan semakin dimamah usia. Masing-masing telah pun mencecah usia 40 tahun, manakala anak-anak mereka telah pun berada di sekolah menengah. Semuanya sudah besar, sehingga ada di antara anak-anak mereka yang lebih tinggi daripada ibu bapa mereka. Saya sendiri juga telah pun mempunyai anak.

Masa yang telah berlalu

Putaran roda kehidupan yang tidak pernah berhenti ini telah membawa kami secara tidak disedari mengantikan orang-orang tua yang terdahulu. Masih baru rasanya kami adik-beradik hidup sebumbung di bawah jagaan ayah dan ibu.

Terasa seolah-olah baru semalam saya mengekori abang yang sulung menangkap ikan di paya berhampiran rumah kami. Setiap ceruk paya berselut itu kami redah dan selongkar. Bila matahari telah tegak di atas kepala, membakar kulit kami yang bersalut lumpur, barulah kami pulang. Kami tidak tidak sekali-kali pulang melangkaui waktu Zohor. Pesan ayah mesti balik sebelum masuk waktu Zohor. Ikan-ikan itu akan saya serahkan kepada ibu. Biasanyanya ibu akan memasak ikan tersebut. Selesai sembahyang, kami akan makan bersama-sama. Mencicip sedikit seorang rezeki-Nya, betapa indahnya waktu-waktu itu. Tetapi abang yang sulung telah pun kembali mengadap Ilahi 7 tahun yang lalu.

Masih terasa baru semalam saya mengikut abang Ngah meranduk semak belukar, mencari buluh duri dan getah sagu untuk dibuat layang-layang. Saya akan mengekori belakang abang Ngah sambil melihat kalau-kalau ada terdapat sarang burung di dahan pokok.

Setelah menemui rumpun buluh, abang Ngah akan menebang dan memotong mengikut panjang yang dikehendaki, lalu di bawa pulang. Biasanya abang Ngah akan membuat layang-layang di pangkin bawah pokok mempelam berhampiran rumah. Abang Ngah akan meraut buluh untuk membuat kerangka layang-layang. Manakala getah sagu pula dijadikan gam untuk melekatkan kertas minyak nipis yang dibeli di kedai nyonya tua.

Setelah siap, kami akan bermain di hadapan rumah. Biasanya saya hanya menjadi kutip layang-layang yang mendarat di bumi. Bila waktu maghrib telah hampir, kami akan berlari berlumba-lumba ke telaga.

Masih terasa baru semalam saya mengikuti Kak De dan Kak Cik mengutip sayuran di kebun belakang rumah. Selalunya saya akan mendahului mereka berdua menjengah dari batas ke batas. Kami akan menggali keledek yang hijau subur di atas batas, serta mengutip terung, bendi dan labu air. Kakak juga akan mengutip pucuk-pucuk kayu untuk dibuat ulam.

Selepas itu kami akan singgah di telaga untuk membasuh sayuran yang dipetik dan saya akan terus mandi di situ. Seakan masih terasa dinginnya air telaga yang dijirus oleh kakak.

Masa yang tidak akan berulang

Itulah di antara saat-saat indah kehidupan dahulu. Masih terasa baru benar wajah abang dan kakak sebagai remaja yang girang. Walaupun kami hanya berkawan adik-beradik, kerana kedudukan rumah yang jauh di sebelah baruh dan dikelilingi pohon-pohon rimba, menyebabkan kami tidak ada jiran, namun kami tidak pernah rasa kesunyian. Bermacam-macam aktiviti yang boleh kami lakukan.

Alangkah pantasnya masa berlalu.

Terasa baru semalam meredah paya dan anak sungai.
Terasa baru semalam meranduk semak dan belukar.
Terasa baru semalam menimba air dari telaga.

Detik-detik itu terasa masih segar dalam ingatan. Kini Abang Ngah sudah kelihatan sangat ketara dimamah usia, begitu juga dengan Kak De dan Kak Cik sedangkan Abang Long sudah lama mendahului. Sudah tentu saya ikut sama dalam peredaran masa itu, menyusuri bilah-bilah hari yang telah ditentukan. Semuanya bagaikan berbaki di hujung jari.

Patutlah Allah dan Rasul sentiasa memperingatkan agar jangan leka dan lalai. Sesungguhnya masa itu akan berlalu dan terus berlalu. Menangguhkan amal ibadah adalah sifat orang-orang yang lalai. Kelalaian yang amat merugikan, sedangkan kerugian tersebut adalah kerugian yang mutlak. Maka tidak sepatutnya kita tertipu dengan kelalaian tersebut.

“Dah hampir pukul 12, patut pun dah rasa mengantuk,” tiba-tiba Kak Cik bersuara, mengembalikan fikiran saya alam hari ini.

Saya mengesat pelupuk mata untuk menjelaskan pandangan.

Pertemuan yang seketika itu menginsafkan saya betapa telah jauh rupanya perjalanan usia saya. Sedangkan dunia ini kelihatan masih menawan dan menggoda sedangkan amal kebajikan belum mencukupi.

0 comments:

Post a Comment