Sahabat Sejati

Tuesday 29 June 2021

Menggabungkan korban dan aqiqah

Jika seorang ayah baru mendapat anak dan berbetulan pula dengan hari-hari korban, bolehkah dia berniat sekali korban dirinya dan akikah anaknya pada satu bahagian lembu atau seekor kambing? . 

Persoalan ini menjadi khilaf di kalangan ulamak. Sebelum itu, perlu diketahui bahawa dalam perbahasan fekah terdapat satu topik berkenaan penggabungan beberapa ibadah dalam satu amalan. Contohnya, 

1. Mengabungkan tahiyyatul-masjid bersama solat fardhu atau solat sunat yang lain, 

2. Menggabungkan puasa enam atau puasa isnin/khamis bersama puasa qadha, 

3. Menggabungkan mandi sunat jumaat atau hari raya bersama mandi wajib/junub. . 

Para dasarnya para ulamak menetapkan satu kaedah; dua amalan/ibadat dari jenis yang sama dan kedua-duanya mempunyai sisi tujuan yang sama dan masing-masing tidak memiliki tujuan khusus (dari pensyariatannya), boleh digabungkan dalam satu perbuatan sahaja (al-Suyuti & al-Sa'di). Sebagai contoh; solat tahiyyahul masjid. Tujuan Syariat memerintahnya ialah agar seseorang itu beribadah (solat) terlebih dahulu sebelum duduk dalam masjid. Tujuan ibadah turut terdapat dalam solat fardhu, maka dengan melakukan solat fardhu terangkum sekali tahiyyatul masjid kerana keduanya memiliki sisi tujuan yang sama.

Korban dan akikah dari segi amalan adalah sama iaitu menyembelih haiwan ternak (unta, lembu atau kambing). Namun apakah kedua-duanya mempunyai sisi maksud yang sama? Para fuqahak berbeza dalam menjawab persoalan ini, menyebabkan mereka berikhtilaf dalam memutuskan hukum apakah korban dan akikah boleh disatukan atau tdak?

Menurut mazhab Hanafi dan Hanbali; kedua-dua ibadat itu boleh digabungkan kerana ia memiliki sisi tujuan yang sama iaitu bertaqarrub kepada Allah dengan melakukan penyembelihan dan menjamu makan orang lain (Syeikh al-Munajjid, no. fatwa; 106630). Syeikh Sayid Sabiq menjelaskan; menurut mazhab Hanbali; jika bertepatan hari korban dengan hari akikah, mencukupi satu sembelihan bagi kedua-duanya sebagaimana jika bertepatan hari raya dan hari jumaat, mencukupi sekali mandi sunat sahaja untuk kedua-duanya" (Fiqh al-Sunnah, 3/193) 

Namun menurut mazhab Maliki dan Syafiie; tidak sah digabungkan (yakni mesti dilakukan setiap satu secara berasingan) kerana sekalipun ada sisi tujuan yang sama, namun masing-masing darinya turut memiliki tujuan dan sebab tersendiri, iaitu yang satu bersempena kelahiran anak dan yang satu bersempena 'idil-adha dan hari-hari tasyriq (Rujukan; fatwa Syeikh al-Munajjid, 106630). Dalam erti lain, kedua-duanya adalah ibadah sunat yang berdiri sendiri dan jamuan setiap satu darinya juga bersifat tersendiri (Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, hlm. 911).

Kesimpulannya, para ulamak adakalanya melihat suatu masalah dari perspektif yang berbeza, kerana itu hukum fiqh mereka juga berbeza. Mungkin ada yang bertanya; pada pandangan ustaz, dalam masalah ini mana yang rajih? Bagi saya, tidak semestinya kita melihat khilaf ulamak dari sudut rajih dan marjuhnya. Adakalanya perlu dilihat sebagai ruang kemudahan bagi umat itu. Bagi yang mampu, buatlah kedua-duanya secara berasingan. Bagi yang kurang mampu, gabunglah kedua-duanya, beramal dengan pandangan kedua. Walaupun tidak dapat pahala maksimum, mudah-mudahan tidak ketinggalan pahala minimum. Itulah rahmat Allah untuk umat ini.

2 comments:

Syazni Rahim said...

memang selalu orang keliru dengan isu ni

paridah said...

assalam moga ustaz n famili sht shtra..yg penting ibadat dilakukan ikut kemampuan masing2

Post a Comment