Tanpa sedar kami sudah pun memasuki destinasi yang dituju. Perjalanan sejauh 39 km dari bandar Kuantan memakan masa selama 40 minit dengan pemanduan secara santai-santai.
Dari kejauhan tersergam pintu gerbang yang tertera “SELAMAT DATANG KE SUNGAI LEMBING”, seolah-olah menyambut kehadiran kami. Kebiasaannya di pintu gerbang ini menjadi salah satu lokasi ‘wajib’ berswafoto kenang-kenangan bagi pengunjung yang datang ke Sungai Lembing. Tetapi, kebanyakan mereka singgah bergambar sewaktu dalam perjalanan pulang. Saya juga tidak melepaskan peluang untuk berswafoto sebagai kenang-kenangan.
Asal-usul nama Sungai Lembing
Nama Sungai Lembing dipercayai berasal daripada perkataan “lembing”, sejenis senjata yang sering digunakan dalam perburuan. Kisahnya berkisar kepada sekumpulan pemburu di satu kawasan hutan yang dikatakan telah merejam sebatang lembing kepada seekor kijang. Dalam usaha menyelamatkan diri, kijang tersebut telah terjun ke dalam sungai dan hilang bersama-sama lembing yang tercacak dibadannya.
Setelah sekian lama, sekumpulan pelombong bijih tiba di kawasan ini. Ketika mendulang, mereka menemukan sebatang lembing yang dipercayai kepunyaan pemburu dahulu dan semenjak itu, kawasan ini dinamakan Sungai Lembing. Namun demikian, tiada bukti kukuh bagi menyokong kesahihan cerita ini.
Demikianlah catatan yang saya baca di dinding mural muzium Sungai Lembing.
Pemanduan selesa
Perjalanan sejauh 40 kilometer dari bandar Kuantan berjalan lancar walaupun lalulintas agak sibuk. Teringat suatu ketika dahulu, di zaman lori-lori bauksit berleluasa dan berkuasa di atas jalan raya. Laluan ini di antara yang menjadi laluan utama pemindahan bauksit dari tapak lombong ke Pelabuhan Kuantan.
Ketika itu suasana yang dihadapi bagaikan mimpi ngeri buat semua. Laluan yang tampak kemerahan berdebu tebal ketika musim panas, dan berubah menjadi lecak apabila hujan turun. Itu belum diambil kira kemalangan yang melibatkan lori-lori bauksit. Memang mimpi ngeri!
Alhamdulillah, sejak penggantungan lesen melombong bauksit, laluan ini mulai pulih semula. Jalanraya kembali bersih, tidak lagi mendapat jolokan ‘planet marikh’. Terasa tebal juga kulit muka apabila membaca di internet yang menyindir dengan ‘Pahang Darul Marikh’. Namun sampai bila penggantungan lesen ini, wallahua`lam. Harap ia digantung selamanya selagimana ada bulan dan bintang. Penat dengan situasi yang telah dihadapi ketika dulu.
Oh, kita lupakan pasal bauksit yang menghantui penduduk Kuantan tempohari. Kembali semula kepada tajuk asal coretan ini.
Pemanduan menjadi semakin tenang dan menyamankan terutama setelah melepasi simpang tiga yang dikenali dengan nama simpang Tanjung Pasir bersebelahan stesen minyak BHP.
Oh ye, kenapa saya katakan sangat menyamankan? Sebabnya terlalu kurang kenderaan yang lalu-lalang selepas daripada simpang ini. Adalah jarang-jarang sekali berselisih dengan satu atau dua kenderaan. Kalau kerap pun dengan kenderaan yang mahu memasuki Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
Persimpangan Tanjung Pasir ini menuju ke Perkampungan Pak Ngah Aziz yang dulunya dikenali dengan RTP Bukit Goh. Laluan ini juga menghala ke Bukit Istana yang menjadi penempatan golongan mewah dan elit. Sesuai benar dengan namanya. Di sini juga letaknya salah satu istana sultan Pahang yang bergelar Istana Abdul Aziz.
Jalan ini juga bersambung dengan Felda Bukit Sagu, Felda Bukit Goh, Felda Bukit Kuantan dan boleh terus menuju ke Feda Neram, Felda Cheneh dan lain-lain di Kemaman.
Panorama hijau
Perjalanan diteruskan lagi. Selepas melewati simpang masuk ke Lebuhraya Pantai Timur (LPT1), di sepanjang perjalanan anak mata saya dijamu dengan panorama hutan hijau yang mendamaikan. Pepohon menghijau yang melatari lembah dan bukit seolah-olah menggamit saya agar terbang merangkulnya.
Seketika pula kami melalui kawasan kampung yang dilatari dengan rumah-rumah kayu penduduk. Walaupun sudah banyak yang berganti dengan rumah batu moden, namun saki-baki yang masih ada sentiasa menggamit pandangan anak mata saya. Kenangan menghuni rumah kampung, bertiang, berlantai dan berdinding kayu suatu ketika dahulu, menjadikan saya sangat obses dengannya.
Di sebelah kanan kelihatan sungai Kenau mengalir lesu bersama keladaknya. Dulu sungai ini sangat jernih airnya. Saya pernah berendam di dalamnya sambil merasai kesejukan airnya sewaktu menziarahi ibu saudara dua pupu yang berumah di tepi tebingnya. Tetapi peristiwa banjir pada akhir 2013 telah merubah lanskapnya. Airnya berubah menjadi keruh dengan dasarnya yang sedikit berselut kecuali di sebelah hulu yang masih dalam keadaan baik.
Entahlah, sudah berapa kali saya membawa keluarga berkunjung ke Sungai Lembing. Saya sendiri pun tidak pernah mencatatnya. Namun yang pasti, saya tidak pernah jemu untuk meredah perjalanan ke sini. Laluan yang amat kurang dengan kenderaan, di tambah pula flora hijau di kiri dan kanan serta aliran sungai adalah ubat sakit jiwa dan sakit perasaan yang paling mujarab. Mana mungkin tidak tercetus ketenangan dan kedamaian dengannya..
9 comments:
Wak belum pernah menjejakkan kaki ke Sungai Lembing
teringat setiap kali balik kerteh, pokok kelapa sawit di tepi jalan area pahang memang akan bertukar warna oren, sangat menyesakkan mata, lori bauksit pun sentiasa ada... sekarang alhamdulillah semulanya dah nampak pulih semula.... mesti best kalau memandu awal pagi ke sungai lembing kan...
Asalam Ustaz, tak berkesempatan jumpa ya ketiak di Kuantan 5 hari di sana. Kuantan luas samudera..rata...jauh agaknya tempat ustaz kan..
Suatu masa juma ya..atur tempat, mana tahu ada rahmat Allah kita blogger dapat bertemu
Kak Feni tak pernah sampai ke Sungai Lembing lagi.
Tak pernah sampai lagi Sg. Lembing. Paling juh ke Pahang dulu pun ke Temerloh. Tapi itu pun dah cukup suka! Sepanjang perjalanan banyak terapi hijau pokok, mendamaikan dan segar udaranya :)
Tak tahu bila nak sampai ke sini...
Assalam ustaz moga sht sjhtera bersama keluarga...kak tak pernah sampai ke sg lembing tapi kawan2 sekolah ramai di mana...felda bt Goh n bt Kuantan pernah sampai.
Selamat melangkah ke tahun 2020.
Saya pernah ke sg lembing 2 tahun lepas, pergi ke muzium sg lembing tu.
Post a Comment