05 Ramadan 1447H - Melepek. Bukan melepak.
Hari ini aku melepek di perbaringan. Demam urat, batuk dan selsema datang menziarah tanpa jemputan.
Kebelakangan ini, setiap kali pulang dari misi seberang laut, beginilah jadinya. Tubuh ini seperti menuntut haknya. Seakan berkata, “Aku bukan lagi seperti dahulu.” Akur. Usia tidak pernah menipu. Kudrat tidak lagi sama seumpama dulu.
Namun dalam lemah itu, ada satu rasa yang tidak pernah lemah, iaitu rasa syukur kerana masih diberi peluang untuk berkhidmat.
Aku sedar, misi kemanusiaan bukan tentang menjadi kuat sepanjang masa. Ia tentang memberi walau dalam keterbatasan. Tentang hadir walau diri sendiri belum sempurna. Dan mungkin inilah pelajaran terbesar Ramadan kali ini, bahawa kekuatan sebenar bukan pada tubuh yang tidak pernah sakit, tetapi pada hati yang tidak pernah jemu untuk peduli.
![]() |
| 'Masjid Desa Pante Beureune, di Kecamatan Meurah Dua, Kabupaten Pidie Jaya yang dijadikan posko agihan sembako dan uang tunai kepada setiap keluarga. Puing-puing banjir masih kelihatan' |
Jika suatu hari nanti kaki ini tidak lagi mampu melangkah jauh, biarlah doa tetap mampu terbang lebih jauh daripada pesawat yang pernah aku naiki. Kerana akhirnya, yang kekal bukan perjalanan, bukan pujian, bukan gambar-gambar yang sempat dirakam, tetapi kesan kecil yang kita tinggalkan dalam hidup orang lain.
Dan andai tubuh ini semakin menua, biarlah jiwa terus muda dalam berbuat baik..
Penafian: Tulisan ini bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah, sebaliknya sekadar berkongsi pengalaman dan pengajaran(jika ada). Mohon maaf sekiranya timbul salah tafsir di pihak pembaca.

0 comments:
Post a Comment