Sahabat Sejati

Sunday 27 June 2021

Bicara santai: Sampai bila agaknya.. wallahu a`lam


Seingat saya, bilik bacaan peribadi ini menjadi tempat yang paling kerap saya 'berkurung' sepanjang tempoh PKPD dan kemudiannya PKP. Apa nak buat, mahu keluar rumah tanpa ada urusan yang perlu tidak digalakkan. Jadi, 'berkampunglah' di dalamnya menyelak helaian buku, sambil melakukan kerja-kerja rumah yang sepatutnya. 

Mahu menonton televisyen, saya tidak punya peti televisyen. Lebih 10 tahun kami tidak menonton televisyen. Untuk mengetahui berita semasa, semuanya menerusi talian internet. Lagipun dalam usia begini keinginan menonton televisyen sudah pun hampir tiada.

Sama juga sewaktu menjalani kurantin di rumah kerana menjadi kontak rapat pertama pesakit covid-19, saya menjadikan bilik ini sebagai bilik kuarantin. Makan, minum dan tidur semuanya di sini. Apa-apa urusan, cuma disebalik daun pintu. Orang lain tidak dibenarkan masuk. Sehinggalah tamat tempoh kuarantin tersebut dan setelah disanitasi barulah ahli keluarga dibenarkan masuk ke dalamnya.

Alhamdulillah, hampir dua puluh hari dalam keadaan seumpama terpisah dengan 'dunia luar', akhirnya saya dibebaskan daripada 'penjara' tersebut. Saya telah disahkan negatif dan dihubungi oleh pihak KKM untuk urusan pemotongan gelang sakti tersebut. Gelang sakti kerana ia mampu menjauhkan manusia lain mendekati pemakainya.  

Meneliti laporan kes yang berlaku setiap hari, nampak gaya seperti lambat lagi kita semua dapat menjalani kehidupan normal seperti dulu. Bebas berjalan ke amana-mana, tidak perlu lagi memakai pelitup muka apabila keluar rumah, boleh bersalam apabila bertemu dan sebagainya

Terasa rindu pula dengan laporan sepertimana tahun lalu. Sehari tidak sampai 10 kes. Diharapkan dengan pemberian vaksin ini akan dapat menjadikan keadaan bertambah baik. Allahu al-musta`an.  

1 comments:

norhidana said...

alhamdulillah ustaz dah bebas dari covid19 dan mujur cuma dikuarantin di rumah. Bagaimanalah kalau rumah dana takde tv mati kutu lah jawabnya ustaz...
Mesti seronok layan buku di mini perpustakaan ustaz ni...

Post a Comment