Sang murabbi, umpama pelita yang menyinari...
“Separuh dari keberkatan ilmu ialah dengan kamu mengamalkannya, dan separuh lagi ialah dengan kamu menghormati guru kamu,” kata ustaz Yusri, guru Bahasa Arab saya. Suaranya lembut seperti biasa.
Kelas hari itu hening, tidak terasa terik mentari membakar siang.
“Guru adalah ibu bapa di sekolah, sebagaimana ibu bapa adalah guru di rumah. Jadi, hormatilah mereka agar ilmu yang diterima ada keberkatan. Guru tidak meminta dibalas pengorbanan mereka, cukuplah sekadar dipanjatkan dalam doa anak-anak muridnya.” Sambungnya lagi, ada sedikit getaran pada nada suaranya.
Saya dan rakan-rakan tekun mendengar suara kasih yang lahir dari naluri seorang murabbi kepada anak muridnya.
“Saya sentiasa mendoakan kamu semua beroleh kejayaan dan menjadi manusia yang berguna serta mendapat rahmat dari-Nya,” ustaz Yusri menyudahkan kata-katanya. Senyuman seribu makna dilemparkan tetapi mendalam sekali pengertiannya.
Hari ini adalah hari terakhir ustaz Yusri bersama kami. Selepas ini beliau akan berangkat ke Timur Tengah untuk menyambung kembali pelajarannya. Bait-bait mutiara nasihatnya pada hari ini bagaikan amanat terakhirnya sebelum melangkah meninggalkan bumi bertuah ini. Ada terdetik rasa sayu dan sebak di hati, setelah tiga tahun menadah telinga, mengambil mutiara hikmah seorang murabbi.
Dia bukan sekadar seorang guru, tetapi lebih daripada itu. Kesungguhannya mendidik minda dan jiwa, menyampaikan butir-butir nasihat tanpa jemu, menyebabkan saya melihat dirinya umpama seorang bapa. Itulah yang saya rasakan setiap kali ‘menyerah diri’ kepadanya.
Segalanya adalah nostalgia.
Dimana silapnya
Seringkali saya termenung.
Menyelak lembaran-lembaran akhbar, menonton di peti televisyen, hidangan berita-berita yang amat asing ketika dahulu.
Tetapi tidak hari ini.
“Murid memukul guru, merosakkan kenderaan guru, merosakkan harta benda sekolah dan seribu macam kerosakan moral yang amat meruncing.” Semuanya sudah menjadi kebiasaan dan bagaikan mainan halwa telinga.
Generasi hari ini sudah hilang budi dan pekerti, inilah realitinya.
Dimana silapnya?
Entahlah...saya tiada jawapan untuk itu, hilang segala tutur kata.
Memikirkannya makin menambah sesak di dada.
Seingat saya, ada juga di antara kami yang nakal, tetapi nakal kami masih ada batasan dan tahu tata susila. Tidak sehingga menyanggah teguran guru dengan dendam yang terbuku. Tiada biadab, tiada kurang ajar. Tetapi kenakalan hari ini terlalu jauh berbeza.
Saya benar-benar kesedihan, tatkala mengamati kelakuan generasi pelajar hari ini. Sedikit sebanyak hari-hari saya ketika bergelar pelajar masih hangat di ingatan. Menghormati guru adalah sebesar-besar kewajipan.
Hari ini
Fikiran saya terbang ke sana ke sini, mengusik kenangan lama. Ada pahit ada manis tapi penuh makna.
Mengingati sesusuk tubuh yang banyak membentuk saya menjadi manusia. Sang murabbi yang mendidik saya matang sebelum usia, memberi faham tentang Islam sebagai bekal dalam perjalanan panjang penuh liku.
Mana mungkin saya lupakan segala jasanya dan jasa guru-guru yang lain. Justeru, sentiasalah saya panjatkan doa buat mereka semua dan saya letakkan penghormatan kasih seorang murid kepada gurunya agar keberkatan dari ilmu yang dicurahkan sentiasa bersama saya, walau dimana saya berada. Selagi nafas masih di dalam jasad.
Kata-kata hikmahnya sentiasa terulang di benak ini...
“Separuh dari keberkatan ilmu ialah dengan kamu mengamalkannya, dan separuh lagi ialah dengan kamu menghormati guru kamu.”
Sentiasa saya ingati mutiara itu...
Perjalanan panjang penuh liku, mutiara nasihat sang murabbi sebagai bekalan
0 comments:
Post a Comment