Sahabat Sejati

Wednesday 15 January 2020

Jadilah seperti burung kecil itu

Sesungguhnya setiap orang perlu berperanan dalam menyebarkan kebaikan dan mencegah keburukan. Sumbangan itu bukanlah perlu yang besar-besar sebaliknya mengikut kemampuan masing-masing.

Jika ada yang boleh berceramah dan mengajar, maka dengan mengajar. Yang mampu menulis hendaklah menulis, biarpun sebaris ayat. Di peringkat yang lebih tinggi iaitu yang ada kuasa, maka gunakan kuasa yang ada untuk menyebarkan kebaikan dan menghalang kemungkaran.

Tidak kira siapa, kewajipan berdakwah pasti ada. Ingatlah sekecil-kecil dakwah ialah pada diri sendiri. Allah SWT tidak pernah bertanya sama ada kita berjaya atau tidak dalam usaha itu, tetapi yang akan ditanya ialah sama ada kita melakukan usaha itu atau tidak.

Ambillah kisah seekor burung kecil yang pada ketika Nabi Ibrahim as. dibakar oleh Raja Namrud, bersungguh-sungguh menyiram api menjulang itu dengan mencurahkan air yang ditampung di dalam paruhnya.

Ibn Kathir dalam kitabnya Tafsir al-Quran al-Azim menjelaskan bahawa semua binatang-binatang yang melata di muka bumi ini cuba memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim 

Jika difikirkan apalah sangat usaha yang sedemikian, takkan terpadam api yang menjulang raksasa itu. Namun, apabila ditanya kepada burung itu apakah dibuatnya kerana tidak mungkin api itu padam dengan perbuatannya yang nampak sia-sia itu, burung itu berkata dia takut kepada Allah SWT.

Ia hanya menjalankan tanggungjawab untuk menegakkan kebenaran dan menghalang kejahatan; untuk api itu padam bukan urusannya, itu urusan Allah SWT, Sang Pencipta alam ini. Ertinya burung itu menjalankan peranan setakat yang mampu dilakukannya.

Inilah contoh yang perlu kita ambil dalam menyebarkan kebaikan. Tidak dapat buat semua, jangan tinggal semua.

3 comments:

PeRdU cINta said...

Moga kita melakukan kebaikkan itu terhadap diri sendir kemudian sebarkan kepada orang lain..biar sedikit dan perlahan namun berterusan.

norhidana said...

lakukan kebaikan walaupun kecil janji kita buat demi tanggungjawab kita pada yang Esa

Nor Azimah Ali said...

Tiada amal baik yg sia2 di sisi Allah.

Post a Comment