Sahabat Sejati

Saturday, 8 August 2015

Cetusan Rasa: Sebaik-baik pendosa...

Kenderaan yang dipandu bergerak perlahan keluar dari perkarangan Pusat Tarbiah diiringi rintik-rintik halus hujan. Beberapa orang sahabat yang sedang berjalan menuju ke kenderaan masing-masing mengangkat tangan, lalu saya membalas keramahan mereka dengan membunyikan hon sambil menghulurkan senyuman. 

Malam ini kami menyiapkan bahan-bahan promosi untuk majlis jamuan hari raya peringkat Kawasan (Parlimen) Indera Mahkota. Alhamdulillah, hampir jam 1 tengah malam semuanya siap dan hanya perlu diedarkan nanti. Tanpa berlengah saya mengangkat punggung untuk pulang, terpaksa menolak ajakan beberapa rakan untuk minum di kedai berhampiran. 

Kebiasaannya saya hanya bermotosikal ke Pusat Tarbiah. Jaraknya tidaklah jauh hanya memakan masa lebih kurang 10 minit. Tetapi sewaktu mahu turun dari rumah tadi, saya perasan awan agak gelap seperti tanda-tanda mahu hujan. Lantas saya membatalkan niat untuk pergi dengan menggunakan motosikal. Bimbang juga jika hujan turun dengan lebat. Usia begini mudah terkena demam. Lainlah zaman budak-budak dahulu, hujan menjadi satu pesta bermain air. Mandi hujan! Selagi tidak dijerit emak dari atas beranda jangan harap mahu berhenti. Terketar-ketar sampai berlaga gigi atas dan bawah dek kesejukan. 

Tersenyum saya mengingati memori tersebut. 

Fitrah manusia 

Alunan muzik rancak daripada corong radio terasa kurang menyenangkan, saya menukar ‘channel’, mencari-cari siaran radio yang menyajikan lagu yang kena dengan ‘selera’ saya. Orang tua.. 

Ahh, lagu Opick!

Lagu yang berjudul “Rapuh” berkumandang menghiasi perut kereta. 

Opick, di antara selebriti tanah seberang yang saya sekeluarga minati. Lirik lagunya puitis, sarat dengan nasihat, lembut dan mendamaikan. Sesuai menjadi santapan halwa telinga saya. Sambil memandu saya ikut sama menyanyikannya walaupun suara tidaklah sesedap mana. Ahh, bukan ada orang lain yang mendengarnya pun, sekurang-kurang dapat juga melayan perasaan di dinihari. 

“...Meski ku rapuh dalam langkah 
Kadang tak setia kepada-Mu 
Namun cinta dalam jiwa 
Hanyalah pada-Mu.. 
Maafkanlah bila hati 
Tak sempurna mencintai-Mu 
Dalam dada ku harap hanya 
Diri-Mu yang bertakhta...” 

Lirik-lirik yang disebutkan terus menangkap di minda. Padahal lagu tersebut didengari sepintas lalu sahaja. Barangkali liriknya ‘luar biasa’ iaitu rintihan seorang hamba kepada Tuhannya. Menginsafkan. 

Hati manusia mudah terusik dengan sesuatu yang mendamaikan. Dekat kepada kebaikan, suka kepada kelembutan dan cinta kepada sesuatu yang indah dan menggembirakan. Semua manusia begitu, ia adalah fitrah yang tidak boleh disangkal. Namun, seringkali kita diresahkan dengan dosa yang terdorong oleh pujukan nafsu. 

Benar, kita adalah roh yang tersarung di dalam jasad, tidak sempurna bahkan terlalu banyak kekurangan serta kelemahan. Kita yang di dalam kelalaian sering melakukan kesilapan. Mungkin kita melakukan dalam keadaan sedar ataupun tidak. Kebenaran ini telah diungkapkan di dalam satu hadis: Anas ra. meriwayatkan Rasulullah saw bersabda: “Semua anak Adam adalah bersalah, dan sebaik-baik yang bersalah adalah orang yang mahu bertaubat.” (Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim) 

Ya, semua kita melakukan dosa. Tidak ada dalam sehari seseorang yang tidak berbuat kesilapan. Rasulullah saw sendiri mengingatkan bahawa semua anak Adam melakukan dosa. 

Manusia biasa mana mungkin tidak melakukan kesilapan. Walau bagaimana alim dan wara` pun, ia pasti ada kesalahan. Samada secara sedar ataupun tidak, sengaja atau tidak sengaja. Melainkan para Nabi dan Rasul yang maksum, iaitu terpelihara daripada sebarang dosa dan kesalahan. Namun demikian, hadis itu tidak terhenti di situ sahaja. Jika tidak pasti ada yang akan menangguk di air keruh. Maksud saya, akan ada yang berkata tatkala melakukan dosa: 

“Nak buat macamana, aku manusia biasa tidak terlepas daripada dosa.”

Atau.

"Allah yang taqdirkankan aku buat silap begini dan begini..." 

Nad`uzubillah.

Nabi saw menyambung hadis tersebut dengan sabdanya, sebaik-baik orang yang berdosa ialah yang mahu bertaubat. Ya, Rasulullah saw mendamaikan kegelisahan dan keresahan dengan ungkapan hadis di atas iaitu semua anak Adam tidak dapat mengelak daripada melakukan dosa tetapi mereka menjadi insan yang terbaik sekiranya mahu bertaubat dan menyesali akan perbuatan dosanya. 

Di antara keistimewaan Islam ialah jalan pulang ke pangkuan agama ini amat luas dan tidak membebankan. Allah SWT dengan rahmat dan kasih sayang sentiasa membuka pintu taubat tanpa ditutup sehinggalah akhir dunia ini. Pintu taubat luasnya mata memandang menganjur dari timur ke barat. Sesiapa yang ingin kembali ke pangkuan ampunan dan redha Tuhannya tidak akan disia-siakan, dengan syarat benar-benar menyesal dan tidak akan mengulangi lagi kesalahan lalu. Manakala jika kesalahan itu membabitkan sesama insan, maka dia perlu memohon maaf daripada insan tersebut. 

Allah SWT berfirman: “Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah. Dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu sedang mereka mengetahui (akan dan akibatnya). Orang yang demikian sifatnya, maka balasannya adalah keampunan daripada Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang yang beramal.” (Ali-Imran: 136-136) 

Subhanallah, betapa luasnya rahmat yang Allah SWT berikan. Maka janganlah sesekali kecewa dengan dosa-dosa yang lalu, sebaliknya kembalilah kepada kebaikan. Allah SWT tidak pernah menutup pintu-Nya selagi insan yang berdosa itu benar-benar ikhlas dan menyesal. Besarkanlah ruang taubat di dalam diri kita. Bukankah rasa ingin bertaubat itu fitrah seorang hamba? 

“Khabarkanlah kepada hamba-hamba-Ku bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani dan bahawa azab-Ku adalah azab yang tidak terperi sakitnya.” (al-Hijr: 49-50)

4 comments:

iryantyismail said...

Asalamualaikum saudara...betul tu saudara..sebagai manusia biasa kita tak lepas dari kesalahan...mana yang baik jadikan pengalaman..mana yang tak baik jadikan pengajaran..

paridah said...

kita ini orang berdosa...teramat sedih mengenangkan kesilapan yg dilakukan dgn sengaja r tidak...moga taubat kita diterima-Nya insyaAllah.

paridah said...

assalamualaikum wrwbt

Nazihah@Jiha said...

sentiasa bertaubat :'(

Post a Comment