Sahabat Sejati

Monday 16 December 2019

Teringat-ingat petang itu

“Assalamualaikum” saya memberi salam tatkala menongkat motosikal di bawah pohon ceri yang rendang itu. Seorang pakcik tua duduk di atas pangkin di bawah pohon ceri tersebut, tangan kanannya menupang tongkat. Menandakan dirinya yang sudah uzur. 

Angin petang di bawah pohon ceri yang berbuah lebat itu terasa nyaman sekali. 

“Pak Samad, kan?” Saya bertanya sambil menghulurkan tangan untuk bersalam. 

“Anak ni siapa?” Beliau bertanya sambil membetulkan cermin mata tebalnya, mungkin mahu menjelaskan pandangan. Saya kira usianya sudah pun melebihi lapan puluh tahun. 

“Saya Wan, anak Abdul Rahman.” Saya terpaksa meninggikan suara agar jelas didengari olehnya. 

“Abdul Rahman mana?” tanyanya lagi. Dahinya berkerut-kerut persis cuba mengingatkan sesuatu. 

“Abdul Rahman yang dulu kerja di hospital Kuantan (sekarang HTAA). Masa budak-budak dulu saya mengaji di rumah Pak Samad. Dulu rumah kami di sebelah baruh sana, selepas ayah meninggal kami pindah di Jalan Tengah ni,” panjang lebar saya menerangkan agar beliau dapat mengingatinya. 

Lama juga Pak Samad berfikir, sambil merenung muka saya. “Ohh..anak Rahman, dah besar kamu ye..!” terukir senyuman kemesraan dibibirnya sambil menepuk-nepuk belakang saya. 

“Berapa lama dah ayah kamu meninggal, pakcik dah tak ingat?" Pakcik Samad bertanya lagi. 

“Ayah meninggal tahun 1979,” saya menjawab. 

Tidak semena-mena saya diserang suatu perasaan halus yang menusuk dan menyelinap masuk jauh ke dalam hati. Perasaan halus itu menguasai emosi dan perasaan. Ah, sayu dan sebak pula. Saya berpaling ke arah lain untuk menyembunyikan perasaan tersebut.

“Ayah kamu tu dulu kawan baik pakcik, sejak dari zaman budak-budak kami berkawan, sekolah bersama, mengaji, bermain pun bersama. Sama-sama merantau dulu mencari kerja. Balik semula ke kampung ni pun sama-sama.” Cerita pakcik Samad, sambil meraut tangannya ke muka. 

Saya lihat matanya berkaca. 

Banyak yang kami bualkan, kebanyakannya berkisar tentang peristiwa lampau. Saya pula banyak bertanya tentang ayah yang telah ‘pergi’ ketika saya sedang bertatih mengenal kehidupan. 

Ayah ‘pergi’ ketika saya berusia tiga tahun. Apalah umur saya ketika itu untuk memahami erti kesedihan apalagi untuk memahami erti sebuah perpisahan yang hakiki. Hanya kalungan doa yang mampu saya panjatkan tiap masa dan ketika sebagai ‘cahaya yang menerangi’ buatnya disana. 

Demikianlah sedikit bakti yang dapat saya curahkan namun saya tahu ia tidak mampu mengatasi kasih sayang ibu dan bapa walaupun setengah nafas mereka. Benar, kita menyayangi mereka tatkala  mula mempunyai akal tetapi mereka menyayangi kita sebelum kita lahir dunia ini lagi.

Minta diri

Matahari telah condong ke barat, menyimbahkan bilah-bilah sinarnya yang berwarna merah kekuningan. Kawanan burung pula berpapasan terbang mencari sarang. Indahnya ciptaan Tuhan bagi mereka yang mempunyai akal dan mahu mengambil ibrah. 

Saya segera meminta diri. 

Insya-Allah kepulangan saya di masa akan datang akan saya gunakan untuk menziarahi rakan-rakan bapa yang lain yang masih ada agar perhubungan itu tidak terputus begitu sahaja. 

Diriwayatkan di dalam hadis sahih daripada Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma beliau berkata yang maksudnya: “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya termasuk perbuatan paling baik ialah seseorang yang meneruskan silaturrahim (hubungan baik) dengan sahabat baik ayahnya sesudah ayahnya meninggal dunia” (Riwayat Muslim). 

Semoga silaturrahim ini tetap terjalin walaupun direntasi masa dan ketika...

4 comments:

Warisan Petani said...

Wkmsalam
Semoga ukhuwah terus berpanjangan

Azhafizah MN said...

Waalaikumussalam..
Semoga silaturrahim terus terjalin dan berpanjangan hendaknya.

Nurul Shahira said...

Alhamdulillah Alhamdulillah. Semoga kami semua juga dibukakan jalan untuk menyantuni saudara & sahabat mak abah kami...

Sha Mohamed said...

Semoga ukhwah sentiasa bertaut..

Post a Comment