Tak tahu pula saya. Bahkan tidak pernah terfikir akannya. Baru hari ini saya mengetahuinya. Jika hari wanita, hari ibu, hari bapa, taulah saya kerana biasa mendengarnya. Di dalam kalendar juga ada tercatit.
Hari Tangan Kidal Sedunia?
Rupanya 13 Ogos adalah Hari Tangan Kidal Sedunia. Manalah saya tahu dan tak pernah ambil tahu. Sehinggalah saya menerima ucapan daripada sahabat-sahabat melalui aplikasi ‘whatsapp group’ siang tadi. Wah, teruja dan bangga juga. Maklumlah ada juga hari untuk mengiktiraf golongan kami. Saya membaca satu petikan di dalam sebuah akhbar tempatan:
“Kidal, atau bahasa saintifiknya 'sinistrality' bermaksud seseorang individu yang lebih suka menggunakan tangan kiri daripada tangan kanan. Melakukan rutin harian terutamanya menulis menggunakan tangan kiri menjelaskan perlakuan itu berbeza daripada biasa. Menurut kenyataan National Geographic berkaitan isu ini menjelaskan jumlah individu yang lebih cenderung menggunakan tangan kiri untuk melakukan berbagai tugasan ini dikatakan 10 peratus daripada penduduk dunia. Ia bermaksud 10 peratus daripada 6.7 billion populasi di dunia hari ini.”
Eh, mengapa pula tiada sambutan untuk golongan yang cenderung menggunakan tangan kanan. Ini tak adil! Bak kata pelakon S. Kadarisman di dalam filem 3 Abdul. Nampaknya golongan yang berkenaan perlu membuat satu resolusi, iaitu menuntut hak yang sama. Adakan juga sambutan hari untuk golongan yang cenderung menggunakan tangan kanan. Jangan marah, saya hanya bergurau! (senyum)
Ketika bersekolah rendah dahulu dalam darjah satu dan dua, saya sering diejek oleh kawan-kawan. Malu sangat rasanya. Kebanyakan tugasan saya laukan dengan tangan kiri seperti menulis, memadam papan hitam dan sebagainya. Kena pula ada yang berkata, “tangan kanan baik, bagus”. Kalau tangan kanan baik, maknanya tangan kiri tidak baiklah. Akal budak-budak masa tu.
Dek kerana itu, seringkali saya cuba menukar kebiasaan dengan melakukan kerja menggunakan tangan kanan. Tetapi manakan boleh. Kalau biasa kiri, kiri jugalah hendaknya. Selang beberapa lama, setelah dapat biasakan diri, rasa segan dan malu semakin hilang. Sebaliknya saya mula berasa bangga kerana seorang kidal. Yalah, di dalam kelas kami hanya dua, tiga orang sahaja. Malahan kami perlu biasakan diri membuat sesuatu seperti orang lain yang tidak kidal. Selain itu, ada guru saya yang berkata: "orang yang tangan kidal ni ada seni." Hmmm, entahlah, seni apa pula ya?
Walaupun kidal, tetapi saya makan dengan tangan kanan samada menggunakan sudu atau chopstick. Ini kerana sudah dibiasakan sejak daripada kecil. Saya katakannya kerana ada juga melihat sahabat-sahabat yang kidal memegang sudu atau chopstick dengan tangan kiri untuk menyuap makanan. Payah kata mereka untuk menukar kebiasaan tersebut kerana kidal.
'saya kidal'
Kadang-kadang dengan nada berseloroh, saya katakan kepada rakan-rakan: “Saya kalau nak memotong makanan samada sayur ke, buah ke atau kek, pegang dengan tangan kanan manakala pisau dipegang dengan tangan kiri. Tetapi korang pegang pisau dengan tangan kanan, tapi makanan pegang dengan tangan kiri, eeiii...”
Terdiam dan senyum-senyum sahabat-sahabat saya, menandakan mereka memahami maksud saya. Tetapi mereka juga mengerti bahawa saya cuma bergurau. Diulangi cuma bergurau!
Namun, banyak juga cabaran buat golongan kidal ini. Kebanyakan peralatan direka untuk golongan normal (kanan). Ia merumitkan dan memerlukan masa untuk membiasakan diri supaya tidak kekok. Bak kata peribahasa, ‘alah bisa tegal biasa’. Jadi memang memerlukan masa.
Apa pun, tidak kisahlah samada kidal atau tidak. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangan. Hakikatnya ia adalah ciptaan Allah SWT. Orang yang kidal adalah ciptaan Allah, manakala orang yang cenderung kepada kanan juga adalah ciptaan Allah. Saya sendiri tidak memilih untuk menjadi kidal, lahir-lahir menjadi seorang yang kidal. Sahabat-sahabat juga begitulah sebaliknya.
Bahkan Allah SWT tidak memandang kepada kidal atau kanan. Taqwa jua yang menjadi nilaian di sisi-Nya. Sesiapa yang lebih bertaqwa, dia menjadi mulia di sisi Allah. Sesiapa yang engkar dia dihinakan. Maka pilihlah untuk bertaqwa walau siapapun anda samada kidal atau tidak.
3 comments:
Biasanya kakak perhatikan kawan keliling kakak mana yg kidal dia punya drawing/art sangat cantik. Ingat lagi dulu masa kakak sekolah menengah semua yg melukis mural dinding bangunan sekolah murid-murid kidal. Secara kebetulan kan... ada dua org aje yg tak kidal yg sama melukis itu pun cikgu kami.
Jadi kakak rasa AI pun boleh melukis:)
assalam...kalau dpt gunakan tangan kiri n kanan dgn baik lbh seimbang apa yg nak dibuat tu.
Asalamualaikum saudara..yan baru tahu juga ni..ada hari tangan kidal..
:-))
Post a Comment