Sahabat Sejati

Monday, 25 July 2011

Hukum terima gaji daripada usaha menipu


Soalan:

Dalam kehidupan bernegara seperti kita hari ini, ada orang yang mendapat gaji lumayan, tetapi didapati dengan cara yang tidak sah, atau dengan lain bahasa, diperolehi dengan cara yang terang-terangan menipu. Bagaimana dengan hukum gaji yang diterima daripada jawatan tersebut. Mohon penjelasan.

Jawapan:

JUJUR adalah sifat terpuji. Tipu khianat adalah pekerjaan terkeji. Apa sahaja yang namanya tipu menipu wajib dihindari.

Kita harus beramal dengan sifat-sifat terpuji, kerana dengannya kehidupan kita akan lebih diberkati.

Rezeki yang didapati dengan cara yang halal, nescaya akan mendatangkan kebaikan di dunia dan akhirat.

Hidup ini adalah sementara. Semua akan berakhir dengan mengadap Allah `Azzawajalla. Jika sumber rezeki kita diperolehi daripada sesuatu yang halal, maka beruntunglah kita dan berbarakahlah hidup kita hingga kita kembali kepada-Nya.

Jika berlaku sebaliknya, mendapat rezeki dari sumber yang haram, maka Rasulullah saw pernah bersabda (mafhumnya): "Daging yang tumbuh dari makanan yang haram, maka nerakalah nanti tempatnya di akhirat kelak."

Jawatan adalah amanah besar yang perlu dipikul dengan ikhlas.

Rasulullah saw pernah bersabda kepada Abu Dzar yang hanya datang memohon suatu jawatan daripada baginda untuk beliau berkhidmat dalam kerajaan Islam.

Sabda Baginda saw (mafhumnya): "Wahai Abu Dzar, jawatan (yang) kamu (pohon itu) adalah amanah dan di hari Kiamat kehinaan dan penyesalan, melainkan yang menunaikan haknya."

Rasulullah saw menolak permohonan Abu Dzar kerana beliau tidak layak menerima jawatan tersebut kerana tidak sesuai baginya. Rasulullah saw menolaknya dengan peringatan kepada Abu Dzar, mafhumnya, jika diserahkan juga kepada beliau, di akhirat kelak, akan menyesal dan mendapat penghinaan daripada Allah yang tidak akan habis disesali.

Bayangkan itu jawatan yang sah. Jika diberi secara sah sekalipun, namun akibat daripada itu amat besar, jika tidak ditunaikan hak itu dengan penuh amanah dan tanggungjawab serta efisyen dalam menjalankan kerja.

Anda persoalkan jawatan yang tidak sah, yang diperolehi dengan cara yang menipu pula. Jelas itu bukan haknya. Malah hak orang lain.

Seolah-olah diambilnya jawatan itu dengan cara merampas atau menipu. Maka pastilah pekerjaan itu adalah haram. Di atas ketidaksahihan jawatan itu, maka hasil gaji yang diperolehi daripada jawatan yang tidak sah adalah haram. maka daging yang tumbuh daripada itu, maka nerakalah tempat penyudahnya.

Gaji yang diperolehi daripada jawatan yang didapati daripada cara yang haram, yang digunakan untuk makan minum, pakaian dan sebagainya, tentulah tidak akan mendatangkan barakah.

Suatu ketika di zaman Rasulullah saw dahulu, ada seorang lelaki sedang mengangkat tangan, berdoa bersungguh-sungguh ke hadrat Allah SWT di bawah panas terik matahari. Melihat keadaannya Rasulullah saw yang mengetahui keadaan sebenar lelaki itu, lalu baginda bersabda (mafhumnya): "Lelaki tersebut berdoa, dalam keadaan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya juga haram. Bagaimana Allah hendak memakbulkan permintaannya."

Mesej daripada hadis sebegini, menunjukkan, andai seseorang itu mendapat kerjanya daripada sumber haram, hasilnya juga haram, maka tidak akan dimakbulkan Allah doanya.

Maka hendaklah kita menghindari perbuatan seperti itu dan menjaga kebaikan diri dari dunia hingga akhirat. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

3 comments:

Nazihah@Jiha said...

Selangkah kita menghampiri Allah dgn melakukan suatu mengikut perintahNya,sepuluh langkah Allah menghampiri kita.Rezeki Allah dah tentukan kan ustaz,bersyukurlah..

alhamdulillah,peringatan yang baik untuk diri dan semua,terima kasih ustaz =)

abuikhwan said...

semoga bermanfaat...

jozz said...

assalamualaikum, mohon komen.
bagaimana jika mohon kerja tetapi menggunakan maklumat yang salah untuk gaji....
contohnya, bagi mendapatkan gaji yang lebih, cthnya rm3000, seseorang itu memberi maklumat gaji rm3000 dari pekerjaan sebelumnya, walhal gajinya tidak sebanyak itu, rm1500 sahaja.

Post a Comment