Sahabat Sejati

Monday 5 December 2011

Kalau dah tak malu

Berkata seorang penyair Arab: “Maka tidak (demikian), demi Allah tiadalah kebaikan di dalam kehidupan dan kebaikan di dalam dunia sekiranya rasa malu itu telah binasa. Hiduplah seorang pemuda itu dengan kebaikan selagi ada rasa malunya dan kekallah kemuliaan selagi mana kekal rasa malu.”

Malu separuh daripada iman. Yang dikatakan malu separuh daripada iman ialah malu untuk melanggar perintah Allah SWT atau pun malu untuk melakukan sebarang maksiat.

Apabila seseorang membuang rasa malu maka tidak akan tinggal apa-apa kebaikan lagi pada dirinya. Sedangkan malu dan iman adalah dua gandingan yang tidak dapat dipisahkan. Kedua-duanya saling lengkap-melengkapi. Amat rugilah orang yang kehilangan sifat malunya, kerana telah hilang separuh dari keimanannya.

Daripada bapa Mas’ud iaitu Uqbah bin Amr al-Ansary al-Badry ra. katanya Rasulullah saw telah bersabda: Sesungguhnya daripada apa yang dapat difahami oleh manusia daripada perkataan kenabian yang awal adalah apabila kamu tidak malu maka lakukanlah apa sahaja yang kamu mahu.” (Riwayat al-Bukhari)

Apakah maksud dari hadis Rasulullah saw ini? Adakah Rasulullah membenarkan perbuatan maksiat dilakukan? Bukan begitu maksudnya. Sebenarnya hadis ini merupakan ‘tahdid’ iaitu satu amaran dalam bentuk sindiran iaitu apabila kamu berkeinginan untuk melakukan sebarang perbuatan maka sekiranya tidak malu kepada Allah SWT dan tidak malu juga kepada manusia maka lakukanlah.

Jika seseorang tidak merasa bahawa Allah SWT sentiasa memerhati dan mengawasinya maka perbuatlah apa sahaja yang diingini sesuka hati. Itulah sindirannya, bukannya untuk membenarkan perbuatan maksiat dilakukan.

Firman Allah SWT:

اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
“Perbuatlah apa yang kamu kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Fussilat: 40)

Ayat ini bukanlah satu kebenaran untuk berbuat maksiat, tetapi lebih kepada ancaman dan amaran. Oleh itu, Allah SWT menjelaskan bahawa Dia sentiasa memerhati apa sahaja yang manusia lakukan. Inilah amaran-Nya, barangsiapa yang tidak malu untuk berbuat maksiat, lakukanlah tetapi ingat, kamu semua akan ditanya dan pertanggungjawabkan serta ada hukuman yang menanti. Pastinya azab Allah amat pedih dan tidak tertanggung.

Terasa malu ketika menulis entry ini, semoga ianya menjadi peringatan buat diriku yang dhaif ini. Ya Allah, janganlah Kau cabut perasaan malu pada diriku ini.

Sumber foto: Sinar Harian Pahang (Baca sini)

0 comments:

Post a Comment