Sahabat Sejati

Thursday, 26 June 2014

Anak istimewa, sukarnya tetapi sabar

 

Alhamdulillah, hidangan untuk makan malam ini. Nasi arab berserta ayam dan kambing bakar yang diperah dengan asam limau. Dimakan pula ketika masih panas, pendekata kalau bapa mertua lalu di belakang pun tidak sedar. Sebenarnya nasi arab ini isteri membelinya ketika dalam perjalanan pulang dari kerja. Kebetulan pula tuan kedai nasi arab itu sahabat baiknya, jadi memang dapat harga diskaun. Kalau tidak pun mesti dapat lebih samada nasi atau daging.

Kelmarin saya menonton rancangan 999 yang memaparkan kejadian jenayah yang berlaku di dalam negara. Termasuklah kisah menyayat hati, kisah adik Firdaus, seorang OKU yang terbiar di dalam bilik di rumahnya. Hampir menitis juga air mata saya melihat keadaannya seperti yang dipapar di peti televisyen. Dalam keadaan lemah, dia mengengsot-engsot keluar dari biliknya dengan pakaian yang telah pun reput. Khabarnya dia memakan kertas dan najisnya sendiri untuk menahan lapar. Allahu rabbi, sangat menyedihkan.

Sebelum itu, berita ini telah pun tersebar luas di alam maya, samada blog, FB dan sebagainya. Saya melihat berbagai-bagai komen mengenai kisah ini. Ada yang pro dan ada yang kontra. Ada yang mengutuk tidak kurang ada yang menyokong. Saya pula menahan diri untuk menulis sebarang komentar walaupun ia bergelodak di dalam dada. Marah, kesal, sedih dan kasihan. Namun, saya tidak lupa untuk mendoakan kepada adik Firdaus agar sentiasa diberikan rahmat dan kesejahteraan.

Dalam satu hadis daripada Abu Darda’ ra bahawa dia mendengar Nabi Muhammad saw bersabda yang maksudnya: “ Tidaklah berdoa seorang muslim terhadap saudaranya secara ghaib (tanpa diketahui oleh saudaranya itu) melainkan akan berkatalah para malaikat, engkau juga beroleh yang seumpama dengannya.” (Riwayat Muslim). 

Dalam satu riwayat lain juga daripada Abu Darda’ ra, Rasulullah saw bersabda maksudnya: “Doa seorang muslim kepada saudara muslimnya secara ghaib (tanpa pengetahuan saudaranya) adalah mustajab (diterima), di sisi kepalanya malaikat yang diutus Allah setiap kali dia mendoakan saudara muslimnya dengan doa yang baik, dan berkatalah malaikat itu, amin!, engkau juga beroleh manfaat yang sama.” (Riwayat Muslim).

Mudah-mudahan, ameen...

Saya tidak mahu menjadi hakim untuk mengadili situasi tersebut. Siapa yang bersalah dan mengapa ia berlaku, biarlah pihak yang terbabit menjalankan siasatan dan menjatuhkan hukumannya. Namun, sebagai manusia biasa yang ada perasaan, jeritan hati saya mengatakan tidak wajar ia diperlakukan sedemikian. Walaupun adik Firdaus seorang OKU, tetapi dia tetap bernama manusia yang memerlukan perhatian, sokongan dan kasih sayang.

Sukarnya, tetapi sabar

Saya akui, memang agak sukar untuk menjaga anak OKU, bahkan ia memerlukan sifat kesabaran yang tinggi. Jika ada yang berkata, “bercakap memang mudah, berat mata memandang berat lagi bahu memikul”.Ya, tetapi saya berkata demikian atas pengalaman sendiri. Saya juga mempunyai seorang anak yang memegang kad OKU. Jadi, sedikit sebanyak saya telah merasai dan memikulnya. Semestinya perhatian dan kasih sayang kepadanya perlu lebih daripada adik-beradik yang lain. Alhamdulillah, mujurlah anak-anak yang lain memahaminya. Jika tersilap marah, cepat pula rajuknya. Terpaksalah menggunakan berbagai-bagai cara untuk memujuknya kembali. Jika tiada kesabaran, hmm..mudah sangat mahu menghayun tangan atau melibas rotan. Wal’iyazubillah. Belum pernah lagi saya melakukan sedemikian.

Sebenarnya ada satu yang kita terlupa mengenai anak OKU ini. Orang Kelainan Upaya atau disebutkan juga sebagai anak istimewa. Memang mereka istimewa kerana mereka adalah ahli syurga. Mengapa saya katakan begitu? Bukankah kewajipan beribadah ke atas mereka telah pun terangkat? Yakni mereka tidak perlu beribadat sebagaimana kita kerana kecacatan yang dipikul oleh mereka. Itulah cantiknya Islam yang tidak sekali-kali memberatkan umatnya.

Jika anak itu istimewa, tidakkah ibu bapa mereka juga istimewa? Benar, ibu bapa mereka juga menjadi istimewa dengan adanya mereka. Tentunya kita berbeza dengan ibu bapa yang lain kerana kita lebih kuat, lebih sabar dan lebih cekal hati dalam menyayangi anak-anak istimewa anugerah Tuhan. Namun, keistimewaan itu itu ada syaratnya. Kedua mereka hendaklah sentiasa bersabar, menjaga mereka dengan tabah dan penuh tanggungjawab. Paling penting ibu bapa juga mesti beribadat. Jangan sampai tidak sembahyang, tidak menutup aurat. Tidak jadi sekiranya mempunyai anak ahli syurga tetapi ibu bapa pula melakukan amalan ahli neraka. Wal’iyazubillah.

Ujian daripada Tuhan adalah pelbagai dan sesuai dengan kesanggupan hamba-Nya. Ia tidak lain untuk menguji keimanan. Ketaqwaan dinilai berdasarkan ketabahan dalam melayani anak istimewa ini. Mungkin ada yang menerima dengan tabah, mungkin ada yang kecewa dan mahu menyingkirkannya, mungkin ada yang merasa malu dan bermacam-macam lagi reaksi penerimaan. Anak istimewa, mereka dipilih untuk hadir ke dunia ini sebagai ujian kepada ibu bapa dan masyarakat sekeliling. Mereka juga makhluk Tuhan yang memerlukan kasih sayang, layanan, perhatian sama seperti yang lain.

Jangan bersedih jika mempunyai anak istimewa. Mungkin sekarang ini kita melalui kepayahan dan kitaran kesedihan dalam menjaga mereka. Tetapi percayalah mereka hadir dengan kehendak Tuhan dan pasti Tuhan tidak akan mensia-siakan mereka. Yakinlah, satu hari nanti anak yang digelar istimewa itu benar-benar istimewa, unik dan mengkagumkan kita. Akan ada sesuatu yang membahagiakan kita dengan kehadirannya. Jika tidak di dunia ini, insya-Allah pasti di akhirat nanti. Saya optimis...

Tulisan ini bersifat umum. Tidak ada kaitan dengan sesiapa pun termasuk Puan Lola.

2 comments:

paridah said...

salam jumaat...anak istimewa anak syurga perlu banyak2 bersabar...

abuikhwan said...

benar, banyakkan bersabar, Insya-Allah ia akan menggembirakan kita suatu hari nanti.

Post a Comment