Sahabat Sejati

Monday 23 December 2019

Alhamdulillah, mudah-mudahan..

Alhamdulillah, empat hari yang lalu pihak Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan notis penamatan amaran cuaca buruk bagi kawasan-kawasan di Pantai Timur. Walaupun ianya ramalan berdasarkan kajian, dan tidak semestinya tepat, namun pengumuman ini tentunya amat menyenangkan hati semua terutama mereka yang tinggal di kawasan yang biasa dinaiki air. 

Tahun ini tempat saya tidak dinaiki air (mudah-mudahan begitu hendaknya). Walaupun ada masa-masanya, seharian hujan turun dengan lebat, tetapi tidaklah sampai menyebabkan limpahan air berlaku. Seingat saya selama tinggal di sini cuma sekali sahaja saya menghadapi saat-saat getir ditimpa air bah, yang menyebabkan semua penduduk terpaksa berpindah. Bimbang juga jika berlaku untuk kali kedua.

Teringat pengalaman ditimpa banjir. Berpindah pada malam hari dalam keadaan hujan lebat mencurah-curah, mengharung air separas paha sambil menggalas beg pakaian dan mendukung 'si kecil Haikal yang istimewa'. Ummu Ikhwan pula berpimpingan dengan anak-anak yang lain.

Merasalah jugalah keseronokan percutian percuma selama empat hari tiga malam di dewan orang ramai. Merasa jugalah makan nasi kawah. Boleh dikatakan banjir pada tahun tersebut adalah antara yang terburuk kerana banyak negeri dan kawasan yang terjejas teruk. 

Oh, beberapa sahabat saya dari YAMCP telah pun ke negeri Johor dalam rangka misi bantuan kemanusiaan untuk mangsa banjir. Sepatutnya saya juga bergerak menyertai mereka semua.  Walaupun sudah memberikan persetujuan untuk ke sana, tetapi perancangan kita hanyalah sekadar perancangan. Hakikatnya perancangan Allah adalah sebenar-benar perancangan.

Pada hari sahabat-sahabat saya memulakan perjalanan, saya hanya mampu melambai tangan serta mengiringi doa buat mereka. Atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan di saat-saat akhir, saya terpaksa menarik diri. Sedih juga rasanya. Terlibat dalam misi-misi kemanusiaan ada nikmat yang tidak dapat digambarkan. 

Insya-Allah, apa pun saya akan cuba untuk menyertai misi pasca banjir. Kerja-kerja membersihkan rumah penduduk yang ditimpa banjir. Kepuasan bukan kepalang dapat menghulurkan bantuan semampunya kepada mereka yang ditimpa kesusahan. Mudah-mudahan dapat meringankan sedikit bebanan dan menggembirakan hati mereka semua.

Mudah-mudahan..

5 comments:

Etuza said...

Asalamualaikum..lama tak ke blog ini, saya di Kuantan Pahang sekaranng ya..Indahnya Bandar Kuantan Pahang

Umi Nazrah said...

alhamdulillah syukur. kami doakan semoga semua urusan di pantai timur dipermudahkan oleh Allah Taala. aamiin

Warisan Petani said...

Mudah2an musibah banjir dah berakhir

Nurul Shahira said...

Mudah-mudahan berakhirlah cuaca burul bagi tahun ini & menandakan musim banjir berakhir. Semoga semuanya dipermudahkan..

Azhafizah MN said...

Alhamdulillah cuaca makin baik 2-3 hari ni dah air banjir pun dah mula surut

Post a Comment