Sambungan daripada : Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (48) di bawah tajuk besar: DAKWAH TAHAP KEDUA: SERUAN SECARA TERBUKA
foto hiasan ~ sumber
Musyawarah untuk Menghalang Jemaah Haji daripada Mendengar Dakwah
Pada hari-hari tersebut ada satu persoalan lain yang juga mengkhuatirkan orang Quraisy, iaitu dakwah secara terang-terangan yang berlaku beberapa bulan sehingga mendekati musim haji. Orang Quraisy menyedari orang Arab akan segera datang untuk menunaikan haji. Maka orang Quraisy merancang untuk memburuk-burukkan Nabi Muhammad kepada orang Arab yang datang supaya dakwah baginda tidak terpengaruh dalam jiwa orang Arab.
Orang Quraisy menemui Walid bin Mughirah untuk bermesyuarat, apakah perkataan yang mereka mahu gunakan untuk memburuk-burukkan baginda. Walid berkata kepada mereka, "Kita mesti bersependapat untuk menggunakan satu perkataan sahaja. Jangan berselisih, sebab itu boleh menyebabkan sebahagian kita mendustakan sebahagian yang lain."
Orang Quraisy berkata, "Kalau begitu, sila nyatakan perkataan yang kamu usulkan terlebih dahulu." Walid menjawab, "Tidak. Kamulah yang cakapkan dahulu. Saya akan mendengarnya."
Orang Quraisy berkata, "Bagaimana kalau kita panggil dia sebagai dukun?" Kata Walid, "Jangan. Demi Allah, dia bukan dukun. Kita telah tahu apa itu dukun, sementara Muhammad tidak pernah mengucapkan mentera seperti yang dilakukan oleh dukun."
Mereka berkata lagi, "Bagaimana kalau orang gila?" Walid berkata, "Muhammad bukan orang gila. Kita telah tahu ciri-ciri orang gila, sementara Muhammad tidak bertindak bodoh dan aneh, tidak juga bercakap sendiri seperti yang dilakukan oleh seorang gila."
Mereka berkata lagi, "Kalau penyair?" Walid menjawab, "Muhammad juga bukan penyair." Kita telah kenal pelbagai syair, iramanya, intonasinya, sajaknya, yang pendek maupun yang panjang dan yang Muhammad ucapkan itu bukan syair."
Mereka berkata lagi, "Bagaimana dengan penyihir?" Walid menjawab, "Muhammad bukan penyihir. Kita pernah melihat para penyihir dan bagaimana bentuk sihir mereka. Muhammad tidak melakukan tiupan dan memainkan tali seperti yang mereka lakukan."
Orang Quraisy kehabisan idea dan bertanya, "Jadi, apa yang perlu kita katakan?" Wali menjawab, "Demi Allah, ucapan Muhammad betul-betul terasa manis, permulaannya begitu menarik dan hujung-hujungnya teruntai indah. Walau bagaimana sekalipun kamu berkata tentang dia, akan diketahui dengan mudah bahawa tuduhan tersebut dusta belaka. Jika perlu memberinya gelaran, yang paling sesuai menurut saya ialah penyihir."
Walid mengatakan Nabi Muhammad melakukan sihir kerana ucapannya dapat memisahkan anak daripada ayahnya, seseorang daripada saudaranya, suali daripada isterinya dan seseorang daripada ahli keluarganya. Semuanya dapat dipisahan lantaran ucapan Nabi Muhammad.(1)
Beberapa riwayat menyatakan, ketika Walid bin Mughirah mematahkan semua usulan yang diajukan oleh Quraisy, mereka berkata kepadanya, "Kalau begitu sampaikan kepada kami pendapatmu." Walid pun berkata, "Biarkan aku berfikir sebentar." Maka Walid berfikir dan terus berfikir sehingga akhirnya dia menyampaikan kepada mereka pendapatnya sebagaimana disebutkan awal tadi.(2)
Tentang Walid, Allah menurunkan enam belas ayat dalam surah al-Muddaththir, ayat 11 hingga 26, yang dalamnya digambarkan bagaimana cara dia berfikir.
"(Jangan engkau bimbang wahai Muhammad) biarkanlah Aku sahaja membalas orang (yang menentangmu) yang Aku ciptakan dia (dalam keadaan) seorang diri (tidak berharta dan anak pinak), Dan Aku jadikan baginya harta kekayaan yang banyak, Serta anak pinak (yang ramai), yang sentiasa ada di sisinya. Dan Aku mudahkan baginya (mendapat kekayaan dan kekuasaan) dengan semudah-mudahnya. Kemudian ia ingin sangat, supaya Aku tambahi lagi; Tidak sekali-kali (akan ditambahi) ! Kerana sesungguhnya dia menentang dengan degilnya akan ayat-ayat Kami (Al-Quran, yang disampaikan oleh Rasul Kami). Aku akan menyeksanya (dengan azab) yang memuncak beratnya. Kerana sesungguhnya ia telah memikirkan dan mereka-reka berbagai tuduhan terhadap Al-Quran). Maka binasalah dia hendaknya! Bagaimanakah dia berani mereka-reka (yang demikian)? Sekali lagi: binasalah dia hendaknya! Bagaimana ia berani mereka-reka (tuduhan-tuduhan itu)? Kemudian ia merenung dan memikirkan (berkali-kali: jalan-jalan mencaci Al-Quran, tetapi ia gagal); Setelah itu ia memasamkan mukanya serta ia bertambah masam berkerut; Kemudian ia berpaling (dari kebenaran) dan berlaku sombong angkuh, Serta ia berkata: " (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah sihir yang dituntut serta dipelajari (dari ahli-ahlinya); "Ini tidak lain hanyalah kata-kata (rekaan) manusia!" (Disebabkan kekufurannya itu) Aku akan masukkan dia ke dalam neraka Saqar." (al-Muddaththir: ayat 11-26)
Selepas majlis tersebut mencapai kata sepakat, mereka segera melaksanakannya. Mereka duduk di sepanjang jalan kota Mekah yang dilalui oleh para pendatang pada musim haji. Setiap kali ada orang yang melintas di hadapan mereka, mereka menghampirinya lalu memperingatkannya terhadap bahaya sihir Muhammad.(3)
Orang yang paling jahat dalam hal ini ialah Abu Lahab. Ketika orang ramai selesai melaksanakan haji, Nabi Muhammad mengikuti mereka hingga ke rumah mereka sehingga ke pasar Ukazh, pasar Majannah dan juga pasar Dzi Majaz. Nabi mendakwah mereka untuk memeluk agama Allah. Sementara Abu Lahab yang sentiasa mengekori Nabi sering berkata, "Jangan kamu ikuti apa yang dia katakan. Sesungguhnya dia budak kecil yang suka berdusta."(4)
Berkat kejadian musim haji itu, orang Arab mula mengetahui tentang perkara yang dibawa oleh Rasulullah saw dan maklumat mengenai baginda pun tersebar ke seluruh penjuru Tanah Arab.
Rujukan:
(1) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. I hal. 271
(2) Lihat Sayyid Quthub, Fi Zhilal al-Quran, jil. XXIX, hal. 188
(3) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. I, hal. 271
(4) Perbuatan Abu Lahab ini diriwayatkan oleh at-Tirmizi daripada Yazid bin Ruman dan seseorang yang tidak dikenali daripada Thariq bin Abdullah al-Muhariby. Imam Ahmad juga meriwayatkan dalam Musnad-nya, jil. III, hal. 492 dan jil. IV hal. 341.
(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)
Bersambung..
0 comments:
Post a Comment